Di tulis oleh Adam Yew Abdullah
Terlintas dalam pemikiran saya untuk membincangkan topik solat sunat witir. Kerana saya rasa sekarang ini sudah masuk bulan Rejab, tak lama lagi akan masuk bulan Saaban. Selepas itu bulan Ramadhan pun menjelma. Kita pun mula berpuasa.
Pada waktu malam dalam bulan Ramadhan, umat Islam disibukkan dengan solat sunat Tarawih. Solat sunat tarawih dilakukan di waktu selepas sembahyang solat Isyak. Solat sunat tarawih dimulakan sejurus selepas solat Isyak.
Pelbagai pandangan mengenai solat sunat tarawih ini. Ada yang kata 8 rakaat campur 3 rakaat solat sunat witir menjadi 11 rakaat. Dan ada juga yang berpendapat 21 rakaat campur dengan 3 rakaaat solat sunat witir menjadi 24 rakaat. Walau bagaimanapun, bukan niat atau tujuan saya untuk membincangkan topik permasalahan khilafiah ini tetapi topik yang saya ingin diperkatakan ialah solat sunat witir.
Ramai orang yang berpandangan solat witir ini hanya dilakukan dalam bulan Ramadhan saja. Dan beranggapan bahawa dilakukan selepas 15 Ramadhan. Selepas bulan Ramadhan, solat sunat witir ini tidak lagi dipraktik.
Solat sunat witir adalah solat sunat yang muakkad atau sunat yang dituntut. Ia mempunyai sumber yang sahih. Ia dilakukan oleh Rasulullah SAW setiap hari dan dianjurkan kepada umat Islam supaya melakukannya juga setiap hari. Bukan sekadar melakukannya secara bermusim iaitu dalam bulan Ramadhan sahaja.
Keutamaan:
Dari Ali r.a, katanya:
"Sebenarnya witir itu bukanlah fardhu sebagaimana solat-solat lima waktu yang diwajibkan. Hanya saja Rasulullah SAW setelah berwitir, pernah bersabda: "Wahai ahli Quran, kerjakanlah solat witir sebab Allah itu witir (Maha Esa) dan suka sekali kepada ..." (1)
HR Ahmad
Waktunya:
Para ulama telah sepakat bahawa waktu solat sunat witir itu ialah sesudah solat Isyak dan terus berlangsung sehingga fajar.
Dari Abu Tamim Al-Jaisyani ra bahawa Amr bin Al-Ash pernah berkhutbah di hadapan orang banyak dan berkata: "Abu Bashrah memberitahukan kepadaku bahawa Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah memberikan tambahan padamu suatu solat yaitu Witir. Maka kerjakanlah solat itu antara solat Isyak hingga solat Fajar". ...".(2)
HR Ahmad
Bilangan Rakaat Witir:
Cara solat witir mengikut rakaat dilakukan dalam bilangan yang ganjil. Seperti 1 rakaat, 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat, 11 rakkat dan seterusnya.
Dari Aisyah, "Rasulullah SAW itu sembahyang malam sembilan rakaat dan tidak duduk melainkan dalam rakaat ke 8 lalu berzikir kepada Allah, memuji-Nya serta berdoa. Kemudian beliau SAW bangun lagi dan tidak bersalam, lalu melanjutkan rakaat yang ke-9, terus duduk, bertasyahhud dan bersalam agak keras sampai kami dapat mendengarnya. Selanjutnya beliau SAW bersembahyang 2 rakaat lagi setelah salam tadi sambil duduk. Dengan demikian seluruhnya ada sebelas rakaat. Setelah beliau SAW tua dan kekuatannya banyak berkurang, lalu berwitir 7 rakaat dan cara melakukan yang 2 rakaat seperti yang di atas".
HR Bukhari & Muslim
Berqunut:
Selepas selepas selesai dalam rakaat yang terakhir, kita perlu membaca doa qunut yang seperti diajar. Bacaan doa qunut itu disyariatkan dalam solat Witir berdasarkan hadis.
Dari Hasan bin Ali ra, katanya: "Rasulullah SAW mengajarkan doa-doa untuk saya baca dalam Witir,.... (3)
HR Ahmad
Sehubungan dengan ini, marilah kita sama-sama merenung kembali keutamaan yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam. Janganlah kita leka dan mengambil sambil lewa tidak mahu mempedulikan sunnah Rasulullah SAW. Kerana mengejar sunnah Rasulullah SAW ialah menjadi kewajipan kita semua.
Sekian.
No comments:
Post a Comment