Tuesday, October 7, 2008

->Apa ertinya kita beragama Islam tapi tidak bersolat

Oleh Adam Yew Abdullah

Seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah, secara langsung orang itu telah pun beragama Islam. Seseorang yang beragama Islam wajib bagi dirinya mengikut perintah Allah SWT. Kewajipan yang pertama baginya ialah belajar bersembahyang. Bersembahyang atau bersolat adalah kewajipan yang paling utama dalam Islam. Sebab Islam menekankan bersolat adalah bukti penyaksian seseorang manusia itu kepada Allah SWT. Seperti mana Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 25,

Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku, oleh itu beribadatlah kamu kepadaKu.
Jelas sekali bagi kita, seseorang yang mengakui dirinya Islam maka dia harus sedar bahawa dia wajib menunaikan solat.

Solat adalah ibadat yang terpenting dalam Islam. Segala amalannya, terletak dalam solatnya. Sekiranya, solatnya baik maka segala amalannya adalah baik dan diterima oleh Allah SWT. Sekiranya, solatnya tidak baik maka segala amalannya tertolak. Seseorang yang mengakui dirinya Islam tetapi tidak tahu kewajipannya sebagai seorang Islam, maka dia tidak ditunjuk jalan yang lurus oleh Allah SWT. Keyakinannya pula terhadap Allah SWT dipersoalkan kerana dia tidak tahu menjalankan kewajipannya sebagai orang yang beragama Islam. Dalam surah Al-Munafiqun ayat 1,

Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.

Allah menyifatkan orang-orang yang mengakui dirinya sebagai Islam tetapi tidak bersolat dan tidak melakukan kewajipannya disifatkan sebagai orang munafik. Orang munafik ialah orang yang berbohong mengakui dia Islam dan penyaksiannya terhadap Allah SWT adalah dusta semata-mata. Golongan ini adalah golongan yang sesat dan tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT.

Walau bagaimanapun ada juga segelintir orang Islam yang masih ragu-ragu dengan hukum-hukum Allah SWT. Mereka mempertikaikan suruhan Allah SWT dalam melakukan kebajikan. Mereka langsung tidak mempedulikan hukum-hukum Allah seperti bersolat lima waktu sehari semalam dan berpuasa. Ada yang setelah memeluk agama Islam langsung tidak mahu mengerjakan solat di surau atau di masjid. Mereka berasa malu segan kerana masyarakat bukan Islam memandang serong terhadap mereka. Mereka berasa tidak aman kerana mereka diperhati oleh masyarakat bukan Islam yang sengaja mahu merosakkan keimanannya terhadap Allah SWT.

Inilah antara masalah-masalah yang dihadapi oleh orang-orang Islam yang memeluk agama Islam setelah diberi hidayah oleh Allah SWT. Akhirnya mereka terkecundang dan kufur dengan rahmat Allah SWT.

Sebaliknya orang-orang Islam yang diberi hidayah dan petunjuk seharusnya berbangga kerana mereka adalah golongan yang dipilih oleh Allah SWT untuk memenuhi ruang syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Surah Al-A’la ayat 14 dan 15,

Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).

Surah Az-Zukhruf ayat 72,

Dan (dikatakan lagi kepada mereka): Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.

Di samping itu, orang-orang Islam harus bersabar dalam menghadapi bantahan
masyarakat bukan Islam kerana kita tahu itu adalah cabaran bagi orang-orang Islam. Masyarakat bukan Islam sentiasa menentang umat Islam kerana mereka tidak dapat menerima hakikat semakin ramai yang memeluk agama Islam. Oleh itu mereka memberontak dengan menghalangi dan mencaci sesiapa saja yang mendekati Islam. Dalam surah Al-Hijr ayat 94, Allah memberi peringatan kepada umat Muhammad SAW,

Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.

Oleh itu kita haruslah yakin dengan pendirian kita bahawa kebenaran berpihak kepada kita. Janganlah kita berasa ragu-ragu dengan kepercayaan kita terhadap Allah SWT. Sekiranya kita percaya kepada Allah SWT, jalankanlah tangungjawab kita sebagai seorang Islam yang beriman kepada Ilahi. Ada segelintir orang Islam yang hanya pandai bertutur tentang sesuatu hukum Islam tetapi tidak pula pandai melakukan solat. Ada juga yang berharta banyak tetapi tidak mahu membayar zakat. Ada yang sudah berumahtangga dan berkeluarga tetapi jahil tentang Islam akibat itu merosakkan aqidah pegangan orang lain termasuk isteri dan anak-anak mereka. Selain itu, ada yang masih suka berjudi dan masih suka menikmati makanan yang telah diharamkan oleh Islam. Semua ini adalah antara sifat-sifat orang kafir yang masih ada pada diri orang Islam itu sesudah dia memeluk agama Islam. Orang Islam sebegitu sememangnya tidak mahu berubah dan yang masih mahu mengikuti tabiat lamanya ketikanya belum Islam lagi.

Mungkin bagi mereka Islam tidak membawa apa-apa makna bagi diri mereka, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mendapat hidayah melalui percintaan atau perkahwinan dengan orang Islam asal. Islam hanya sekadar agama pegangan bagi mereka. Sama ada mereka menjalankan tanggungjawab mereka ataupun tidak itu adalah soal lain, yang penting Islam.

Orang Islam sebegitu juga tidak mahu menggunakan akal fikirannya berfikir kebenaran yang dibawa oleh Islam melalui Nabi Muhammad SAW. Mereka engkar dengan ayat-ayat Allah SWT dengan melanggar peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Mereka lebih cendorong mengikut hawa nafsu dan jalan syaitan dalam melaksanakan kehidupan mereka. Kehidupan mereka yang sepatutnya berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW, agar kehidupan mereka mendapat petunjuk kepada jalan yang lurus dan diredai oleh Allah SWT.

Surah Ali Imran ayat 19

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Agama Islam adalah agama Allah SWT yang diredai oleh-Nya. Adakah mereka tidak memikir bahawa mereka telah diberi petunjuk? Atau adakah mereka sengaja tidak mahu menghiraukan perintah Allah SWT ?

Hukum orang Islam yang sengaja meninggalkan solat adalah haram di sisi syariat Islam. Hukum haram membawa kepada dosa besar. Ada kemungkinan membawa kepada kekafiran yang dosanya tidak mungkin diampuni Allah SWT setelah diberi hidayah. Mengikut pendapat lain pula, hukum orang Islam yang meninggalkan solat adalah hukuman bunuh. Hukuman ini adalah amat berat sekali, yang mungkin bagi kita tidak dapat menerimanya. Seolah-olah kita telah melakukan jenayah yang berat dan hukuman yang dikenakan adalah setimpal dengan kesalahan kita. Walau apa pun jenis hukumannya, kesalahan orang Islam yang sengaja tidak mahu bersolat tetap berat kesalahannya. Dosanya pula adalah amat besar sehinggakan ulama-ulama menafsirkan mereka sebagai kufur dengan rahmat Allah SWT.

Surah Al-Muddaththir ayat 42-43,

(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Ternyatalah ayat Al-Muddaththir itu Allah SWT memberi peringatan kepada kita semua bahawa orang-orang yang mengakui dirinya beragama Islam tetapi tidak mahu melakukan kewajipan bersolat maka tempatnya adalah di neraka. Sepatutnya mereka ini sedar akan akibatnya yang akan diterimanya pada hari pembalasan nanti. Pada saat itu mereka akan menyesal selama-lamanya. Penyesalan mereka tidak ada gunanya pada ketika itu. Ini kerana mereka engkar dengan perintah Allah SWT dan alpa dengan kenikmatan harta dunia ketika mereka masih hidup sehingga hati mereka menjadi gelap.
Agama Islam bukan hanya sekadar agama pegangan dalam menjalani kehidupan di dunia ini tanpa beramal dengan amalan Islam yang betul. Seseorang yang beragama Islam tidak sempurna Islamnya sekiranya hanya mempercayai Allah SWT itu wujud. Ini kerana kepercayaannya terhadap Islam tidak dapat dibuktikan oleh tinkah lakunya. Dia hanya mengaku bahawa dia Islam tetapi keislamannya tidak ditonjolkan melalui anggota badannya sebagai umat Islam. Ini adalah penting sebagai seseorang Islam dia sedar dengan kewajipan dia sebagai hamba Allah SWT. Oleh yang demikian segala tingkah lakunya mencerminkan dirinya sebagai seorang Islam yang sejati sejajar dengan pegangannya dalam bahtera kehidupan sebagai seorang Islam. Pengislaman seseorang hamba Allah tidak dapat dibuktikan dengan sekadar niat di hati mengakui bahawa dia percaya kepada Allah atau dia beragama islam. Penyaksian sebegini tidak memberi keyakinan pada dirinya dan menyebabkan dia berasa ragu-ragu dengan apa yang dia percaya. Kepercayaan dia terhadap Allah SWT hanya dengan niat tidak memadai dengan kemahuan acuan Islam yang betul.

Ada segelintir orang Islam yang berpendapat bahawa sudah memadai kalau sekadar niat di hati bahawa dia beragama Islam. Ada di antara mereka yang juga mempertikaikan ayat-ayat Al-Quran terutama dalam perkara bersolat. Mereka berpendapat bahawa solat tidak pernah disuruh buat oleh Allah SWT, kerana tidak disebut dengan jelas dalam Al-Quran.

Seruan untuk bersolat banyak disebut di dalam Al-Quran, antaranya

Surah Az-Zaariyat ayat 56, Allah SWT berfirman…

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 21, Allah lagi sekali berfirman memerintah orang-orang Islam bersolat.

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.

Firman Allah wajar sekali kita sebagai orang Islam memberi tumpuan terutama sekali tentang solat.

Orang-orang Islam yang mengaku dirinya sebagai Islam wajib baginya menunaikan solat lima waktu sehari semalam.

Surah Thaahaa ayat 130, Allah SWT berfirman tentang solat lima waktu…

Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).

Seruan solat dan kewajipan umat Islam mematuhi hukum-hukum Islam akan kita panjangkan pada artikel yang akan datang. InsyaAllah.

Wallahu a’lam

No comments:

Laman Pilihan

Video Pilihan

Quran Search

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Hadis Search

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com