Ditulis oleh Adam Yew Abdullah
Sejak kecil kami dibimbing oleh ayah kami dalam bab agama. Seperti ayah lain, dia menjalankan kewajipan mendidik anak-anak tentang agama yang dianuti sejak nenek moyang.
Tidak dapat dielakkan salah satu topik pengajaran itu ialah menyentuh tentang bab penyembahan berhala.
Pada masa itu, kami masih budak-budak mentah belasan tahun. Tidak dapat menilai kebenaran sesuatu kepercayaan itu.
Kepercayaan yang bermacam-macam karut dan tidak sedikit pun membawa keuntungan kepada kami. Yang pasti yang miskin tetap berbelanja untuk yang sudah kaya. Kerana setiap upacara keagamaan melibatkan duit untuk membeli barangan untuk disembahkan kepada patung-patung sang dewa kaku.
Hasil dari pergaulan saya dengan rakan-rakan membawa saya mengenal agama Allah. Kebetulan ibu salah seorang rakan saya mengajar mengaji al-quran budak-budak.
Pada masa itulah saya mengenal huruf alif ba ta dan mendengari bacaan al-quran. Saya mula mengenal al-quran sejak dibangku sekolah, melalui seorang ustazah. Sedikit sebanyak saya mengenali agama Islam ketika itu.
Kami adik-beradik boleh dikatakan kuat pegangan agama. Kami menerima apa saja yang diajar oleh ayah kami tanpa mengenali kesahihan sesuatu kepercayaan itu.
Ayah saya banyak berkorban terhadap keluarga. Tetapi nasib tidak memyebelahinya. Pelbagai masalah ditimpa olehnya, sehinggakan businessnya terpaksa gulung tikar akibat kemerosotan pada tahun 1998.
Keadaan menjadi teruk apabila berlaku perpisahan di antara ibu dan ayah saya. Mereka berpisah kerana kepentingan mencari habuan kekayaan dan masing-masing dengan tujuan hidup.
Peristiwa menyayat ini diselubungi dengan kematian kakak kandung saya. Kematian ini memberikan impak besar kepada ibu saya.
Kami anak-anak masih tinggal bersama ibu sehingga ke hari ini. Ayah kami telah meninggalkan kami tanpa apa-apa berita.
Hari ini, saya terkejut dengan satu panggil dari seorang ustazah. Panggilan itu mengejutkan saya dan isteri saya, kerana tiba-tiba mendapat berita ayah saya memeluk agama Islam.
Perasaan saya rasa gembira, sedih dan marah bercampur baur. Tidak seperti orang lain merasai gembira dan syukur dengan berita ayah saya memeluk Islam.
Mungkin kerana hati saya sudah kebas kerana selama ini tiada berita darinya tiba-tiba muncul dengan berita yang mengejutkan ini.
Setelah melalui suatu proses kehidupan yang begitu lama dan panjang, serta penuh dengan liku-liku hidup, akhirnya menemui kebenaran.
Saya tidak menyalahkan qada dan qadar kerana apa yang menimpa nasib saya dan keluarga saya. Tetapi sebaliknya, saya bersyukur kerana dengan qada dan qadarlah, saya sampai ke hari ini. Alhamdulillah.
Islam menjadi pilihan utama kerana Islam menjadi tempat bergantung serta berpaut untuk mendapatkan ketenangan hidup dengan Allah SWT.
Inilah kebenaran yang dicari-cari selama ini, iaitu ISLAM!
1 comment:
Salam,
Perkenalan kami tak dirancang, bertemunya jodoh kami tak diduga..segala yg berlaku adalah kehendak-Nya.Ana bersyukur kerana Islam pilihannya. Terjalinnya ikatan kami suami isteri bukan kerana cinta semata2,tapi kerana cintanya kpd Allah S.W.T. Ana bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana menjadi isterinya.Kini kami telah dikurniakan 2 cahayamata.Semoga Allah S.W.T tekadkan iman didadanya untuk membimbing kami sekeluarga dan moga Allah S.W.T panjangkan jodoh kami hingga keakhirnya.AMIN...
Post a Comment