Ditulis oleh Adam Yew Abdullah
Hari ini sudah masuk hari ke-16 umat Islam berpuasa. Siang hingga ke malam kita sibuk dengan menunaikan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bermula dari sebelum fajar kita bangun bersahur. Kemudian bersolat dan seterusnya menyambung aktiviti seharian kita seperti waktu-waktu biasa. Pada sebelah malam pula, kita berbuka puasa dan sejurus itu kita melakukan solat terawih.
Beginilah, ‘routine’ kita setiap hari di bulan berpuasa yang mulia ini. Dan ada yang berkesempatan mengambil masa cuti panjang yang ada untuk bershopping untuk membeli baju-baju raya. Sebagai persiapan menyambut kemenangan di bulan Syawal. Dan ada juga yang tidak mahu ketinggalan, menyiapkan juadah kuih muih untuk tatapan hari raya nanti.
Dalam bulan ini juga, pelbagai rancangan telah diatur untuk memenuhi syarat-syarat dalam pengamalan kita sebagai seorang Islam. Bulan yang mulia ini, kita disuruh untuk banyak bersedekah. Tidak kiralah apa bentuk sedekah sekalipun tetap kita lakukan dengan seikhlas hati kita.
Ada di antara umat Islam bersedekah wang ringgit kepada anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Inilah saja aktiviti yang nampaknya menjadi satu ‘trend’ masyarakat kita sekarang. Menjadi satu lumrah kebiasaan apabila bertemu dengan bulan Ramadhan kita berpusu-pusu melaksanakan kebajikan.
Alhamdulillah, ini suatu sifat-sifat yang terpuji dan masih ada yang ingat dalam bulan puasa ini. Tapi biarlah sifat-sifat ini berterusan sehingga bila-bila tidak kira masuk bulan apa pun. Janganlah hanya pada bulan Ramadhan saja kita mengingati orang-orang yang susah. Baru nak cari rumah anak-anak yatim yang mana kita nak bantu. Waktu-waktu biasa kita lupa akan hak kebajikan mereka.
Tapi berwaspada pada orang-orang yang bersedekah itu janganlah sampai bersikap riak dan menunjuk-nunjuk sehingga orang-orang yang menerima sedekah kita itu terguris hati kerana kita suka mengungkit-ungkit derma kita yang tidak seberapa itu. Kita mungkin tidak rasa apa-apa sebab kita adalah pihak yang memberi atau menyumbang. Kerana bagi diri kita, mungkin kita rasa cukup dan tidak susah. Tetapi tidak bagi pihak anak-anak yatim atau fakir miskin. Mereka berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan kita untuk hidup. Mahu tidak mahu mereka perlu meneruskan hidup mereka. Tidak ada apa-apa lain yang lebih penting dari itu.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir”
Apa yang patut dan mampu kita sumbangkan kita lakukan dengan niat yang ikhlas. Bersedekah mengikut kemampuan kita dapat menghindari dari mengungkit-ungkit kerana itu adalah harta lebihan setelah menolak sedekah keatas dirinya, isteri dan anak-anaknya dan kaum kerabatnya. Setelah selesai itu, maka barulah disedekah wang lebihan itu kepada orang yang memerlukan saja jika mampu.
Rasulullah SAW bersabda:
“Ada tiga golongan manusia yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, tidak akan dipandang dan tidak akan dihargaiNya, serta bagi mereka disediakan siksa yang pedih”. Siapakah mereka itu, ya Rasulullah?”
Jawab Nabi “Orang yang berbangga-bangga dengan pakaiannya, orang yang menyebut-yebut pemberiannya dan orang yang menawar-nawarkan barang dagangannya dengan sumpah palsu”.
Maka janganlah kita tergolong dalam sifat-sifat yang seperti di atas. Adab bersedekah harus dijaga ketika bersedekah. Jangan mengungkit-ungkit sehingga menyakitkan hati orang yang menerima. Kalau rasa tidak mampu bersedekah atau tidak bersedia, maka jangan sekali-kali memaksa diri untuk bersedekah. Kerana itu boleh menyebabkan penyakit ungkit-mengungkit dalam hati kita.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment