Wednesday, September 30, 2009

-> Ayahanda Memeluk Islam

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Alhamdulillah. Syukurulillahi…

Hari raya tahun ini bertambah mesra kerana saya serta keluarga sempat menjejak kasih ayahanda yang selama ini terpisah sekian lama.

Di dalam kegembiraan itu, di tambah dengan rasa kesyukuran pula kerana ayahanda telah memeluk Islam 5 bulan yang lalu. Nama Islamnya, Muhammad Haikal Yew Abdullah.

Subhanallahi wabihamdihi…Subhanaka Allah humma wabihamdika….

Isteri dan anak-anak (Ayu & Aliya) sempat bertemu dan bersalaman dengan datuknya.

Apabila mengetahui ayahanda memeluk Islam, segala memori lama yang terpancar dalam minda sekian lama mulai malap.

Masih ingat lagi di dalam pemikiran sejak kecil dahulu kami diajar menyembah patung-patung berhala oleh ayahanda dahulu.

Sekarang ayahanda pula yang memeluk Islam. Segala kebatilan terkubur dan tertegaknya kebenaran. Hala tuju dan haluan yang terang dan jelas. Tujuan maklamat hidup yang lebih sempurna.

Kerana Islam menyuluh ke arah kebenaran dalam kehidupan di dunia akhirat. Islam membawa ketenangan dalam hidup. Islam menjana pemikiran yang rasional.

Alhamamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah…..

Wednesday, September 16, 2009

-> Hari Raya Bukan Hari Sedih

oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hariraya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hariraya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hariraya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?

Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.

Firman Allah (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.

Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.

Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.

Hiburan

Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.

Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.

Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.

Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.

Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.

Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.

Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.

Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam

Monday, September 14, 2009

-> Nostalgia Rumah Nasyiatul Aisyiah

Di tulis Oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Gambar-gambar ini dikirim oleh seorang hamba Allah. Menurut sejarah penubuhan rumah anak-anak yatim ini, tapak rumah ini dahulunya dibina pada tahun 2000. Diusahakan oleh orang sama juga iaitu Ustazah Rohani.













Inilah keadaan rumah anak-anak yatim yang tidak mempunyai ibubapa.

Kunjungan ke rumah anak yatim ini, telah menyedarkan saya bahawa masih ada orang yang lebih susah daripada kita.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT.

Sekian

Wallahu a'lam

Saturday, September 12, 2009

-> Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Balik Pulau 2009

Ditulis oleh Sdr Adam Yew Abdullah

Pusat Jagaan dan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah, terletak di Balik Pulau, Pulau Pinang. Ditubuhkan pada tahun 2000. Pusat kebajikan ini memuatkan anak-anak yatim yang ada di antara mereka dibiarkan oleh Ibubapa. Sehingga kini seramai 27 orang anak-anak yatim. Ikutilah kisah-kisah mereka berserta dengan gambar di bawah.


Halaman luar rumah anak yatim Nasyiatul Aisyiyah. Khemah dipasang untuk orang ramai berbuka puasa.


Rumah Nasyiatul Aisyiyah didirikan pada tahun 2000 - 2001 dengan kerjasama warga kilang seperti Motorola, Intel dll.



Pusat Jagaan Anak-anak yatim diurus oleh Ustazah Rohani dan keluarganya.


Ustazah Rohani memberi ucapan dan menceritakan pengalaman beliau menjaga anak-anak yatim.



Bayi berumur 1 bulan ini ditinggalkan oleh ibunya.


Bayi berumur 9 bulan ini ialah kacutkan Melayu Filipina, yang diislamkan oleh Ustazah Rohani.


Budak-budak lelaki sedang mendengar ucapan oleh Ustazah Rohani. Mereka berasa begitu seronok dengan kehadiran kami.


Budak-budak perempuan melayan kami dengan baik. Ada yang mereka menitiskan air mata ketika mendengar kisah mereka yang tidak mengenali siapakah Ibubapa mereka.


Penyampaian hadiah yang tidak seberapa kepada tuan rumah yang juga seorang Ustaz.


Pemberian Sumbangan RM5,000.00 dari warga kilang yang beragama Islam yang prihatin. Moga-moga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban hidup mereka.


Tetamu sedang menunggu waktu berbuka puasa. Sambil bersuai kenal dan menghayati suasana rumah anak yatim.


Warga kilang menaiki bas menuju ke rumah anak yatim. Ada yang belum sampai. Berlaku kelewatan disebabkan keadaan hujan.


Juadah berbuka puasa dalam bentuk bufet melalui wawasan katering . Alhamdulillah, makanannya sedap dengan lauk pautnya dan nasi minyak. MMMmmmmmm....


"Team" warga kilang bersama-sama dengan anak-anak yatim dan ibu tunggal bergambar bersama.


Kepada warga kilang yang beragama Islam yang telah menyumbangkan tenaga, wang ringgit dan apa sekalipun bentuk sumbangan, kami dalam jawatankuasa surau mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga.

Semoga kebaikan yang kita lakukan ini mendapat rahmat dan pahala berlibat ganda dari Allah SWT.

Sesiapa yang berprihatin dan ingin menyumbang kepada Pusat Nasyiatul Aisyiyah ini, berikut adalah maklumat bank akaun Pusat Nasyiatul Aisyiyah:

Nama : Pusat Jagaan dan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah

Akaun Nombor : 157081009973 (Maybank)

Contact No : 016 467 9217

Barangan yang diperlukan :
1) Susu bayi berumur 1 bulan dan 9 bulan (Jenama Anmum)
2) Pampers New Born dan juga size 'L'.
3) Barangan keperluan.
4) Sumbangan wang ringgit.


Jazakallahu Khai ron.

wallahu a'lam

Tuesday, September 8, 2009

-> Jangan beramal cara bermusim

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Hari ini sudah masuk hari ke-16 umat Islam berpuasa. Siang hingga ke malam kita sibuk dengan menunaikan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bermula dari sebelum fajar kita bangun bersahur. Kemudian bersolat dan seterusnya menyambung aktiviti seharian kita seperti waktu-waktu biasa. Pada sebelah malam pula, kita berbuka puasa dan sejurus itu kita melakukan solat terawih.

Beginilah, ‘routine’ kita setiap hari di bulan berpuasa yang mulia ini. Dan ada yang berkesempatan mengambil masa cuti panjang yang ada untuk bershopping untuk membeli baju-baju raya. Sebagai persiapan menyambut kemenangan di bulan Syawal. Dan ada juga yang tidak mahu ketinggalan, menyiapkan juadah kuih muih untuk tatapan hari raya nanti.

Dalam bulan ini juga, pelbagai rancangan telah diatur untuk memenuhi syarat-syarat dalam pengamalan kita sebagai seorang Islam. Bulan yang mulia ini, kita disuruh untuk banyak bersedekah. Tidak kiralah apa bentuk sedekah sekalipun tetap kita lakukan dengan seikhlas hati kita.

Ada di antara umat Islam bersedekah wang ringgit kepada anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Inilah saja aktiviti yang nampaknya menjadi satu ‘trend’ masyarakat kita sekarang. Menjadi satu lumrah kebiasaan apabila bertemu dengan bulan Ramadhan kita berpusu-pusu melaksanakan kebajikan.

Alhamdulillah, ini suatu sifat-sifat yang terpuji dan masih ada yang ingat dalam bulan puasa ini. Tapi biarlah sifat-sifat ini berterusan sehingga bila-bila tidak kira masuk bulan apa pun. Janganlah hanya pada bulan Ramadhan saja kita mengingati orang-orang yang susah. Baru nak cari rumah anak-anak yatim yang mana kita nak bantu. Waktu-waktu biasa kita lupa akan hak kebajikan mereka.

Tapi berwaspada pada orang-orang yang bersedekah itu janganlah sampai bersikap riak dan menunjuk-nunjuk sehingga orang-orang yang menerima sedekah kita itu terguris hati kerana kita suka mengungkit-ungkit derma kita yang tidak seberapa itu. Kita mungkin tidak rasa apa-apa sebab kita adalah pihak yang memberi atau menyumbang. Kerana bagi diri kita, mungkin kita rasa cukup dan tidak susah. Tetapi tidak bagi pihak anak-anak yatim atau fakir miskin. Mereka berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan kita untuk hidup. Mahu tidak mahu mereka perlu meneruskan hidup mereka. Tidak ada apa-apa lain yang lebih penting dari itu.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir”

Apa yang patut dan mampu kita sumbangkan kita lakukan dengan niat yang ikhlas. Bersedekah mengikut kemampuan kita dapat menghindari dari mengungkit-ungkit kerana itu adalah harta lebihan setelah menolak sedekah keatas dirinya, isteri dan anak-anaknya dan kaum kerabatnya. Setelah selesai itu, maka barulah disedekah wang lebihan itu kepada orang yang memerlukan saja jika mampu.

Rasulullah SAW bersabda:

“Ada tiga golongan manusia yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, tidak akan dipandang dan tidak akan dihargaiNya, serta bagi mereka disediakan siksa yang pedih”. Siapakah mereka itu, ya Rasulullah?”

Jawab Nabi “Orang yang berbangga-bangga dengan pakaiannya, orang yang menyebut-yebut pemberiannya dan orang yang menawar-nawarkan barang dagangannya dengan sumpah palsu”.

Maka janganlah kita tergolong dalam sifat-sifat yang seperti di atas. Adab bersedekah harus dijaga ketika bersedekah. Jangan mengungkit-ungkit sehingga menyakitkan hati orang yang menerima. Kalau rasa tidak mampu bersedekah atau tidak bersedia, maka jangan sekali-kali memaksa diri untuk bersedekah. Kerana itu boleh menyebabkan penyakit ungkit-mengungkit dalam hati kita.

Wallahu a’lam

Wednesday, September 2, 2009

->Saudara Baru

Ditulis Oleh Sudara Adam Yew Abdullah

Saudara baru ialah sebutan bagi orang yang baru memeluk agama Islam. Orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah secara terus dia sudah dikira sebagai seorang muslim.

Di Malaysia, orang yang memeluk agama Islam dipanggil saudara baru, atau dengan panggilan muaalaf. Saudara baru mereka ini menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang berat setelah bergelar sebagai orang Islam. Seperti juga pada zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat Nabi SAW yang memeluk agama Islam ada yang diseksa, dipulaukan dan dihukum hanya kerana mengakui diri mereka menerima ajaran Rasulullah SAW dan meninggalkan kepercayaan nenek moyang mereka.

Bilal r.a.hu merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang menerima ajaran Nabi SAW dan diseksa oleh Umayyah Bin Khalaf. Bilal seorang hamba Habshi yang dimiliki oleh Umayyah Bin Khalaf. Umayyah Bin Khalaf, pemusuh Islam yang terkemuka yang sama dengan Abu Jahal. Pengislaman Bilal membangkitkan kemarahan Umayyah Bin Khalaf dan menyeksanya supaya meninggalkan Islam. Pada waktu malam Bilal didera dengan cemeti sehingga badannya luka. Pada waktu siang pula, dia dibaringkan di atas pasir yang panas dengan harapan Bilal akan meninggalkan agamanya ataupun menerima akibatnya. Walau bagaimanapun Bilal tetap dengan pendiriannya yang teguh. Akhirnya, Abu Bakar r.a, telah membebaskan Bilal daripada terus dijadikan mangsa penyeksaan oleh Umayyah Bin Khalaf. Selepas itu, hiduplah Bilal sebagai seorang Muslim yang bebas.

Di sini, situasinya tidak jauh berbeza dengan zaman Rasulullah dahulu. Keadaan yang sama dapat dirasai walaupun 1400 tahun telah berlalu. Namun tidaklah seperti Bilal dan para sahabat Nabi SAW yang lain yang diseksa tanpa perikemanusiaan. Paling kurang pun penderaan secara psikologi dan gangguan-gangguan dari ahli keluarga, rakan-rakan mahupun masyarakat luar.

Masyarakat yang tidak memahami, memandang serong terhadap mereka yang memeluk Islam. Pengislaman saudara baru di salah erti oleh segelintir orang yang sengaja tidak mahu menerima kenyataan yang sebenarnya. Mungkin pada anggapan mereka yang memeluk agama Islam ini hanyalah semata-mata ingin berkahwin dengan orang-orang Islam.

Pesepsi ini harus dikikis dari pemikiran setiap orang dalam masyarakat kita secara umumnya. Namun, bukan semua pihak yang berfikiran sedemikian. Ada yang memahami keadaan mereka dan menghulurkan bantuan.

Pada hakikatnya, mereka ini telah diberi hidayah oleh Allah SWT walau apa sekalipun cara dan sebab-sebab dia memeluk Islam. Apa cara sekalipun ia tidak patut dipersoalkan, kerana orang yang memeluk agama Islam itu diberi ‘guide line’ atau panduan. Mereka adalah segelintir insan yang terpilih menjadi tetamu Allah di syurga akhirat nanti.

Allah SWT berfirman:
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

Surah Al-Hajj ayat 78

Setiap manusia yang memeluk agama Islam, diberi kelebihan seperti pengampunan dosa terdahulu. Maknanya, dosa-dosa seseorang itu sebelum memeluk agama Islam akan dihapuskan menjadi putih fitrah semula. Mereka diberi peluang dan kehidupan baru untuk mencorakkan kehidupan baru berdasarkan cara Islam.

Rasulullah SAW bersabda:
1) “Tidak tahukah engkau bahawa Islam itu meruntuhkan apa yang sebelumnya, bahawa hijrah menghapuskan apa yang ada sebelumnya dan bahawa haji menghapuskan apa yang sebelumnya.”( HR Muslim)

Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah tujuan ialah untuk menyaksikan dengan sepenuh keyakinan dan mutlak terhadap keesaan Allah SWT. Seseorang itu perlu yakin dengan kebenaran itu. Dan dia perlu mengikut segala perintahNya dengan cara membenarkan melalui anggota badannya seperti tangan, kaki, lidah, hati dan sebagainya.

Seorang saudara baru, wajib menjalanakan kewajipan seperti muslim yang lain. Namun, diberi kelonggaran dalam menunaikan kewajipannya. Secara asasnya, mereka perlu mempelajari cara-cara bersolat, bersuci dan mendalami Al-Quran. Sebagai permulaan, dengan memepelajari cara-cara bersolat secara ringan dan mudah. Dengan cara ini seseorang itu dapat memahami dengan cepat rukun solat. Tidak perlu tunggu sehingga tahu membaca surah baru nak mula bersolat. Ia menjadi satu kewajipannya mencari jalan untuk bertanya dan belajar sehingga ia boleh bersolat.

Keistimewaan ini dikuniakan ke atas saudara baru ini supaya mereka bersyukur dan bertakwa kepada Allah SWT.

Namun, ada segelintir yang tetap tidak bersyukur walaupun menyedari perbuatan melanggar perintahNya adalah dosa besar. Sikap dan tabiat lama tidak mahu berubah seperti meminum arak, memain judi, memakan daging babi dan berzina antara perbuatan yang diharamkan oleh Islam masih dipraktikkan. Kewajipan bersolat diabaikan dan suruhan untuk berpuasa juga tidak diendahkan oleh sesetengah saudara baru. Tanggapan yang salah tentang Islam iaitu Islam membebankan dan menghalang mengecapi kekayaan dan harta dunia. Ada juga yang terpengaruh oleh kepentingan semata-mata seperti berkahwin dengan orang Islam mengakibatkan kejahilan dalam pengetahuan tentang Islam.

Kita tidak dapat menafikan bahawa ada segelintir saudara baru yang bersikap seperti yang disebutkan di atas.

Mereka adalah golongan minoriti dalam masyarakat Islam yang sesat dan kufur dengan kejahilan mereka. Kejahilan mereka disebabkan mereka terikat dengan kepentingan sendiri seperti ingin mengahwini perempuan atau lelaki melayu yang beragama Islam. Mereka terpaksa menukar agama mereka kepada agama Islam tanpa mengenali Islam itu sebenar. Malah, ada di antara mereka yang terikut dengan pengaruh rakan yang tidak mempraktik Islam dengan cara yang betul , menyebabkan mereka terpesong. Selain itu, ada yang sekadar ingin mencuba dan berniat jahat untuk merosakkan orang lain. Di samping itu, ada juga yang mendapat bantahan dari pihak keluarga kerana tidak setuju dengan mereka memeluk agama Islam. Ini semua menjadi faktor mereka berubah bahkan ada yang terkeluar dari Islam.

Seperti yang kita semua ketahui dalam kes Lina Joy dan Fatimah Abdullah adalah terdorong oleh faktor-faktor tersebut. Semata-mata ingin berkahwin dengan kekasihnya tanpa mengetahui apa tu Islam sebenarnya.

Kita sedih bila ada orang mengambil masalah ini mudah tanpa memikirkan panjang kesan yang dihadapi dalam masyarakat. Dengan sewenang-wenang Islam itu dipeluk bila perlukan, dibuang bila tidak perlukan lagi seperti membeli baju di pasar malam. Nauuzubillah.

Wallahu a’lam

Tuesday, September 1, 2009

-> Segalanya Kerana Niat

Segalanya Kerana Niat
Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Menjelang ramadhan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut.
Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah s.w.t, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.

Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Salah Faham
Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.

Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).

Dr Yusuf al-Qaradawi pula menyebut:

Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was” (http//:qaradawi.net).

Salah Niat
Penegasan niat sering kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua tokoh ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.
Berapa banyak operasi kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai lafaz ketika akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah. Maka berbagai keuntungan yang sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-kata yang indah, walaupun niat sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu bermaksud lafaz.
Maka niat atau hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan. Inilah yang menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi s.a.w menyebut dalam hadis qudsi:

“Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).

Puasa adalah manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu seseorang benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan jasad yang boleh dilihat, tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui oleh Allah.

Jika ruh puasa dibawa dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun niat tidak dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.

Kita kemarau keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki tempat yang penting dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik umpamanya, sepatutnya setiap individu yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya dipastikan memenuhi tuntutan keperluan umat dan rakyat.

Namun, apabila ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda parti atau peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat. Demikian juga urusan agama, sepatutnya ilmu Islam itu membimbing manusia memahami kehendak al-Quran dan Sunnah, tapi telah dijadikan agenda peribadi untuk mengaut untung, atau perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama menjadi alat pencapai matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan, urusan agama pun tidak mencapai matlamat.

Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?

Laman Pilihan

Video Pilihan

Quran Search

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Hadis Search

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com