Ditulis oleh Adam Yew Abdullah
Cuti hari pekerja tambah dengan cuti hari minggu menjadi cuti panjang. Ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung, maklumlah lagipun awal bulan. Saya juga tidak ketinggalan untuk berbalik kampung ke Nibong Tebal. Lagipun, Ayu dan Aliya dah sebulan tak bermanja dengan toknya di kampung.
Saya bertolak dari rumah lebih kurang 12.30tghari dan dijangkakan akan sampai ke kampung pada jam 2.00 petang.
Dalam perjalanan pulang ke kampung, saya bersinggah sekejap di perhentian toll lebuhraya utara-selatan di Juru. Persinggahan sementara ini adalah untuk mengisi perut yang kosong ini. Maklumlah dari pagi tadi tak makan sarapan lagi.
Sengaja saya memilih hari Jumaat. Kerana kalau kita bermusafir pada hari Jumaat, kewajipan bersolat jumaat jatuh dan kita cuma perlu melakukan solat musafir. Keringanan ini dinamakan 'rukhshah'.
Mengimbas kembali sunnah Rasulullah SAW, ketika Nabi SAW dalam perjalanan bermusafir beliau tidak melakukan solat Jumaat. Begitupun sewaktu beliau mengerjakan haji Wada’ di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, beliau hanya bersembahyang zohor dan asar secara jamak taqdim dan tidak melakukan solat Jumaat. Dan demikianlah pula yang dilakukan oleh para khalifah sepeninggal beliau.
Kelihatan ramai kaum lelaki dan famili masing-masing tengah sibuk mencari lauk pauk dan makanan untuk mengisi perut. Maklumlah, ada yang datang dari Kedah dan ada yang hendak menuju ke Perak.
Saya tidak mahu membuat sebarang tafsiran dalam hati. Nanti wujud sangkakan buruk pula. Tampak bilangan muslimin yang berada di situ agak ramai dari berbagai peringkat umur.
Tetapi dalam hati, saya berharap kaum lelaki yang berada di situ, pakcik-pakcik, abang-abang dan adik-adik yang bermusafir, mengamalkan sunnah Nabi SAW. Allah SWT memberi keringanan kepada kita supaya tidak menyusahkan kita ketika dalam musafir.
Jangan pula ada yang menafsir tidak perlu bersolat langsung apabila bermusafir mengikut mazhab sendiri. Kewajipan solat untuk 5 waktu wajib ditunaikan seperti biasa kita lakukan setiap hari. Cuma apabila kita bermusafir kewajipan itu menjadi kewajipan untuk menjamak solat kita ketika dalam perjalanan.
Solat bermusafir kita menjamak 2 solat dalam 1 waktu. Sama ada kita jamak dalam waktu zohor atau asar. Atau dalam waktu maghrib atau isyak.
Solat qasar pula, kita memendek rakaat solat kita. Contoh, zohor, asar dan isyak rakaat solat itu kita pendekkan dari 4 rakaat hingga menjadi 2 rakaat. Manakala, maghrib tidak dipendekkan. Sama.
Solat musafir ada 2 keutamaan waktunya. Kalau dijamak dalam waktu awal itu jamak taqdim namanya. Manakala pula, jamak akhir itu jamak waktu taqkhir. Misalnya, jamak taqdim, kita bawa solat asar atau isyak dalam solat zohor atau maghrib. Jamak taqkhir pula, kita bawa solat zohor atau maghrib ke dalam solat asar ataupun isyak.
Dari segi perlaksanaannya, yang manakah waktu yang harus kita utamakan, di bawah ini ada hadis menerangkan caranya.
Dari Kuraib yang diterimanya dari Ibnu Abbas, katanya:
“Inginkah tuan-tuan saya ceritakan perihal solat Rasulullah SAW sewaktu sedang bermusafir”. Jawab kami: “Baik!” Katanya: Jika selagi di rumah matahari telah tergelincir, beliau jamak solat zohor dengan asar sebelum berangkat, tetapi kalau belum lagi tergelincir, maka beliau berjalan, hingga bila nanti waktu asar masuk, beliaupun berhenti menjamak solat zohor dengan asar. Begitu juga jika selagi beliau di rumah waktu maghrib sudah masuk, beliau jamak solat maghrib itu dengan isyak, tetapi kalau waktu belum lagi masuk, beliau terus saja berangkat dan nanti kalau waktu isyak tiba, beliaupun berhenti untuk menjamak solat maghrib dan isyak itu.”
(HR Ahmad)
Perjalanan saya mengambil masa selama 1 jam setengah. Maklumlah, bawa famili kenalah bawa kereta dengan perlahan dan cermat. Bila sesampainya di rumah, menjadi kebiasaannya, Ayu dengan temannya ‘cheh-cheh’ (kakak dalam bahasa mandarin) mula bermain dalam rumah.
Kami sekeluarga bermalam di situ untuk sehari dan keesokkan hari kami kena bertolak pulang. Kesingkatan masa ini, kami penuhi dengan perkara-perkara yang penuh bermakna dan bernostalgia.
No comments:
Post a Comment