Sunday, August 22, 2010

Undang-Undang Duniawi

Ditulis oleh sdr Adam Yew Abdullah

Sudah lama saya tidak membuat posting dalam blog saya. Maklumlah sibuk dengan pelajaran. Sekarang ini saya menyambung pelajaran di salah sebuah kolej swasta di Pulau Pinang. Saya mengambil bidang ‘business management’ selama 2 tahun di Malaysia dan 1 tahun di luar negara. Mungkin ada kawan-kawan di luar sana tertanya-tanya apa sudah jadi dengan blog saudara Adam ini. Jawapan sudah diketahui.

Dalam pembelajaran bidang ini, saya berkesempatan mempelajari sistem perundangan yang berasaskan sistem perundangan duniawi. Mengapa saya katakan sistem perundangan duniawi, sebabnya undang-undang tersebut dicipta oleh manusia sendiri. Ya, undang-undang yang diguna pakai oleh kita hari ini dicipta oleh manusia sendiri. Saya bukan maksudkan undang-undang Islam, sebab kita tahu undang-undang Islam berasaskan Al-Quran dan Sunnah di mana kesahihannya tidak dapat diragui. Jadi, ia tidak boleh disamakan dengan undang-undang ciptaan manusia.

Undang-undang duniawi ini terbahagi kepada dua bentuk. (setahu saya apa yang saya belajar) Iaitu undang-undang sivil dan undang-undang jenayah. Undang-undang sivil digunakan dalam hal-hal berkaitan dengan perniagaan seperti mengadakan kontrak, pecah amanah dan sebagainya. Undang-undang jenayah digunakan dalam kes-kes jenayah seperti membunuh, mencuri dan sebagainya. Kedua-dua undang-undang atau ‘jurisdiction’ ini diguna pakai oleh negara kita hari ini.

Asal usul undang-undang keduniaan ini berada di kemuncaknya pada tahun 1066 masihi. Iaitu ketika penaklukan bangsa‘Norman’ ke atas seluruh wilayah England. Penaklukan ‘Norman’ ini telah membuka era baru dalam perundangan dari seri perlaksanaan undang-undang secara menyeluruh di seluruh England ketika itu.

Zaman tersebut, sistem perundangan berdasarkan ‘common law’ dan ‘equity’ telah diasaskan dalam satu rangka undang-undang yang diguna pakai oleh seluruh England ketika itu. Sebuah mahkamah yang dikenali sebagai ‘Westminster’ telah ditubuhkan di tengah-tengah bandar England untuk mengadili kes-kes tertentu. Hakim-hakim ketika itu dihantar ke kawasan-kawasan terpencil untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh masyarakat ketika itu.

Hakim-hakim memainkan peranan yang penting sebagai wakil kerajaan dalam memperkenalkan sistem perundangan yang baru untuk menggantikan sistem perundangan yang berdasarkan adat resam. Undang-undang adat resam ini berbeza dalam sebuah penduduk dengan penduduk yang lain. Masing-masing mempunyai undang-undangnya yang tersendiri. Oleh itu, peranan hakim-hakim ini adalah untuk menyatukan kesemua undang-undang adat resam ini menjadikan satu sistem perundangan yang baru.

Di sinilah bermulanya reformasi sistem perundangan yang baru menggantikan sistem perundangan yang berasaskan undang-undang adat resam yang berbeza-beza dalam sesuatu masyarakat ketika itu. Pelbagai undang-undang baru telah dicipta berdasarkan budi bicara hakim-hakim dan adat resam yang sedia ada yang diguna pakai dari turun-temurun. Ironinya, undang-undang yang diasaskan dalam kurun pertama ini masih digunakan pakai ke hari ini. Adapun sesetengah undang-undang telah diubah untuk penyesuaian perubahan zaman. Namun asal usul undang-undang ini berasal dari suatu sistem perundangan yang dicipta oleh pemerintah ketika itu untuk menyelesaikan masalah-masalah penduduk.

Secara jelasnya, undang-undang ini jauh berbeza dengan undang-undang Islam yang berasaskan Al-Quran dan Sunnah. Topik seterusnya akan membincangkan intipati perundangan keduniaan ini dengan membuat beberapa perbandingan dengan perundangan Islam.

Saturday, March 20, 2010

-> Apa sudah terjadi dengan umat Islam

Ditulis Oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Apakah kewarasan sesetengah orang Islam sanggup mengadaikan agama Islam semata-mata untuk memuaskan nafsu? Persoalan yang saya maksudkan ini ialah tentang sesetengah manusia sanggup bermain judi dengan menikam nombor ekor yang mana kita semua faham tentang ‘4D Magnum’ dan sebagainya.

Saya berasa amat kesal kerana saya sendiri mendengar perbualan salah seorang jiran saya yang sedang menikam nombor ekor dalam telefon. Perbualannya amat jelas sekali kedengaran kerana suaranya yang kuat dan dirinya sudah tidak lagi berasa malu dengan dosanya.

Lantaran, apabila mendengar perbualan itu, lalu saya beristigfar! Perkara berlaku di depan mata saya dan saya sempat melihat orang itu.

Apakah orang ini tidak sedar halal dan haram perbuatan sedemikian? Apakah mereka tidak merasai malu terhadap orang bukan Islam? Apakah ini contoh yang baik untuk bukan Islam?

Dan bagaimana pula dengan sumber rezeki yang diperolehi oleh orang ini? Apakah orang ini tidak sedar bahawa rezekinya haram? Dan apakah kewajaran memberi makan kepada anak-anak dan isteri memakan hasil pernikaman nombor ekor ini?

Benar, kata orang, kebanyakkan orang Islam akhir zaman ini suka mengamal amalan yang tidak betul. Islam pada anggapannya betul mengikuti nafsu dan pendapat yang baginya mungkin rasional. Orang seperti ini Islam pada rupa dan nama tetapi amalan sudah lama menjadi busuk. Hilang kewarasan dan rasionalnya.

Islam sebenar ialah segala amalannya mengikuti ajaran Al-Quran dan Sunnah. Bukannya mengikut kehendak masing-masing tanpa merujuk dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Thursday, January 7, 2010

-> Ayu Fatihah Yew mula bersekolah...

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Warga kota mula sibuk dengan anak-anak buka sekolah. Kelihatan di sekolah-sekolah dipenuhi oleh Ibu bapa yang menemani anak-anak mereka ke sekolah pada hari pertama. Ada ibu bapa yang terpaksa mengambil cuti. Ada juga yang bekerja 'night shift' terpaksa mencengkang mata membawa awal-awal pagi ke sekolah. Inilah pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak.

Ayu tidak ketinggalan melayan alunan alam persekolah pertamanya di Tadika Nur Cemerlang. 4hb Januari 2010 merupakan hari persekolahannya yang pertama. Seronok sekali mengetahui olehnya bersekolah. Baginya tidak sabar lagi pergi sekolah kerana dapat belajar dan berjumpa kawan-kawan baru.



Tuesday, December 29, 2009

-> 10 tahun berlalu begitu sahaja...

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Selama hampir 10 tahun bekerja di Motorola, penang, saya rasa sudah sampainya masa untuk berubah angin. Hasrat saya untuk berhenti sudah lama terpedam dalam hati. Sehinggakan saya meminta tolong Allah supaya memberikan saya sesuatu pekerjaan yang sesuai dengan fitrah saya. Alhamdulillah…doa saya itu diperkenankan oleh Allah.

Akan bermulalah chapter terbaru dalam hidup saya. Seakan sebuah buku novel cerita tentang kehidupan saya. Seakan pula tidak percaya selepas ini saya tidak bekerja lagi dengan Motorola. Saya rasa rakan-rakan saya semua setuju, Motorola ialah tempat yang relaks dan seronok bekerja. Saya akan merinduinya.

Selama hampir 10 tahun, macam-macam pengalaman saya dapat. Antaranya, pengalaman saya memeluk agama Islam ketika saya bekerja di Motorola dulu. Cabaran dan dugaan dari rakan-rakan yang membantah keislaman saya seakan memberontak menentang dan menghina saya. Semua yang tidak bersetuju dengan saya memulaukan saya. Saya anggap ini merupakan chapter kedua dalam kehidupan saya.

Setelah itu saya terus memandang ke hadapan dengan halu tuju yang satu iaitu mengubah cara hidup yang lebih baik dari dulu sebagai seorang muslim. Matlamat hidup lebih jelas berbanding sebelum Islam dulu. Saya mula banyak membaca buku-buku keagamaan. Keinginan mengetahui kebenaran membara dalam jiwa. Hairannya, dulu saya kurang berminat membaca. Tetapi itulah hikmah disebalik sesuatu kebaikan yang kita percayai akan memberi kebaikan di dunia dan akhirat.

10 tahun dahulu saya merupakan seorang Technician. Tatkala 10 tahun berlalu saya masih seorang technician. Tetapi adalah pangkat senior sikit. Pengalaman bekerja adalah sedikit berbanding pengalaman ‘bersosial’. Kerana saya berpeluang memegang jawatan pengelora bagi surau Motorola. Adalah selama 3 tahun saya menjalankan tugas-tugas seperti mengadakan program-program Ramadhan dan Qurban. Di antara program Ramadhan yang sempat saya kendalikan ialah program berbuka puasa bersama anak yatim dan tazkirah Ramadhan.

Kini sampailah masa untuk berubah angin. Saya berpendapat bahawa 10 tahun berlalu, saya tetap orang yang sama juga. Tidak berapa banyak yang berubah dalam hidup saya. Selain daripada keislaman saya. Saya melihat masa depan saya dan juga masa depan berada di Motorola adalah tidak menentu. Walaupun seronok berada di sini tetapi firasat di dalam diri tidak menghalalkan keadaan sedemikian. Seolah-olah ia memerlukan suatu pembaharuan dalam hidup saya ini. Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk mencuba untuk menyambung pelajaran.

Bukan mengejar pangkat atau harta tetapi untuk membuat perubahan dalam hidup supaya ia menjadi lebih baik untuk diri, isteri dan anak-anak. Dan yang paling utama ialah agama.

InsyaAllah, saya rasa masa untuk saya lakukan ini terlalu singkat dan saya akan lakukan dengan berhati-hati.

Wednesday, December 16, 2009

->Jingle Bell…Jingle Bell…Jingle All the way…

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Kewarasan kita tercabar apabila tiba-tiba non-muslim yang menyambut perayaan hari Christmas menjemput anda menghadiri ‘Christmas party’ di tempat kerja atau di rumah. Saya tidak tahu sekiranya ada hadis khusus yang mengatakan boleh atau tidak boleh menghadiri Christmas party.

Saya ditanya soalan mengenai sambutan hari Christmas. Adakah umat Islam boleh menghadiri perayaan seumpama itu. Saya cuba elakkan daripada melayani soalan ini ditanya. Kerana saya tahu setiap akhir tahun soalan ini mesti akan ditanya oleh orang yang inginkan jawapan. Dan juga saya ingin menjaga sentiviti pandangan sesetengah kawan-kawan kita yang mungkin tidak setuju dengan pandangan saya ini. Tak apalah…

Kalau kita mengkaji (kalau rajin) perayaan Christmas ini, kenapa orang kristian mereka menyambut perayaan ini, anda akan lebih memahami dan mampu membuat penilaian sendiri, ‘bolehkah’ ataupun ‘tidak boleh’ menghadiri sambutan hari Christmas.

Caranya mudah saja. Buka search engine wikipedia.com (semua mampu search) taip ‘God the Son’. Anda akan dapati jawapan seperti di bawah …

God the Son is the second person of the Trinity in Christian theology. The doctrine of the Trinity identifies Jesus of Nazareth as God the Son, united in essence but distinct in person with regard to God the Father and God the Holy Spirit (the first and third persons of the Trinity). God the Son is co-eternal with God the Father (and the Holy Spirit), both before creation and after the End (see Eschatology). So Jesus was always God the Son, though not revealed as such until he also became the Son of God through incarnation.

Penjelasan di atas menurut God the Son, ialah Anak Tuhan. Kristian percaya Jesus (Nabi Isa) ialah anak Allah. Apakah pandangan Islam mengenai Allah memiliki anak??
Jawapannya ini… Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya". [al-Ikhlas 112:1-4]

Jelas sekali, Al-Quran menerangkan Allah tidak mempunyai anak dan tidak diperanakkan. Malah, Allah memberi amaran keras terhadap dakwaan kristian iaitu Allah termasuk dalam salah satu tiga tuhan itu (Trinity)…

Lihat ayat ini…Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Maidah 5:73]

Apakah itu Trinity??

Baca ayat ini ….Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.

Sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam (Jesus) hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam dan (merupakan tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (Trinity)".

Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [an-Nisa’ 4:171]

Baik…sekarang kita berbalik kepada soalan ‘bolehkah’ ataupun ‘tidak boleh’ menghadiri sambutan hari Christmas. Sekali lagi saya ingin mengajar semua buka search engine wikipedia.com. Sila taip ‘Christmas’. Anda semua akan menemui jawapan ini…

Christmas or Christmas Day is an annual holiday, celebrated on December 25, that commemorates the birth of Jesus of Nazareth. The date of commemoration is not known to be Jesus's actual birthday,….

Hari Christmas adalah hari sambutan kelahiran Jesus mengikut kepercayaan kristian yang mempercayai Jesus adalah anak Allah. Jesus sebagai anak Allah adalah salah satu unsur Trinity ini. Kalau kita berpegang kepada kepercayaan sebegini adalah satu bentuk syirik yang tidak dapat diragukan lagi. Apatah lagi menghadiri atau mengucap ucapan Christmas kepada rakan-rakan kita.??

Alhamdulillah…saya rasa ‘clear’ dengan penjelasan ini. Umat Islam bukan saja diminta untuk menjauhi kepercayaan sedemikian, malah dilarang daripada menyokong dakwaan kepercayaan kristian. Ini kerana dalam Islam, apabila sesuatu perkara itu adalah salah maka kita dituntut untuk menjauhi kesalahan tersebut daripada membantu kesalahan itu.

Firman Allah…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [al-Maidah 5:02]

Akan tetapi menjaga keharmonian dan hubungan baik antara non-muslim, dalam hal ini orang kristian, tidaklah sampai ke tahap membenarkan kepercayaan mereka dengan mensyirikkan Allah. Berbuat baik dengan erti bukan membantu mereka mensyirikkan Allah. Sebagaimana kita dituntut untuk mentaati kedua-dua orang ibubapa kita tetapi tidaklah sampai ke tahap mensyirikkan Allah.

Lihat ayat ini…Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. [Luqman 31:15]

Islam memupuk dan menjalini hubungan baik dengan bukan Islam. Akan tetapi hubungan itu tidaklah sampai ke tahap sehingga kita mengiktiraf kepercayaan Trinity mereka, dalam kes kristian ini.

Justeru itu, di atas penjelasan saya ini di harap semua yang membacanya memahami dan membuat penilaian sendiri….

Wallahu a’lam…

Tuesday, December 15, 2009

-> Pelbagai kemungkinan terjadi...

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Hidup kita sering diundangi oleh musibah-musibah yang kadang-kadang kita tak sangka ia akan terjadi. Kadang-kadang sesuatu masalah itu timbul (muncul) tanpa kita sedari. Saya merujuk kepada seorang saudara baru yang datang menceritakan kepada saya bahawa dia ingin mengahwini seorang perempuan yang berbangsa Indon. Saudara baru itu baru sahaja memeluk agama Islam. Alhamdulillah kita seronok apabila mendengar ada orang memeluk agama Islam kerana terbuka hatinya untuk menerima Islam.

Umur saudara baru itu 58tahun dan si bibik tu pulak 39tahun. Mereka masing-masing sudah pernah berumahtangga. Si lelaki bercerai dengan isterinya dan sekarang tinggal sebatang kara. Anak-anaknya semuanya besar dan menjalani kehidupan yang sederhana dan bahagia. Tinggal si ayah ini yang masih tercari-cari erti sebenar hidup.

Si bibik pula bukan sekadar bibik Indon yang kita kenal yang suka berjoli dan menghabiskan wang sesetengah warganegarawan di sini. Sebilangan bibik-bibik Indon ini mereka datang mencari rezeki yang ‘halal’ sambil tu mencari ‘keintiman’ dengan lelaki yang mereka rasa boleh bergantung hidup untuk bergayut. Tapi si bibik yang saya sempat berbual ini berserius dengan si lelaki ini. Menurutnya lagi, bibik ini pernah menjadi ustazah masa dia di Jawa dulu. Baguslah kalau betul dia seorang ustazah sebab nanti dia kena membimbing si lelaki tua ini…

Soalannya, bukan tentang latar belakang mereka, asal usul mereka. Soalannya kenapa begitu cepat mereka ingin mendirkan rumahtangga. Sedangkan si saudaru baru itu baru memeluk agama Islam dalam masa 7 bulan. Dan si bibk ini menemui si lelaki ini dalam masa 4 bulan. Kalau kita fikirkan sejenak, hubungan mereka ini begitu singkat dari pertemuaan mereka. Tak apalah kalau mereka dah betul-betul jatuh cinta…

Semasa saya mula-mula memeluk agama Islam suatu ketika dahulu, saya taklah terfikir nak kahwin cepat. Sebab kahwin ini bukan suatu yang tidak baik malah lebih baik ada. Tapi kahwin sebenarnya menjalankan kewajipan. Kewajipan maknanya ‘commitment’. Maknanya, ia kena ada persediaan yang rapi. Persediaan dari segi bimbingan agama kepada isteri dan juga dari segi kewangan itu penting. Setelah saya memeluk Islam saya mempelajari terlebih dahulu tentang selok belok agama Islam dulu. Bermula dari alif..ba..ta sehinggalah mengkhatam Al-Quran. Malah saya juga mengikuti kelas pengajian islam (sijil) di ABIM selama lebih kurang setahun lebih. Selepas semua ini, saya merasakan adalah suatu keperluan dan sampai masa untuk saya mendirikan rumahtangga. Sebab masa itu saya duduk berseorangan di kampung Permatang Damar Laut dan memerlukan seseorang yang dapat meringankan bebanan yang dipikul oleh saya. Setelah lebih kurang 3 tahun saya duduk bersepi dan merempat seorang diri, tanpa diketahui oleh ibu saya di mana saya berada, akhirnya saya mendirikan rumahtangga.

Berbalik kepada cerita si saudara baru kita yang tergopoh gapah yang ingin mengahwini si bibiknya. Pendapat pendapat saya, mereka perlu masa untuk masing-masing berfikir dan membuat apa yang perlu baginya, dengan mengutamakan apa yang terpenting dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Islam. Mungkin baginya, jalan dengan mengahwini si bibik tu dapatlah dia belajar selok belok agama Islam dengan mendalam lagi. Mungkin juga dapat mengubati kekeringan jiwa yang hampir berlaku kemarau. Walauapapun, ada banyak kemungkinan yang kita tidak dapat menjawabnya….

Apakah akan terjadi kepada si saudara baru ini dengan bersama dengan bakal isterinya nanti jikalau segala kemungkinan-kemungkinan yang tidak diduga ini melanda kehidupan mereka kelak?? Apakah mereka berupaya melalui segala-gala kemungkinan-kemungkinan ini?? Wallahu a’lam…

Saya berdoa supaya mereka hidup bahagia. Saya harap mereka juga faham orang lain tidak dapat memahami keadaan mereka sebenar. Dan sukar untuk sesiapa membantu mereka sekiranya apa-apa kemungkinanan-kemungkinanan yang berlaku terhadap mereka. Orang lain hanya melihat, mendengar dan menghulurkan bantuan jika berkemampuan berbuat demikian. Jika tidak setakat nasihat dan doa kepada Allah Ta’ala sajalah mampu dilakukan. Moga-moga mereka diberi petunjuk dan keringanan dari kemungkinan-kemungkinan musibah yang melanda.

Saya tidak membantah dan juga tidak kata setuju atas keputusan mereka untuk mendirikan rumahtangga. Cuma saya rasa saya kerdil dan tidak berdaya untuk membantu. Terserahlah kepada Allah SWT….

Saturday, December 12, 2009

-> Happy Birthday Ayu, 5 thn...

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah



-> Aliya semakin besar... 1 Thn

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah




-> Cuti Sekolah Ke Bukit Merah

Ditulis oleh sdr Adam Yew Abdullah





Friday, November 6, 2009

-> Perkaitan kita dengan Allah...

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Saya kebetulan diajukan soalan mengenai solat oleh seorang hamba Allah. Soalannya mudah saja, kenapa kita (orang Islam) yang melakukan solat lima waktu sehari semalaman, masih tetap dengan perangai suka menipu dan mencuri.

Jawapan saya ‘simple’ saja, sebab sembahyangnya tidak sempurna. Sepatutnya, orang yang melakukan sembahyang secara asasnya, ia akan terhindari dari melakukan benda-benda seperti menipu, mencuri dan sebagainya. Kerana sembahyang itu memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Kita secara tidak langsung (tidak nampak) berkomunikasi dengan Allah. Kita memujiNya setiap rakaat kita bangun dari sujud untuk memujiNya dengan bacaan Al-Fatihah. Jikalau kita menghayati betul-betul ayat-ayat Al-Fatihah itu.

Sepatutnya, kita harus bertanya diri kita sendiri adakah kita mahu seperti golongan kafir yang suka melanggar peraturan Allah SWT? Jikalau Ya, kita tau akan akibatnya nanti dan tempatnya di mana harus kita duduk nanti. Tapi jikalau tidak, ikutlah perintahNya dan lakukan solat yang dituntut untuk kita lakukan setiap waktu. Beza antara orang muslim dan kafir ialah sembahyang. Ya, orang cina dan india, mereka semuanya sembahyang, tapi sembahyang yang dimaksudkan menurut perintah Allah. Bukan dengan perantaraan patung-patung berhala.

Ramai sekarang ini, mengambil mudah tentang sembahyang. Ada yang tak buat langsung. Dan ada yang buat sekejap-sekejap. Kemudian tak buat langsung. Dan ada yang buat tapi masih tidak berubah perangainya suka menipu. Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya, kalau kita nak tahu orang itu munafik ialah orang itu suka menipu. Buka mulut saja, dia menipu orang. Tak ada benda yang betul yang dituturkannya. Itu orang munafik. Jaga kalau orang yang suka menipu tidak kira apa-apa saja yang dia buat, nanti akan tergolong dalam orang-orang munafik.

Saya tidak mahu memanjang lama sangat, tapi ingat solat itu adalah tiang agama. Jikalau solat kita tidak mengendahkannya, maka runtuhlah agama kita. Apa ertinya, nama kita nama orang Islam, tapi agama sudah runtuh? Apa ertinya kita berwajahkan Islam tapi amalannya tidak betul dan perangainya macam hantu. Ingatlah, orang Islam menjadi contoh kepada yang bukan Islam. Bagaimana kita nak ‘marketing’ produk ‘Islam’ ini kepada yang masih belum Islam lagi.

Tak usahlah kita semua orang Islam bercakap pasal produk-produk ‘Jutawan’. Nak jadi millionaire. Nak naik kereta BMW. Nak rumah banglo. Semua ini kita dapat fikirkan untuk macam mana nak jadi kaya raya. Tapi adakah kita pernah terfikir bagaimana hendak memperbaiki amalan kita berdasarkan Al-Quran dan Sunnah?

Thursday, November 5, 2009

-> Menghitung hari

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Saya sedang menunggu keputusan tawaran VSS daripada syarikat yang saya telah bekerja selama 10 tahun. Saya telah mempertimbangkan keputusan saya ini sekian lama. Dan saya kekal dengan keputusan saya ini.

Saya sedar keputusan ini memberi kesan kepada keluarga saya. Mungkin dalam masa beberapa tahun kami akan hidup dalam keserdehanaan. Mungkin akan lebih berhemah ketika berbelanja.

Saya setiap hari berdoa kepada Allah. Supaya Allah memudahkan urusan saya dan juga meringankan bebanan saya. Alhamdulillah, selama ini saya mendapat keberkatannya dan saya bersyukur banyak-banyak. Namun itu tidak memberhentikan saya terus berdoa kepada Allah.

Saya percaya akan keputusan saya ini akan membuahkan hasilnya nanti. InsyaAllah, saya akan berusaha dengan kekuatan iman dan semangat yang ada pada saya.

Selepas ini saya akan menyambung pelajaran saya. Dengan keperluan yang ada saya akan menggunakannya dengan sebaik-baik yang mungkin.

Hari saya berada di sini boleh dihitung. Mungkin esok, minggu depan, bulan depan saya akan meninggalkan tempat yang saya bergantung selama 10 tahun.

Semoga semua mendoakan kesejahteraan saya dan keluarga saya di dunia dan di akhirat.

Adam Yew Abdullah

Wednesday, October 7, 2009

-> Adab Tuan Rumah

Ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah

Ziarah menziarah menjadi satu kebiasaan kita sesama umat Islam, khususnya sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri. Ini adalah amalan yang baik lagi dianjurkan oleh Islam. Maka pada kesempatan ini saya ingin berkongsi beberapa adab ziarah menziarah, dimulai dengan adab-adab yang perlu dimiliki oleh tuan rumah oleh menerima tetamu yang menziarahinya.

Sebagai tuan rumah, menerima dan memuliakan tetamu bukan sekadar sesuatu yang dianjurkan oleh Islam tetapi menjadi petunjuk akan kebenaran dan kekuatan iman dirinya. Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah tetamunya” [Shahih al-Bukhari, no: 6018]

Memuliakan tamu dimulai dengan ucapan “Selamat Datang” kepada mereka, setelah berbalas ucapan salam [Shahih al-Bukhari, no: 6176] Jika di kalangan tetamu ada yang datang tanpa diundang, tuan rumah memiliki hak untuk menerima atau menolaknya [Shahih al-Bukhari, no: 5434]. Namun menerimanya adalah lebih baik mengingatkan kisah Nabi Ibrahim yang menerima tetamu yang tidak diundangnya:

“Sudahkah sampai kepadamu perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Dia menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.”

Kemudian dia masuk mendapatkan ahli keluarganya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan.” [Surah al-Dzariyat, ayat 24-27].

Menjaga Hak Tetamu.

Perhatikan sikap mulia Nabi Ibrahim dalam ayat di atas yang tetap melayan tetamu yang tidak dikenalinya dengan juadah yang istimewa. Sebagai tuan rumah, hendaklah dilayan tetamu dengan baik pada kadar yang berpatutan. Hendaklah berada dipertengahan antara berlebih-lebihan dan serba kekurangan. Di kalangan tuan rumah ada yang berlebih-lebihan sehingga mereka saling bersaing dengan jiran atau rakan dalam membuat jamuan hari raya atau “rumah terbuka”. Tuan rumah begitu khusyuk menjaga kadar persaingan sehingga hubungan dengan tetamu tidak dijaga dengan baik ketika penziarahan itu.

Persaingan ini amat tidak sihat sehingga Rasulullah s.a.w. melarang kita daripada menghadiri jemputan sedemikian. ‘Abdullah Ibnu ‘Abbas menegaskan: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. melarang daripada memakan jamuan dua orang yang saling bersaing (dalam mengadakan jemputan).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3754]

Di sebalik itu ada juga tuan rumah yang tidak menyediakan apa-apa hidangan untuk tetamu sekalipun seteguk air. Ini juga merupakan adab tuan rumah yang tidak baik. Ketahui bahawa jika tuan rumah tidak menyediakan apa-apa maka tetamu berhak mengambil sendiri apa yang mereka kehendaki pada batas yang berpatutan.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika kalian singgah di sebuah kaum lalu mereka melayan kalian dengan apa yang berpatutan sebagai tetamu, maka terimalah. Jika mereka tidak melakukan itu maka ambillah hak kamu (sebagai tetamu) daripada tuan rumah apa yang berpatutan bagi tuan rumah.” [Shahih Muslim, no: 1727] Maksud “apa yang berpatutan” ialah ukuran mengikut kadar kemampuan tuan rumah.

Bagi mengelakkan perasaan malu seandainya tetamu masuk sendiri ke dapur mengambil hak mereka, maka adalah lebih baik tuan rumah menyediakan juadah sekadar yang berpatutan. Jika benar-benar tidak ada, maka terangkan secara jujur bahawa tidak ada apa-apa yang hendak dihidangkan.

Termasuk dalam rangka menjaga hak tetamu ialah menghormati mereka seandainya mereka berpuasa. Di kalangan tetamu ada yang ingin menziarah tetapi bimbang suasana mereka yang sedang berpuasa, sama ada puasa ganti atau puasa sunat, menyebabkan tuan rumah tidak selesa. Mungkin tuan rumah akan “kecil hati” jika tetamu yang berpuasa tidak makan-minum juadah yang disediakan. Maka di sini tuan rumah perlu bersikap terbuka lagi menghormati seandainya ada di antara tetamunya yang berpuasa ketika datang menziarah.

Bagi tetamu pula, Rasulullah s.a.w. berpesan: “Jika salah seorang kalian diundang maka penuhilah undangan itu. Jika sedang berpuasa, maka doakanlah (tuan rumah) dan jika tidak berpuasa maka makanlah (apa yang dihidangkan oleh tuan rumah).” [Shahih Muslim, no: 1431] Selain itu tetamu juga memiliki pilihan: “Saudaramu telah mengundangmu dan menyediakan juadah untukmu, Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain, jika kamu mahu.” [Riwayat al-Baihaqi, Irwa’ al-Ghaleel, no: 1952]

Menjaga Perjalanan Majlis.

Tuan rumah tidak boleh membiarkan para tetamu berbicara atau membuat sesuatu yang sia-sia, apatah lagi sesuatu yang mungkar. Tuan rumah hendaklah menjaga perjalanan majlisnya agar para tetamu tidak berbicara atau berbuat melainkan sesuatu yang mengingatkan mereka kepada Allah, seperti saling menasihati, membicara persoalan agama dan keadaan umat Islam.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan: “Tidak ada sekumpulan orang yang bangun dari majlis yang di dalamnya Allah tidak diingati melainkan mereka bangun dari semisal bangkai keldai dan (jika tidak bangun, pasti) mereka akan menyesal.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4855]

Perhatikan bahawa baginda mengumpamakan orang-orang yang duduk di satu majlis yang tidak diingati Allah di dalamnya seperti orang yang duduk di atas bangkai keldai. Di Hari Akhirat kelak mereka pasti menyesal kerana banyak kesalahan mereka dalam majlis seumpama itu yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Wednesday, September 30, 2009

-> Ayahanda Memeluk Islam

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Alhamdulillah. Syukurulillahi…

Hari raya tahun ini bertambah mesra kerana saya serta keluarga sempat menjejak kasih ayahanda yang selama ini terpisah sekian lama.

Di dalam kegembiraan itu, di tambah dengan rasa kesyukuran pula kerana ayahanda telah memeluk Islam 5 bulan yang lalu. Nama Islamnya, Muhammad Haikal Yew Abdullah.

Subhanallahi wabihamdihi…Subhanaka Allah humma wabihamdika….

Isteri dan anak-anak (Ayu & Aliya) sempat bertemu dan bersalaman dengan datuknya.

Apabila mengetahui ayahanda memeluk Islam, segala memori lama yang terpancar dalam minda sekian lama mulai malap.

Masih ingat lagi di dalam pemikiran sejak kecil dahulu kami diajar menyembah patung-patung berhala oleh ayahanda dahulu.

Sekarang ayahanda pula yang memeluk Islam. Segala kebatilan terkubur dan tertegaknya kebenaran. Hala tuju dan haluan yang terang dan jelas. Tujuan maklamat hidup yang lebih sempurna.

Kerana Islam menyuluh ke arah kebenaran dalam kehidupan di dunia akhirat. Islam membawa ketenangan dalam hidup. Islam menjana pemikiran yang rasional.

Alhamamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah…..

Wednesday, September 16, 2009

-> Hari Raya Bukan Hari Sedih

oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hariraya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hariraya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hariraya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?

Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.

Firman Allah (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.

Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.

Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.

Hiburan

Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.

Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.

Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.

Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.

Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.

Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.

Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.

Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam

Monday, September 14, 2009

-> Nostalgia Rumah Nasyiatul Aisyiah

Di tulis Oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Gambar-gambar ini dikirim oleh seorang hamba Allah. Menurut sejarah penubuhan rumah anak-anak yatim ini, tapak rumah ini dahulunya dibina pada tahun 2000. Diusahakan oleh orang sama juga iaitu Ustazah Rohani.













Inilah keadaan rumah anak-anak yatim yang tidak mempunyai ibubapa.

Kunjungan ke rumah anak yatim ini, telah menyedarkan saya bahawa masih ada orang yang lebih susah daripada kita.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT.

Sekian

Wallahu a'lam

Saturday, September 12, 2009

-> Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Balik Pulau 2009

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Pusat Jagaan dan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah, terletak di Balik Pulau, Pulau Pinang. Ditubuhkan pada tahun 2000. Pusat kebajikan ini memuatkan anak-anak yatim yang ada di antara mereka dibiarkan oleh Ibubapa. Sehingga kini seramai 27 orang anak-anak yatim. Ikutilah kisah-kisah mereka berserta dengan gambar di bawah.


Halaman luar rumah anak yatim Nasyiatul Aisyiyah. Khemah dipasang untuk orang ramai berbuka puasa.


Rumah Nasyiatul Aisyiyah didirikan pada tahun 2000 - 2001 dengan kerjasama warga kilang seperti Motorola, Intel dll.



Pusat Jagaan Anak-anak yatim diurus oleh Ustazah Rohani dan keluarganya.


Ustazah Rohani memberi ucapan dan menceritakan pengalaman beliau menjaga anak-anak yatim.



Bayi berumur 1 bulan ini ditinggalkan oleh ibunya.


Bayi berumur 9 bulan ini ialah kacutkan Melayu Filipina, yang diislamkan oleh Ustazah Rohani.


Budak-budak lelaki sedang mendengar ucapan oleh Ustazah Rohani. Mereka berasa begitu seronok dengan kehadiran kami.


Budak-budak perempuan melayan kami dengan baik. Ada yang mereka menitiskan air mata ketika mendengar kisah mereka yang tidak mengenali siapakah Ibubapa mereka.


Penyampaian hadiah yang tidak seberapa kepada tuan rumah yang juga seorang Ustaz.


Pemberian Sumbangan RM5,000.00 dari warga kilang yang beragama Islam yang prihatin. Moga-moga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban hidup mereka.


Tetamu sedang menunggu waktu berbuka puasa. Sambil bersuai kenal dan menghayati suasana rumah anak yatim.


Warga kilang menaiki bas menuju ke rumah anak yatim. Ada yang belum sampai. Berlaku kelewatan disebabkan keadaan hujan.


Juadah berbuka puasa dalam bentuk bufet melalui wawasan katering . Alhamdulillah, makanannya sedap dengan lauk pautnya dan nasi minyak. MMMmmmmmm....


"Team" warga kilang bersama-sama dengan anak-anak yatim dan ibu tunggal bergambar bersama.


Kepada warga kilang yang beragama Islam yang telah menyumbangkan tenaga, wang ringgit dan apa sekalipun bentuk sumbangan, kami dalam jawatankuasa surau mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga.

Semoga kebaikan yang kita lakukan ini mendapat rahmat dan pahala berlibat ganda dari Allah SWT.

Sesiapa yang berprihatin dan ingin menyumbang kepada Pusat Nasyiatul Aisyiyah ini, berikut adalah maklumat bank akaun Pusat Nasyiatul Aisyiyah:

Nama : Pusat Jagaan dan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah

Akaun Nombor : 157081009973 (Maybank)

Contact No : 016 467 9217

Barangan yang diperlukan :
1) Susu bayi berumur 1 bulan dan 9 bulan (Jenama Anmum)
2) Pampers New Born dan juga size 'L'.
3) Barangan keperluan.
4) Sumbangan wang ringgit.


Jazakallahu Khai ron.

wallahu a'lam

Tuesday, September 8, 2009

-> Jangan beramal cara bermusim

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Hari ini sudah masuk hari ke-16 umat Islam berpuasa. Siang hingga ke malam kita sibuk dengan menunaikan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bermula dari sebelum fajar kita bangun bersahur. Kemudian bersolat dan seterusnya menyambung aktiviti seharian kita seperti waktu-waktu biasa. Pada sebelah malam pula, kita berbuka puasa dan sejurus itu kita melakukan solat terawih.

Beginilah, ‘routine’ kita setiap hari di bulan berpuasa yang mulia ini. Dan ada yang berkesempatan mengambil masa cuti panjang yang ada untuk bershopping untuk membeli baju-baju raya. Sebagai persiapan menyambut kemenangan di bulan Syawal. Dan ada juga yang tidak mahu ketinggalan, menyiapkan juadah kuih muih untuk tatapan hari raya nanti.

Dalam bulan ini juga, pelbagai rancangan telah diatur untuk memenuhi syarat-syarat dalam pengamalan kita sebagai seorang Islam. Bulan yang mulia ini, kita disuruh untuk banyak bersedekah. Tidak kiralah apa bentuk sedekah sekalipun tetap kita lakukan dengan seikhlas hati kita.

Ada di antara umat Islam bersedekah wang ringgit kepada anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Inilah saja aktiviti yang nampaknya menjadi satu ‘trend’ masyarakat kita sekarang. Menjadi satu lumrah kebiasaan apabila bertemu dengan bulan Ramadhan kita berpusu-pusu melaksanakan kebajikan.

Alhamdulillah, ini suatu sifat-sifat yang terpuji dan masih ada yang ingat dalam bulan puasa ini. Tapi biarlah sifat-sifat ini berterusan sehingga bila-bila tidak kira masuk bulan apa pun. Janganlah hanya pada bulan Ramadhan saja kita mengingati orang-orang yang susah. Baru nak cari rumah anak-anak yatim yang mana kita nak bantu. Waktu-waktu biasa kita lupa akan hak kebajikan mereka.

Tapi berwaspada pada orang-orang yang bersedekah itu janganlah sampai bersikap riak dan menunjuk-nunjuk sehingga orang-orang yang menerima sedekah kita itu terguris hati kerana kita suka mengungkit-ungkit derma kita yang tidak seberapa itu. Kita mungkin tidak rasa apa-apa sebab kita adalah pihak yang memberi atau menyumbang. Kerana bagi diri kita, mungkin kita rasa cukup dan tidak susah. Tetapi tidak bagi pihak anak-anak yatim atau fakir miskin. Mereka berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan kita untuk hidup. Mahu tidak mahu mereka perlu meneruskan hidup mereka. Tidak ada apa-apa lain yang lebih penting dari itu.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir”

Apa yang patut dan mampu kita sumbangkan kita lakukan dengan niat yang ikhlas. Bersedekah mengikut kemampuan kita dapat menghindari dari mengungkit-ungkit kerana itu adalah harta lebihan setelah menolak sedekah keatas dirinya, isteri dan anak-anaknya dan kaum kerabatnya. Setelah selesai itu, maka barulah disedekah wang lebihan itu kepada orang yang memerlukan saja jika mampu.

Rasulullah SAW bersabda:

“Ada tiga golongan manusia yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, tidak akan dipandang dan tidak akan dihargaiNya, serta bagi mereka disediakan siksa yang pedih”. Siapakah mereka itu, ya Rasulullah?”

Jawab Nabi “Orang yang berbangga-bangga dengan pakaiannya, orang yang menyebut-yebut pemberiannya dan orang yang menawar-nawarkan barang dagangannya dengan sumpah palsu”.

Maka janganlah kita tergolong dalam sifat-sifat yang seperti di atas. Adab bersedekah harus dijaga ketika bersedekah. Jangan mengungkit-ungkit sehingga menyakitkan hati orang yang menerima. Kalau rasa tidak mampu bersedekah atau tidak bersedia, maka jangan sekali-kali memaksa diri untuk bersedekah. Kerana itu boleh menyebabkan penyakit ungkit-mengungkit dalam hati kita.

Wallahu a’lam

Wednesday, September 2, 2009

->Saudara Baru

Ditulis Oleh Sudara Adam Yew Abdullah

Saudara baru ialah sebutan bagi orang yang baru memeluk agama Islam. Orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah secara terus dia sudah dikira sebagai seorang muslim.

Di Malaysia, orang yang memeluk agama Islam dipanggil saudara baru, atau dengan panggilan muaalaf. Saudara baru mereka ini menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang berat setelah bergelar sebagai orang Islam. Seperti juga pada zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat Nabi SAW yang memeluk agama Islam ada yang diseksa, dipulaukan dan dihukum hanya kerana mengakui diri mereka menerima ajaran Rasulullah SAW dan meninggalkan kepercayaan nenek moyang mereka.

Bilal r.a.hu merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang menerima ajaran Nabi SAW dan diseksa oleh Umayyah Bin Khalaf. Bilal seorang hamba Habshi yang dimiliki oleh Umayyah Bin Khalaf. Umayyah Bin Khalaf, pemusuh Islam yang terkemuka yang sama dengan Abu Jahal. Pengislaman Bilal membangkitkan kemarahan Umayyah Bin Khalaf dan menyeksanya supaya meninggalkan Islam. Pada waktu malam Bilal didera dengan cemeti sehingga badannya luka. Pada waktu siang pula, dia dibaringkan di atas pasir yang panas dengan harapan Bilal akan meninggalkan agamanya ataupun menerima akibatnya. Walau bagaimanapun Bilal tetap dengan pendiriannya yang teguh. Akhirnya, Abu Bakar r.a, telah membebaskan Bilal daripada terus dijadikan mangsa penyeksaan oleh Umayyah Bin Khalaf. Selepas itu, hiduplah Bilal sebagai seorang Muslim yang bebas.

Di sini, situasinya tidak jauh berbeza dengan zaman Rasulullah dahulu. Keadaan yang sama dapat dirasai walaupun 1400 tahun telah berlalu. Namun tidaklah seperti Bilal dan para sahabat Nabi SAW yang lain yang diseksa tanpa perikemanusiaan. Paling kurang pun penderaan secara psikologi dan gangguan-gangguan dari ahli keluarga, rakan-rakan mahupun masyarakat luar.

Masyarakat yang tidak memahami, memandang serong terhadap mereka yang memeluk Islam. Pengislaman saudara baru di salah erti oleh segelintir orang yang sengaja tidak mahu menerima kenyataan yang sebenarnya. Mungkin pada anggapan mereka yang memeluk agama Islam ini hanyalah semata-mata ingin berkahwin dengan orang-orang Islam.

Pesepsi ini harus dikikis dari pemikiran setiap orang dalam masyarakat kita secara umumnya. Namun, bukan semua pihak yang berfikiran sedemikian. Ada yang memahami keadaan mereka dan menghulurkan bantuan.

Pada hakikatnya, mereka ini telah diberi hidayah oleh Allah SWT walau apa sekalipun cara dan sebab-sebab dia memeluk Islam. Apa cara sekalipun ia tidak patut dipersoalkan, kerana orang yang memeluk agama Islam itu diberi ‘guide line’ atau panduan. Mereka adalah segelintir insan yang terpilih menjadi tetamu Allah di syurga akhirat nanti.

Allah SWT berfirman:
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

Surah Al-Hajj ayat 78

Setiap manusia yang memeluk agama Islam, diberi kelebihan seperti pengampunan dosa terdahulu. Maknanya, dosa-dosa seseorang itu sebelum memeluk agama Islam akan dihapuskan menjadi putih fitrah semula. Mereka diberi peluang dan kehidupan baru untuk mencorakkan kehidupan baru berdasarkan cara Islam.

Rasulullah SAW bersabda:
1) “Tidak tahukah engkau bahawa Islam itu meruntuhkan apa yang sebelumnya, bahawa hijrah menghapuskan apa yang ada sebelumnya dan bahawa haji menghapuskan apa yang sebelumnya.”( HR Muslim)

Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah tujuan ialah untuk menyaksikan dengan sepenuh keyakinan dan mutlak terhadap keesaan Allah SWT. Seseorang itu perlu yakin dengan kebenaran itu. Dan dia perlu mengikut segala perintahNya dengan cara membenarkan melalui anggota badannya seperti tangan, kaki, lidah, hati dan sebagainya.

Seorang saudara baru, wajib menjalanakan kewajipan seperti muslim yang lain. Namun, diberi kelonggaran dalam menunaikan kewajipannya. Secara asasnya, mereka perlu mempelajari cara-cara bersolat, bersuci dan mendalami Al-Quran. Sebagai permulaan, dengan memepelajari cara-cara bersolat secara ringan dan mudah. Dengan cara ini seseorang itu dapat memahami dengan cepat rukun solat. Tidak perlu tunggu sehingga tahu membaca surah baru nak mula bersolat. Ia menjadi satu kewajipannya mencari jalan untuk bertanya dan belajar sehingga ia boleh bersolat.

Keistimewaan ini dikuniakan ke atas saudara baru ini supaya mereka bersyukur dan bertakwa kepada Allah SWT.

Namun, ada segelintir yang tetap tidak bersyukur walaupun menyedari perbuatan melanggar perintahNya adalah dosa besar. Sikap dan tabiat lama tidak mahu berubah seperti meminum arak, memain judi, memakan daging babi dan berzina antara perbuatan yang diharamkan oleh Islam masih dipraktikkan. Kewajipan bersolat diabaikan dan suruhan untuk berpuasa juga tidak diendahkan oleh sesetengah saudara baru. Tanggapan yang salah tentang Islam iaitu Islam membebankan dan menghalang mengecapi kekayaan dan harta dunia. Ada juga yang terpengaruh oleh kepentingan semata-mata seperti berkahwin dengan orang Islam mengakibatkan kejahilan dalam pengetahuan tentang Islam.

Kita tidak dapat menafikan bahawa ada segelintir saudara baru yang bersikap seperti yang disebutkan di atas.

Mereka adalah golongan minoriti dalam masyarakat Islam yang sesat dan kufur dengan kejahilan mereka. Kejahilan mereka disebabkan mereka terikat dengan kepentingan sendiri seperti ingin mengahwini perempuan atau lelaki melayu yang beragama Islam. Mereka terpaksa menukar agama mereka kepada agama Islam tanpa mengenali Islam itu sebenar. Malah, ada di antara mereka yang terikut dengan pengaruh rakan yang tidak mempraktik Islam dengan cara yang betul , menyebabkan mereka terpesong. Selain itu, ada yang sekadar ingin mencuba dan berniat jahat untuk merosakkan orang lain. Di samping itu, ada juga yang mendapat bantahan dari pihak keluarga kerana tidak setuju dengan mereka memeluk agama Islam. Ini semua menjadi faktor mereka berubah bahkan ada yang terkeluar dari Islam.

Seperti yang kita semua ketahui dalam kes Lina Joy dan Fatimah Abdullah adalah terdorong oleh faktor-faktor tersebut. Semata-mata ingin berkahwin dengan kekasihnya tanpa mengetahui apa tu Islam sebenarnya.

Kita sedih bila ada orang mengambil masalah ini mudah tanpa memikirkan panjang kesan yang dihadapi dalam masyarakat. Dengan sewenang-wenang Islam itu dipeluk bila perlukan, dibuang bila tidak perlukan lagi seperti membeli baju di pasar malam. Nauuzubillah.

Wallahu a’lam

Laman Pilihan

Video Pilihan

Quran Search

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Hadis Search

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com