Wednesday, November 26, 2008

->Dr Asri: Isu haram yoga, fatwa jangan kaku

KUALA LUMPUR Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman yoga yang diumumkan baru-baru ini.
Walaupun pada dasarnya, beliau bersetuju ada unsur agama lain dalam yoga, pergerakan senaman itu menurut beliau tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan.
“Majlis Fatwa jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif. Banyak lagi amalan-amalan sukan yang diambil dari budaya lain seperti tai chi, judo, taekwando. Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan,” jelas Dr Asri dalam satu temubual telefon sebentar tadi.
Dr Asri difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau.
Pun begitu, ini tidak menghalang beliau untuk memberi satu lagi pandangan tentang fatwa ‘yoga’.
“Pengamal-pengamal yoga yang beragama Islam sepatutnya ada alternatif dengan diberikan satu versi amalan yoga yang terpisah dengan pergerakan yang terlalu jelas menyamai agama lain, bacaan-bacaan yang bertentangan dengan agama Islam dan kepercayaan karut. Versi yoga yang disyorkan ini seharusnya mengekalkan pergerakan yang baik untuk kesihatan.
“Tanggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Kekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan,” jelas Dr Asri.
Kata Dr Asri lagi, Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya tidak terlalu kaku.
“Fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu kaku. Berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga yang baik untuk kebaikan kesihatan. Sekiranya ada kelebihan dari segi kesihatan dan ianya memanfaatkan, itu boleh dikekalkan.
“Pergerakan manusia itu tidak semestinya berkaitan dengan agama. Sama seperti amalan judo, misalnya. Apa yang tidak sesuai, dihapuskan saja dan diambil manfaatnya. Kita kekalkan pergerakan yang meafaatkan badan,” jelas Dr Asri.
Beliau juga berharap Majlis Fatwa memberi ruang untuk umat Islam melihat alternatif.
Sabtu lepas, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Pengerusi, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin mengumumkan Majlis Muzakarah Kebangsaan (yang bersidang pada 22 hingga 24 Oktober di Kota Bharu) bersetuju memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.
Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.
Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.
Namun, beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.
“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.
“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media hari itu.
Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.
Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.
Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.
Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.
“Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan,” katanya.
Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Tuesday, November 25, 2008

->Menunggu masa tiba

Saban hari tidak sabar lagi menunggu kelahiran seorang insan baru ke dunia ini. InsyaAllah, semuanya akan berlaku dalam masa bulan ini atau awal december 2008.

Alhamdulillah, semua persediaan untuk anak kedua kami telah sempurna. Rezeki Allah SWT kurniakan kepada kami bercurah-curah tahun ini. Kami berasa bersyukur dengan semua pemberian ini dariNya walaupun tak banyak mana.

Semua barangan keperluan bayi dan ibunya sudah siap dipack dalam bag sukan. Bersiap sedia dan menunggu masa untuk pergi hospital.

Sekarang ini hanya bertawakkal dan berdoa kepada Allah SWT. Semoga isteri dan anak kami selamat.

Wallahu 'alam

Wednesday, November 19, 2008

->Akhlak Yang Baik Di Sisi Islam Berdasarkan Al-Quran

Akhlak Yang Baik Di Sisi Islam Berdasarkan Al-Quran

Beriman Kepada Allah
Al-Furqan
[63] Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;
[64] Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,
[65] Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab Neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan.
[66] Sesungguhnya Neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk;
[67] Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
[68] Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
[69] Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan;
[70] Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[71] Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;
[72] Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.
[73] Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.
[74] Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.
[75] Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,
[76] Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.

Sabar
Ali Imran
[200] Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)

Jujur
Al-Isra
[80] Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku,
At Taubah
[119] Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.

Menunaikan janji
Al-Isra
[34] Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.

Bersikap adil
Al-An’am
[152] Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu) dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya).

Tidak berbohong
At-Taubah
[77] Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.
Ghafir
[28] Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: Tuhanku ialah Allah? Sedang dia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.

Tidak hasad dengki
Al-Hashr
[10] Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.

Tidak melakukan kezaliman
Al-An’am
[21] Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.
As-Syuara
[227] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.
Al-Baqarah
[229] Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Al-Baqarah
[270] Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Tidak boros, membazir, tamak dan kedekut
Al-Isra
[26] Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.
[27] Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Tidak bercakap sesuatu yang tidak diketahui.
Al-Isra
[36] Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Tidak takbur, ujub, bakhil, bongkak dan riak
Luqman
[18] Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
An-Nisa
[36] Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;
[37] Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;
[38] Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.

Tidak merendahkan dan bersangkaan buruk terhadap orang lain
Al-Hujurat
[11] Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12] Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Tidak berjalan dengan mendabik dada seperti yang dilakukan oleh orang yang sombong.
Al-Isra
[37] Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.

Berjalan dengan cara yang sederhana
Luqman
[19] Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Menjauhkan diri dari orang yang jahil
Al-A’raf
[199] Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

Bekerjasama melakukan kebajikan dan ketakwaan
Al-Maidah
[2] Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban) dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci) dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Berdiri teguh bersama kebenaran dan taat beribadat
Fussilat
[30] Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
Syurga adalah kediaman bagi orang-orang yang bertakwa
Ali-Imran
[133] Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa;

Thursday, November 6, 2008

->Sembahyang Sebagai Pendidikan Awal Untuk Kanak-Kanak.

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرُوا
أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا
بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya
katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kamu
bersembahyang pada ketika berusia tujuh tahun dan pukullah kerananya ketika
mereka berusia sepuluh tahun dan asingkanlah mereka di tempat tidur.” (Abu
Daud)

عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ الرَّبِيعِ بْنِ سَبْرَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلَاةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا

Diriwayatkan daripada ‘Abdul Malik bin al-Rabi’ bin Sabrah daripada ayahnya
daripada datuknya katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perintahkanlah
kanak-kanak bersembahyang pada ketika berusia tujuh tahun dan pukullah
kerananya ketika mereka berusia sepuluh tahun. (Abu Daud)


Dalam kedua-dua hadis ini Rasulullah s.a.w. memerintah ibu bapa atau
penjaga memberi penekanan tentang pelaksanaan sembahyang di kalangan
anak-anak sehingga perlu dirotan jika anak-anak cuai melaksanakannya.
Kepentingan ini jelas difahami apabila dilihat kepada umur bermulanya
perintah tersebut. Hadis kedua pula lebih umum merangkumi anak sendiri atau
anak orang lain. Ini memberi isyarat kepada kita supaya sentiasa ada
perhatian kepada kanak-kanak sama ada dari pihak ibubapa secara khusus atau
orang dewasa secara umum.

Pada hakikatnya, anak-anak merupakan anugerah Allah s.w.t. kepada kita.
Dalam masa yang sama, mereka juga merupakan ujian kepada kita dan juga
amanah yang perlu disempurnakan. Tidak ada sesuatu yang lebih berharga yang
dapat diberikan oleh ibubapa kepada anak-anak melainkan menunaikan amanah
tersebut dengan memberi didikan yang sempurna dan penuh kasih sayang. Ini
kerana merekalah yang akan mewarisi masa hadapan dan kepimpinan generasi
akan datang.

Sememangnya diakui bahawa sembahyang merupakan perkara pokok dalam Islam.
Tuntutan supaya menjaga sembahyang tidak pernah terangkat daripada manusia
dalam apa keadaan sekalipun melainkan maut. Oleh kerana itu, kita hendaklah
sentiasa berada dalam keadaan berhajat kepada taufiq dan hidayah Allah
supaya sentiasa dapat teguh melaksanakannya. Disebabkan pentingnya hidayat
untuk mendirikan sembahyang, Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah supaya
dirinya dan juga zuriatnya menjadi orang yang mendirikan sembahyang.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan
Demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa
permohonanku. (Surah Ibrahim: 40)


Baginda tidak mendoakan untuk dirinya sahaja tetapi untuk zuriat
keturunannya juga. Ini menunjukkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
penting dalam proses pendidikan anak-anak. Kesolehan dan hidup dengan
penghayatan agama merupakan kesinambungan yang sewajarnya diteruskan oleh
anak-anak. Tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat Islam hanya golongan
tua yang melaksanakan ajaran agama dengan dibiarkan anak-anak mudah
terumbang ambing dalam arus dunia. Perkara yang paling asas dan paling
utama ditekankan kepada mereka ialah pendidikan tentang sembahyang dan
pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang difahami daripada
hadis di atas.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا
ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ
وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ
وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ
وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tujuh golongan yang Allah s.w.t. berikan teduhan-Nya pada hari yang tidak
ada teduhan melainkan teduhan-Nya jua, imam (pemimpin) yang adil, remaja
yang hidup membesar dalam pengabdian terhadap Tuhannya, lelaki yang hatinya
terpaut kepada masjid-masjid, dua orang lelaki yang saling berkasih sayang
kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang dirayu oleh
perempuan yang berpangkat lagi cantik lalu dia menjawab, sesungguhnya saya
takutkan Allah, lelaki yang bersedekah dengan tersembunyi sehingga hanya
dirinya sahaja yang tahu dan lelaki yang mengingati Allah seorang diri lalu
mengalirkan airmatanya. (al-Bukhari, Muslim)

Remaja yang hidup dalam beribadat kepada Allah dan berbakti kepada orang
tuanya adalah hasil daripada pendidikan orang tua mereka. Mereka sejak dari
kecil lagi mereka terdedah dengan suasana yang baik dan dilatih dengan
asas-asas akhlak dan tanggunjawab terhadap agama. Sebaliknya jika generasi
sekarang ini tidak menitik berat soal ini, akan datang nanti generasi yang
mengabaikan tanggungjawab agama. Allah s.w.t. berfirman:

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan
sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka
akan menghadapi azab (dalam neraka), (Surah Maryam: 59)


Allah s.w.t. mengingatkan hamba-hambanya supaya memikir tentang nasib
generasi akan datang. Masa hadapan generasi akan datang berkait rapat
dengan usaha yang dicurahkan oleh genarasi sekarang.

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا
قَوْلًا سَدِيدًا

Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada
anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika
ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di
belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (Masa depan
dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa
kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul
(menepati kebenaran). (Surah al-Nisa`: 99)


Walaupun ayat ini dalam konteks anak-anak yatim berhubung dengan harta
peninggalan, tetapi lebih utama kita sepatutnya memikirkan masa hadapan
generasi akan datang dari segi kekuatan keimanan dan keagamaan.
Bagaimanakah mereka dapat menghayati ajaran Rasulullah s.a.w. dengan
istiqamah dalam keadaan ibu bapa tidak mengambil berat tentang pendidikan
agama?

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ
مَا يُخَلِّفُ الرَّجُلُ مِنْ بَعْدِهِ ثَلَاثٌ وَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ وَصَدَقَةٌ تَجْرِي يَبْلُغُهُ أَجْرُهَا وَعِلْمٌ
يُعْمَلُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ

Daripada Abu Qatadah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik
perkara yang ditinggalkan oleh seseorang selepas (setelah meninggal dunia)
tiga perkara: anak soleh yang berdoa untuknya, sedekah yang berkekalan yang
menyampaikan pahalanya kepadanya dan ilmu yang diamalkan selepasnya.” (Ibn
Majah)


Mendidik anak-anak dengan keseluruhan ajaran Islam yang sangat luas itu di
peringkat awal usia mereka adalah menyukarkan mereka. Ini kerana rangkuman
dan cakupan syariat amat luas. Akan tetapi jika dibiarkan zaman kanak-kanak
berlalu tanpa terdedah kepada tanggungjawab agama akan merugikan mereka
pada masa akan datang. Tiga perkara yang ditegaskan oleh ahli-ahli
pendidikan Islam supaya pendidik menekankannya pada kanak-kanak supaya
mereka terlatih dalam suasana didikan yang baik. Pertama, menjauhi bohong
dalam percakapan, kedua, mendirikan sembahyang dan ketiga, memberi khidmat
kepada orang lain. Oleh itu, perhatian terhadap pendidikan anak-anak seawal
mungkin sewajarnya diutamakan demi kelangsungan umat Islam di masa akan
datang.

Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah
bermusuhan kerana Allah,bercinta kerana Allah dan membenci kerana Allah.

(Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a)

Saudara saudariku,Jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dgn
amaran2 Allah.Jika ku bersedih tanpa kata,pujuklah aku dgn tarbiah
Pencipta.Jika ku lemah sedarkanlah agar aku berubah.Dan jika esok ku lena
tanpa terjaga, iringlah lenaku dgn kalungan doa.. Berjanjilah saudara
saudariku, ukhwah kita utk selamanya..............

Laman Pilihan

Video Pilihan

Quran Search

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Hadis Search

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com