Tuesday, July 28, 2009

->Bersedekah

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Mungkin ada orang yang tidak mengetahui, amalan sedekah dalam islam adalah suatu amalan yang sangat terpuji. Sehingga ulama-ulama mengatakan bersedekah adalah sunat yang dituntut, wajar dilakukan oleh setiap muslim. Dan Allah SWT menyukai orang yang suka bersedekah.

Untuk pengetahuan muslim semua, ini pengalaman saya ketika saya menganut agama nenek moyang dahulu, orang-orang cina suka bersedekah kepada tokong-tokong mereka. Kerana apa? Kerana orang-orang cina mempercayai bahawa sedekahnya itu akan menjadi berkat dan kekayaan mereka akan bertambah. Tidak kira tua atau miskin pun mereka tetap akan bersedekah walaupun seringgit atau dua ringgit. Bersedekah adalah menjadi amalan budaya orang-orang cina. Maka tidak hairanlah, kalau kita lihat kebanyakkan tokong-tokong cina di Penang semuanya berbesar-besar. Cuba anda semua lihat bertapa besarnya dan hebatnya bangunan seperti ‘Kek Lok Se’ di Air Itam. Semua itu dibangunkan dengan menggunakan duit sumbangan orang-orang cina. Dan sumbangan yang terbesar direkodkan adalah dari masyarakat negara cina itu sendiri. Malah setiap duit yang disedekah oleh mereka dicatat pada setiap tiang-tiang dan bumbung-bumbung bangunan. Untuk apa semua ini? Ini adalah untuk menunjukkan bahawa ini adalah amal jariah yang dilakukan oleh penderma. Dan setiap kali sami membaca doa, nama-nama yang menderma disebut sebagai tanda penghormatan. Bagi orang cina bersedekah adalah semacam periuk nasi mereka. Ketahuilah…!

Apa yang saya cuba membuatkan anda semua faham adalah amalan sedekah seharusnya mencontohi amalan seperti orang-orang cina yang menjadikan ia sebagai sebahagian budaya mereka. Budaya bersedekah harus diterapkan dalam setiap diri muslimin dan muslimat. Tidaklah kira tua atau muda, miskin atau kaya. Semuanya wajar bersedekah kerana Allah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada muslim semua sekiranya kita melakukan sedekah. Allah berfirman dalam surah al-baqarah, ayat 261 iaitu,

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Lihatlah betapa ganjaran pahala yang banyak dijanjikan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang membelanjakan harta mereka itu ke jalan Allah SWT. Allah mengumpamakan setiap seringgit yang kita sedekahkan kepada orang-orang yang layak menerima sedekah di dalam jalan Allah, akan seperti sebiji benih yang ditanam akan tumbuh menjala tangkai-tangkai pokok itu memperolehi hasil-hasil daripada tanaman itu. Begitulah lebih kurang maksud ayat di atas. Apabila kita bersedekah kepada anak-anak yatim umpamanya, setiap wang ringgit yang dibelanjakan dan barangan keperluan digunakan oleh mereka, kita yang menyumbangkan itu akan memperolehi keuntungan ganjaran pahala dari Allah SWT. Setiap satu atau setiap sen yang kita sumbang akan mendapat kepujian dari Allah SWT. Tidakkah mahu kita mengejar semua itu yang terbukti dan ternyata disebut dalam al-quran? Kita sebagai muslim yang percaya dan yakin dengan kepercayaan kita sewajarnya sekurang-kurang menghayati ayat di atas dan cuba hulurkan sedekah walaupun ianya sedikit.

Pernah saya ditanya oleh seorang hamba Allah, adakah sedekah ini hanya dalam bentuk wang ringgit dan kebendaan sahaja? Saya kata tidak. Sedekah itu banyak bentuknya. Di antara bentuk sedekah yang disebut oleh Nabi SAW ialah,

Dari Abu Dzar al-Ghaffari r.a., Nabi SAW bersabda:

“Pada setiap hari yang disinari oleh cahaya matahari, diwajibkan bagi setiap orang bersedekah untuk dirinya sendiri.”

Lalu saya bertanya : “Ya Rasulullah, dari mana saya dapat menunaikan sedekah itu, padahal kami tidak mempunyai harta?”

Nabi menjawab : “Karena di antara pintu-pintu sedekah ialah membaca takbir, subhaanallah, alhamdulillaah, laa ilaaha illallaah dan astaghfirullaah. Juga bila anda menyuruh berbuat baik dan mencegah yang jahat, menghindarkan duri, tulang dan batu dari tengah jalan, membantu orang yang buta, mengajar orang tidak tahu membaca dan bisu hingga orang itu pandai, menunjuk orang yang menanyakan sesuatu keperluan yang anda ketahui tempatnya, dengan kekuatan berjalan membantu orang yang malang meminta tolong, dan dengan kekuatan lengan mengangkat barang orang yang lemah, semua itu merupakan pintu-pintu sedekah, yakni dari dirimu untuk dirimu sendiri. Juga dalam mencampuri isterimu, kamu akan beroleh pahala”.

Riwayat Muslim dan Ahmad

Jadi, inilah bentuk-bentuk sedekah yang boleh disumbangkan oleh kita walaupun kita adalah orang yang tidak berupaya mengeluarkan wang ringgit mahupun barangan. Walaupun dengan perkataan yang baik-baik itu juga disebut sebagai sedekah dan sudah memadai.

Namun kita perlu berhati-hati ketika melakukan amal ibadah bersedekah ini. Perlu dijaga tata tertib kita ketika bersedekah. Orang yang bersedekah dinasihati supaya jangan mengungkit-ungkit atau menyebut-yebut sehingga didengari oleh orang yang menerima sedekah itu. Sehinggakan menyakiti hatinya dan berbangga-bangga dengan sedekahnya. Dan paling jelik sekali ialah bersifat riak dengan sedekahnya itu, bertujuan menunjuk-nunjuk keupayaannya dan bongkak dengan hartanya yang banyak. Orang-orang seperti ini dilaknati dan tidak sukai oleh Allah SWT. Akan terbatal pahala amalan sedekahnya. Malah mendapat dosa besar kerana menyakiti hati sipenerima. Ini adalah sesuatu perbuatan yang seharusnya tidak wajar berlaku bagi seorang pemberi sedekah sama ada bercakap dari belakang, tetap terbatal amalan pahala sedekahnya. Allah Maha Mengetahui segala apa yang diucapkan mahupun diucapkan di dalam hati. Allah SWT berfirman….

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir

Apa yang patut dan mampu kita sumbangkan kita lakukan dengan niat yang ikhlas. Bersedekah mengikut kemampuan kita dapat menghindari dari mengungkit-ungkit kerana itu adalah harta lebihan setelah menolak sedekah keatas dirinya, isteri dan anak-anaknya dan kaum kerabatnya. Setelah selesai itu, maka barulah disedekah wang lebihan itu kepada orang yang memerlukan saja jika mampu.

Rasulullah SAW bersabda:

“Ada tiga golongan manusia yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, tidak akan dipandang dan tidak akan dihargaiNya, serta bagi mereka disediakan siksa yang pedih”. Siapakah mereka itu, ya Rasulullah?”

Jawab Nabi “Orang yang berbangga-bangga dengan pakaiannya, orang yang menyebut-yebut pemberiannya dan orang yang menawar-nawarkan barang dagangannya dengan sumpah palsu”.

Maka janganlah kita tergolong dalam sifat-sifat yang seperti di atas. Adab bersedekah harus dijaga ketika bersedekah. Jangan mengungkit-ungkit sehingga menyakitkan hati orang yang menerima. Kalau rasa tidak mampu bersedekah atau tidak bersedia, maka jangan sekali-kali memaksa diri untuk bersedekah. Kerana itu boleh menyebabkan penyakit ungkit-mengungkit dalam hati kita.

Alhamdulillah, setakat ini mampu saya mengongsi pendapat dan pandangan saya tentang amalan bersedekah ini. Saya rasa amat penting setiap orang muslim bertanya untuk diri sendiri, adakah saya sudah bersedekah? Jika belum, lakukanlah sekarang, mulai hari ini. Terutama pada bulan Ramadhan ini, bersedekah dalam bulan ini sangat baik kerana dijanjikan amalan pahala yang banyak, insyaAllah, kalau kita niat kerana Allah SWT. Oleh itu, bagi yang mampu, mulakanlah sedekah anda dengan menyumbang walaupun seringgit kepada tabung anak yatim. Semoga apa yang disumbangkan itu membawa berkat pada anda semua. InsyaAllah.

Wallahu a’lam

Saturday, July 18, 2009

-> Solat Sunat Witir

Di tulis oleh Adam Yew Abdullah

Terlintas dalam pemikiran saya untuk membincangkan topik solat sunat witir. Kerana saya rasa sekarang ini sudah masuk bulan Rejab, tak lama lagi akan masuk bulan Saaban. Selepas itu bulan Ramadhan pun menjelma. Kita pun mula berpuasa.

Pada waktu malam dalam bulan Ramadhan, umat Islam disibukkan dengan solat sunat Tarawih. Solat sunat tarawih dilakukan di waktu selepas sembahyang solat Isyak. Solat sunat tarawih dimulakan sejurus selepas solat Isyak.

Pelbagai pandangan mengenai solat sunat tarawih ini. Ada yang kata 8 rakaat campur 3 rakaat solat sunat witir menjadi 11 rakaat. Dan ada juga yang berpendapat 21 rakaat campur dengan 3 rakaaat solat sunat witir menjadi 24 rakaat. Walau bagaimanapun, bukan niat atau tujuan saya untuk membincangkan topik permasalahan khilafiah ini tetapi topik yang saya ingin diperkatakan ialah solat sunat witir.

Ramai orang yang berpandangan solat witir ini hanya dilakukan dalam bulan Ramadhan saja. Dan beranggapan bahawa dilakukan selepas 15 Ramadhan. Selepas bulan Ramadhan, solat sunat witir ini tidak lagi dipraktik.

Solat sunat witir adalah solat sunat yang muakkad atau sunat yang dituntut. Ia mempunyai sumber yang sahih. Ia dilakukan oleh Rasulullah SAW setiap hari dan dianjurkan kepada umat Islam supaya melakukannya juga setiap hari. Bukan sekadar melakukannya secara bermusim iaitu dalam bulan Ramadhan sahaja.

Keutamaan:

Dari Ali r.a, katanya:

"Sebenarnya witir itu bukanlah fardhu sebagaimana solat-solat lima waktu yang diwajibkan. Hanya saja Rasulullah SAW setelah berwitir, pernah bersabda: "Wahai ahli Quran, kerjakanlah solat witir sebab Allah itu witir (Maha Esa) dan suka sekali kepada ..." (1)

HR Ahmad

Waktunya:

Para ulama telah sepakat bahawa waktu solat sunat witir itu ialah sesudah solat Isyak dan terus berlangsung sehingga fajar.

Dari Abu Tamim Al-Jaisyani ra bahawa Amr bin Al-Ash pernah berkhutbah di hadapan orang banyak dan berkata: "Abu Bashrah memberitahukan kepadaku bahawa Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah memberikan tambahan padamu suatu solat yaitu Witir. Maka kerjakanlah solat itu antara solat Isyak hingga solat Fajar". ...".(2)

HR Ahmad

Bilangan Rakaat Witir:

Cara solat witir mengikut rakaat dilakukan dalam bilangan yang ganjil. Seperti 1 rakaat, 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat, 11 rakkat dan seterusnya.

Dari Aisyah, "Rasulullah SAW itu sembahyang malam sembilan rakaat dan tidak duduk melainkan dalam rakaat ke 8 lalu berzikir kepada Allah, memuji-Nya serta berdoa. Kemudian beliau SAW bangun lagi dan tidak bersalam, lalu melanjutkan rakaat yang ke-9, terus duduk, bertasyahhud dan bersalam agak keras sampai kami dapat mendengarnya. Selanjutnya beliau SAW bersembahyang 2 rakaat lagi setelah salam tadi sambil duduk. Dengan demikian seluruhnya ada sebelas rakaat. Setelah beliau SAW tua dan kekuatannya banyak berkurang, lalu berwitir 7 rakaat dan cara melakukan yang 2 rakaat seperti yang di atas".

HR Bukhari & Muslim

Berqunut:
Selepas selepas selesai dalam rakaat yang terakhir, kita perlu membaca doa qunut yang seperti diajar. Bacaan doa qunut itu disyariatkan dalam solat Witir berdasarkan hadis.

Dari Hasan bin Ali ra, katanya: "Rasulullah SAW mengajarkan doa-doa untuk saya baca dalam Witir,.... (3)

HR Ahmad

Sehubungan dengan ini, marilah kita sama-sama merenung kembali keutamaan yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam. Janganlah kita leka dan mengambil sambil lewa tidak mahu mempedulikan sunnah Rasulullah SAW. Kerana mengejar sunnah Rasulullah SAW ialah menjadi kewajipan kita semua.

Sekian.

->ALIYA 8 BULAN

Di tulis Adam Yew Abdullah

Masa berlalu begitu pantas sekali. Pi mai pi mai, sudah 8 bulan anak si kecil ini. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah.





Thursday, July 9, 2009

->Persepsi

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Sejurus tamatnya kelas saya dan keluarga terus menuju ke sebuah gerai makan francais terkenal itu. Kami sangkakan tidak berapa ramai orang dalam gerai. Sebaliknya, begitu ramai orang sedang beratur untuk memesan makanan pilihan kesukaan mereka.

Suatu keadaan yang kurang menyenangkan kami ketika kami berada di situ. Pandangan orang-orang di situ secara tiba-tiba menuju kepada kami sejurus kami memasuki gerai tersebut. Orang ramai semacam ada pendapatnya tersendiri tentang diri kami yang dapat ditafsirkan melalui raub wajah mereka semua.

Dengan penapilan isteri dan anak saya memakai tudung, sedikit sebanyak memberi bayangan tafsiran bahawa saya cina Islam kahwin melayu. Mungkin tanggapan mereka bahawa ia adalah suatu yang menarik bila melihat kami sekeluarga dapat bersama. Dan mungkin ada juga di belakang menggutuk kami. Wallahu a’lam.

Daripada raub wajah mereka yang melihat ke arah kami, sedikit sebanyak membuatkan kami merasai kehadiran kami seolah-olah tidak di alu-alukan. Keadaan itu menjadi kami sedikit kurang selesa. Namun dengan semangat tekad dan tidak mempedulikan semua itu, kami melanjutkan makanan kami di sebuah meja, di suatu sudut kecil dalam gerai itu.

Tanggapan pada malam itu, sudah lama terpendam dalam hati saya sebelum ini berlaku. Saya cuba menanyakan sebab apa sebenarnya tergantung dalam otak pemikiran mereka apabila melihat kami. Mungkin masyarakat masih tidak dapat menerima sepenuhnya lagi perkahwinan bercampur. Masyarakat kita walaupun kadang kala kita lihat dapat bermesra dengan sesama bangsa dengan akrab tetapi apabila berbincang soal perkahwinan bercampur ia menjadi suatu isu sensitif.

Adakah mungkin masyarakat kita khususnya, masing tidak boleh berfikiran matang dalam hal kahwin bercampur ini. Sama ada orang india dengan cina. Orang melayu dengan cina. Ia menjadi suatu keganjilan bagi sesetengah orang yang merasakan ianya pelik sekali. Mungkin orang itu lihat ‘seorang putih’ dengan ‘seorang hitam’ tidak boleh bercampur bersama, kot?!

Ntah! Kenapa masyarakat kita tidak boleh berfikir secara ‘first class’. Masih nak juga dalam ‘second class’. Kenapa ia begitu sukar untuk menghilangkan persepsi negatif ? Apakah mereka lupa negara kita hidup berbilang bangsa dan agama?

Bila kita beri tahu kepada ibubapa kita tentang kita hendak berkahwin dengan bangsa lain, ada-ada jer…bantahan dari pihak lain. Pelbagai persoalanan ditanya dalam skrip soal selidik. Antaranya, bagaimana hendak hidup bersama dengannya kerana masing-masing mempunyai fahaman agama yang berbeza. Sudah tentu nanti berlaku pertikaian.

Sanggupkah meninggalkan agama nenek moyang semata-mata kerana hendak berkahwin dengan seorang perempuan melayu? Sanggupkah menukar nama kepada nama melayu dan menanggung malu terhadap keluarga.

Pertikaian menjadi isu besar selalunya berlaku dalam keluarga cina atau india yang berkahwin dengan melayu. Sering kali menjadi pertikaian dan kutukan kerana melibatkan kelainan agama. Mereka mungkin boleh menerima gelaran ‘melayu’ tetapi agak sukar bagi mereka menerima Islam.

Persoalannya, kenapa harus mempertikaikan agama Islam padahal Islam itu adalah mudah? Islam tidak menyusahkan sesiapa dan sebaliknya Islam sentiasa memberi jalan keluar penyelesaian dan ketenteraman hidup. Sebenarnya, masalah tanggapan persepsi negatif orang lain terhadap Islam yang murni ini bukan kerana agama Islam sebaliknya salah orang yang beramal Islam itu suka menyempitkan agama Islam.

Wallahu a’lam

Thursday, July 2, 2009

-> MJ memeluk agama Islam?

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Isu kematian MJ menjadi liputan hangat di seluruh dunia. Sejak kematiannya, seluruh pelusuk dunia bersedih kerana kehilangan seorang yang dikatakan legenda raja pop dunia.

Saya tidak berapa mengikut perkembangan MJ ini sejak saya mula memeluk agama Islam. Begitu lamanya saya tidak mengikuti berita tentangnya. Berbanding dengan dulu, saya sentiasa mengikuti berita perkembangan penyanyi pop ini.

Akhir-akhir ini, berita kematian MJ menjadi suatu perdebatan yang hangat di warta media kita. Berita kematian MJ menjadi liputan yang hangat sekali. Sehinggakan ada siaran radio yang memainkan balik lagu-lagu hitnya berturut-turut setiap hari. Sehinggakan ada yang menceritakan pengalamannya bersalaman dengan raja pop itu ketika dia melawat Malaysia pada suatu ketika itu.

Kedengaran di akbar-akbar mahupun di internet melaporkan bahawa raja pop ini telah memeluk agama Islam. Sejauh manakah kesahihan itu kita tidak tahu. Jikalau betul raja pop MJ ini memeluk agama Islam, Alhamdulillah! Tetapi timbul juga persoalan, di mana sejauh mana beliau mempraktiskan Islam?

Adakah beliau boleh meninggalkan tabiatnya yang suka membazir. Atau adakah beliau boleh berhenti meminum arak? Atau yang paling penting ialah adakah beliau mendirikan solat dan menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Kini keluarga beliau sedang menunggu keputusan autopsy kedua sebelum mengebumikan beliau melalui cara Islam atau kristian. Masih belum dapat ditentukan lagi. Kini menjadi keraguan kerana tidak ada sesiapa yang menjadi saksi atas kemasukkan beliau ke dalam agama Islam.

Isu ini harus diterangkan oleh pihak tertentu supaya masalah ini tidak berlaku ke atas diri kita di Malaysia. Negara kita didiami oleh bilangan bangsa dan agama. Sesiapa yang memeluk agama Islam harus dilakukan dengan cara yang sah (mengikut garis panduan yang betul dikeluarkan oleh pejabat agama).

Cara ini bukan hendak mendiskriminasikan sesiapa yang ingin memeluk agama Islam. Tetapi dengan cara ini dapat menentukan kesahihan agar tidak menjadi pertikaian kelak.

Wallahu a’lam

->Guna pendekatan hikmah dalam dakwah

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Posting dalam website http://al-qayyim.net

Mungkinkah ada fakta sejarah kedatangan Islam ke negara ini yang perlu dikaji semula?

Ini kerana seperti yang didedahkan oleh pendakwah, Ann Wan Seng, yang mendapati kaum Cina Muslim dari Tanah Besar China adalah pendakwah yang sebenarnya paling berperanan membawa masuk Islam ke Tanah Melayu seawal abad ke 10 atau 11 Masihi lagi.

Katanya, jika Islam telah sampai ke negara China sejak 1400 tahun lalu, iaitu sebelum umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, tentunya kita boleh membuat satu andaian bahawa Islam kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu melalui Tanah Besar Cina lebih awal berbanding pendakwah-pendakwah dari Tanah Arab yang didakwa yang mula-mula mengislamkan Tanah Melayu ini.

"Ditambah dengan banyak bahan sejarah termasuk catatan dan batu-batu bersurat yang menyokong kepada teori ini masih banyak belum dikaji.

"Namun saya yakin bahawa bangsa Cina mempunyai pengaruh yang cukup besar dan signifikan dalam soal dakwah dan penyebaran Islam berbanding hanya golongan yang baru memeluk Islam di negara ini.

"Jadi siapa sebenarnya yang mualaf di negara ini, anda atau saya? Anda fikirkanlah sendiri!," katanya sambil mengajuk pelawak Nabil yang mempopularkan tag line "Lu fikirlah sendiri!" itu.

Kata-kata akhirnya itu merupakan antara yang menjadikan Konvensyen Dakwah Negara (KPN) selama dua hari di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur baru-baru ini begitu hangat dan menarik.

Konvensyen itu dihadiri oleh kira-kira 700 peserta terdiri daripada individu-individu pendakwah dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini komited melakukan pelbagai aktiviti dakwah di negara ini.

Wan Seng yang juga Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bercakap soal etika atau tata kerja pendakwah supaya mereka melaksanakan dakwah mereka dengan penuh hikmah.

Ini kerana pengalaman menunjukkan kebanyakan pendakwah menggunakan pendekatan mendakwa berbanding berdakwah itu sendiri.

Kualiti hidup

"Memburuk-burukkan cara hidup mereka yang walaupun mungkin ada kebenarannya menyebabkan sasaran dakwah itu akan lari.

"Malah menuduh mereka sebagai kafir juga kadang kala mempunyai konotasi yang dianggap sangat menghina mereka.

"Apa yang penting kita mesti tonjolkan kebaikan Islam itu sendiri. Jangan bimbang orang Cina merupakan bangsa yang mempunyai fikiran terbuka," katanya.

Beliau sebenarnya menjawab soalan dari pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzillah Kamsah yang berhadapan dengan persoalan sesetengah kaum Cina di negara ini yang tidak dapat menerima Islam.

Ini kerana golongan berkenaan membandingkan kualiti hidup kalangan Melayu beragama Islam itu.

KPN adalah anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dengan bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.

Wakil Pertubuhan Dakwah yang terkenal dari Sarawak, Harakah Islamiah (HIKMAH) pula membangkitkan mengenai tindakan pantas lagi cekap pertubuhan dakwah bukan Islam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa musibah dan kemalangan seperti yang berlaku baru-baru ini di Kuching.

Ini apabila kebakaran yang melibatkan sebuah perkampungan Melayu tetapi yang lebih awal datang menghulurkan bantuan kepada mangsa adalah pertubuhan bukan Islam.

Dalam hal ini, Wan Seng bersama dua lagi ahli panel forum di konvensyen itu, Nicholas Berry Sylvester Muhamad Abdullah dan Muhammad Fitri Abdullah tidak menafikan tawaran berbentuk wang dan bantuan dari pihak 'pesaing' ditambah dengan tindakan pantas dan cekap mereka sedikit sebanyak boleh menghalang usaha-usaha dakwah Islam.

Wan Seng mendedahkan, kini tidak sahaja pertubuhan gereja yang sering kali dianggap menggunakan tarikan wang dan bantuan malah kalangan pertubuhan Buddha turut mengambil pendekatan yang sama.

"Umpan seperti ini memang menjadi satu cabaran yang sangat getir tetapi saya percaya kebenaran akan mengatasi segala-galanya. Walaupun begitu kita juga mesti bersedia dari aspek yang sama, kerana telah ada peruntukan seperti asnaf zakat dan sebagainya yang boleh kita manfaatkan," katanya.

Wakil HIKMAH juga memberitahu bahawa, terdapat lebih 50 etnik kaum di seluruh Sarawak tetapi sehingga kini dakwah-dakwah Islam hanya dapat memasuki 1/3 sahaja dari kawasan-kawasan yang didiami etnik yang masih mempercayai pelbagai kepercayaan pagan atau animisme itu.

Ini kerana kos yang tinggi di samping diharapkan dengan adanya Radio Jakim iaitu Salam FM dapat dimanfaatkan dalam usaha dakwah. Lebih-lebih lagi jika ada slot yang ke udara menggunakan loghat atau bahasa daerah seperti Iban, Bajau dan sebagainya.

Turut dibangkitkan adalah pendekatan berdebat seperti yang dilakukan oleh pendakwah terkemuka Allahyarham Sheikh Ahmed Hussein Deedat terutama dengan pendukung-pendukung dakwah Kristian dapat diguna pakai dalam menjayakan misi dakwah Islam di negara ini.

Dalam hal ini, Nicholas berkata, pendekatan seperti itu dikira kurang sesuai sebagai satu uslub dakwah yang strategik. Sebabnya, bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini lazimnya lebih mudah didekati dengan cara yang sederhana atau lebih baik lagi menggunakan kaedah dakwah bil hal, iaitu dengan contoh.

"Dengan cara itu adalah lebih baik lagi berbanding kita berdebat bagi mengelakkan suasana yang tidak harmoni," katanya.

Terdapat juga peserta yang bertanyakan masalah yang dihadapi dalam berdakwah terutama terhadap bangsa Cina dan India di negara ini kerana usaha itu sering disalah faham oleh parti-parti politik yang mewakili kaum-kaum tersebut.

Berbanding jika usaha dakwah dilakukan terhadap penduduk atau kaum Asli di negara ini yang kurang risiko dari menerima tentangan dari mana-mana pihak.

Ini sebagaimana yang disuarakan oleh pendakwah wanita terkenal negara, Dr. Fatma Al Zahraa yang ingin mendapatkan kepastian sama ada umat Islam ini dibenarkan untuk mengajak kepada Islam kepada mereka yang bukan Islam di negara ini.

"Ini kerana saya dapati banyak pihak yang memberitahu kita tidak boleh berbuat demikian malah di kalangan umat Islam sendiri meminta saya supaya tidak secara terang-terangan berdakwah kepada bukan Islam kerana dari aspek undang-undang, usaha ini tidak dibenarkan.

"Benarkah begitu?" tanya Dr. Fatma.

Wan Seng bagaimanapun menjelaskan Perlembagaan Persekutuan negara tidak menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan terhadap bukan Islam di negara ini.

Begitu juga dengan faktor politik, ia bukan menjadi alasan kepada umat Islam untuk mengehadkan usaha dakwah walaupun tidak dinafikan ia mungkin mempunyai risiko keselamatan yang tinggi.

"Tetapi adalah lebih penting usaha berterusan bagi menjelaskan mengenai Islam malah sebenarnya sudah ada pihak yang menaruh minat untuk mengenali Islam sehinggakan mereka mempelajari al-Quran dan cuba mengambil pengajaran dari kitab suci itu untuk dikongsi bersama dengan orang lain.

"Jadi, kita tidak boleh menghalang minat-minat yang besar terhadap Islam walaupun ia berbaur kepentingan politik," katanya.

Sementara itu, pendakwah yang mewakili kaum India, Muhammad Fitri dalam kertas kerjanya tidak menafikan usaha-usaha untuk menyebarkan Islam di kalangan bukan Islam menjadi semakin kompleks dan rumit pada hari ini.

"Namun jika para pendakwah mengenali agama dan adat budaya dan resam kumpulan sasaran, kita mendapati usaha yang mulia ini akan menjadi lebih mudah kerana saling memahami perbezaan yang ada mampu mewujudkan hubungan yang harmoni," jelasnya.

Melalui hubungan yang murni, kata Muhammad Fitri, sehingga ke peringkat umat Islam atau pendakwah Islam mengambil inisiatif menziarahi mana-mana penganut Hindu yang meninggal dunia sudah cukup menjadi satu daya tarikan untuk mereka melihat Islam itu sebagai agama yang sempurna dan indah!

"Jika penganut Hindu memahami dan mendalami agama mereka sendiri, mereka akan menyedari mereka sebenarnya telah salah faham terhadap agama mereka itu.

"Pada hakikatnya agama Hindu adalah antara agama yang terawal berbicara mengenai soal tauhid dan keesaan tuhan yang satu (Eka Tuam).

"Agama ini menjadi menyimpang kerana ia telah diubah mengikut cita rasa dan keperluan semasa," kata Muhammad Fitri.

Konvensyen ini pastinya membuka banyak lembaran baru dalam dunia dakwah tanah air. Sebabnya terdapat banyak input baru yang mampu menyuntik semangat kepada para pendakwah untuk tidak sahaja mengukuhkan Islam namun yang penting membetulkan pelbagai salah faham serta menghilangkan Islamphobia terutama di kalangan bukan Islam.

Namun seperti yang disuarakan oleh Pegawai Eksekutif Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Mohd. Taqiuddin Abdullah, beliau mengharapkan agar di masa akan datang, pihak penganjur akan mengadakan sesi dialog bersama menteri yang berkenaan.

"Ini bagi membolehkan kita dapat berkongsi banyak perkara di samping menteri dan pihak-pihak yang berkaitan dapat lebih memahami dan menyelami masalah yang dihadapi oleh para pendakwah Islam di negara ini.

"Seterusnya mereka dapat memberikan jalan keluar atau bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah yang berlaku," katanya.

Saturday, June 20, 2009

->Peranan suami dalam mendidik anak

C&P dari : LAMANSERi

Perkahwinan adalah perkongsian hidup antara lelaki dan wanita yang digelar suami isteri. Untuk itu dalam segala aspek urusan rumahtangga, suami isteri seharusnya saling bantu membantu antara satu sama lain. Ini termasuklah dalam tugas mengasuh dan mendidik anak-anak.

Namun begitu, ramai suami menanamkan dalam pemikiran mereka bahawa tugas mendidik dan mengasuh anak terletak di tangan isteri memandangkan tugas mereka yang cukup berat iaitu mencari nafkah untuk keluarga. Sebenarnya ini adalah pendapat songsang masyarakat Melayu khususnya yang beragama Islam kerana peranan seorang ayah sangat penting dalam mendidik anak-anak. Mengapa saya katakan songsang, ya? Jelas, mereka yang berpendapat sebegini tidak perihatin dengan surah Luqman yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan kepada suami yang bergelar ayah. Luqmanul Hakim dikenali sebagai manusia yang sering meninggalkan peringatan serta manfaat menerusi kata-katanya. Beliau merupakan seorang bapa yang sentiasa menasihati anaknya dengan kata-kata berhikmah. Dan kata-kata itu adalah wajar diambil iktibar oleh kita semua.

Tambahan pula, tuntutan hidup hari ini memaksa isteri turut bekerja bagi membantu suami menampung perbelanjaan keluarga terutama bagi yang mempunyai anak sedang belajar. Justeru pendapat yang mengatakan bahawa tugas mendidik dan mengasuh anak terletak di tangan isteri semata-mata sudah tentu tidak relevan langsung! Tidak adil meletakkan tanggungjawab kepada satu pihak sebaliknya kedua ibu bapa perlu memenuhi amanah mereka.

Suami harus turut sama ringan tangan membantu dalam hal pengurusan dan mendidik anak-anak. Lagipun peranan ayah dalam mendidik anak cukup penting kerana tanpa kehadirannya, segalanya akan menjadi pincang. Anak-anak, terutamanya yang lelaki akan membesar tanpa tokoh yang boleh dijadikan ikutan. Pendidikan dari aspek kepimpinan dan keteguhan yang seharusnya diperolehi daripada seorang ayah mungkin tidak dapat dipelajari oleh si anak. Perkara ini sudah tentu akan memberi kesan kepada perkembangan mereka. Menjadi bapa terbaik tidak bermakna mereka perlu sentiasa berdamping dengan anak, cukup berada di samping apabila kehadiran mereka diperlukan. Ada masa anak mengharapkan kehadiran bapa sebagai penasihat atau penguat semangat.

Bapa terbaik mendidik, bergaul mesra dengan anak

BAPA sebagai ketua dan pemimpin keluarga berdepan tanggungjawab berat memastikan kesejahteraan mereka di bawah kepemimpinannya. Bapa adalah nadi dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga. Bapa dibantu oleh ibu mencorak hala tuju rumah tangga dengan mengambil kira keperluan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan supaya kehidupan dapat dilayari dengan aman, bahagia serta penuh perasaan kasih sayang.

Menjadi bapa sempurna bukan mudah tetapi itu tidak menghalang seorang lelaki menimba pengetahuan serta kemahiran terutama dalam membimbing isteri serta anak ke arah kehidupan mendapat keredaan Allah. Bukan semua lelaki dilahirkan untuk menjadi bapa yang baik tetapi mereka mempunyai pilihan termasuk menjadikan kejayaan bapa mereka mendidiknya serta adik-beradik lain sebagai contoh teladan selain Rasulullah SAW yang sepatutnya menjadi idola semua umat Islam.

Rasulullah SAW adalah contoh ikatan terbaik bagi bapa melaksanakan atau memainkan peranan memimpin keluarga. Baginda SAW secara langsung menyebut tatacara sebagai bapa dan suami terbaik dengan memberikan contoh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Rasulullah SAW bukan saja mementingkan didikan agama dan akhlak terhadap anak, juga kemesraan dalam pergaulan. Baginda SAW memberi layanan mesra dan perhatian kepada anak termasuklah yang sudah berkahwin. Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak lantaran sibuk dengan urusan pekerjaan dan aktiviti luar rumah. Adalah tidak adil bagi bapa beranggapan tugas rumah tangga termasuk mendidik anak, tanggungjawab ibu.

Hati anak mudah terguris jika di saat mereka mengharapkan kehadiran bapa, perhatian diharapkan tidak diterima. Ada kala anak tidak memerlukan masa yang lama, sekadar ingin bertanya dan mendapatkan pandangan. Jika itu juga sukar dipenuhi, pastinya hati mereka akan rasa kecewa. Waktu terbaik untuk menunjukkan sifat prihatin dan kasih sayang bapa terhadap anak adalah ketika makan bersama dan solat berjemaah. Kesibukan atau kehilangan bapa seharian melakukan tugas akan terganti apabila dapat makan bersama serta bersolat dengan anak.

Kebanyakan bapa yang baru menimang cahaya mata berasa tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bermain dengan bayi pengikat kasih sayang keluarga. Menghairankan, perasaan itu seakan luntur apabila anak bertambah serta meningkat dewasa. Sedangkan, sebuah keluarga adalah satu anugerah atau nikmat terbesar Allah kurniakan kepada manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang disulami dengan rasa tanggungjawab serta keimanan menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai asas kepada segala kehidupan lain.

Ramai bapa sekarang sibuk bekerja dan bersosial. Satu budaya yang tidak sihat apabila banyak bapa lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan sehingga larut malam. Amalan minum sambil berborak dan merokok sehingga larut malam menjadi pemandangan biasa di kedai dan restoran. Mereka lebih rela melayan pelawaan rakan untuk beraktiviti luar daripada melayan permintaan anak sendiri. Sebab itu kes bapa terlupa menunaikan janji untuk bersama-sama anak sentiasa berlaku. Anak dimarah jika terlalu mendesak supaya bapa lebih banyak masa bersama mereka. Setiap janji wajib ditunaikan termasuk janji kepada anak. Mungkir janji dengan anak bukan saja mengecewakan mereka bahkan mendidik mereka melakukan amalan sama. Amat buruk kesannya jika anak terdidik dengan sikap negatif seperti tidak menunaikan janji dan tidak mengasihi ahli keluarga.

Interaksi secara fizikal banyak membantu membentuk hubungan emosi anak dengan bapa dan seluruh ahli keluarga. Anak akan berasa lebih dihargai dan disayangi. Hubungan itu secara langsung mewujudkan perasaan kasih anak kepada bapa yang mencetuskan keinsafan untuk mengutamakan keluarga dalam semua perkara. Dalam banyak hal, anak ingin berkongsi pengalaman dengan bapanya terutama kalangan anak lelaki meningkat remaja. Bapa menjadi individu paling rapat dan menjadi contoh terbaik kepada anak lelaki. Mereka menyimpan impian untuk menjadi bapa seperti bapanya apabila bergelar bapa nanti.

Betapa bangganya bapa dapat mendidik anak mengikut langkahnya menjadi bapa yang baik dan sudah pastinya paling penting ialah dapat menunjukkan jalan agama yang baik.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah at-Thuur, ayat 21)

Dalam hal mendidik anak-anak, seorang suami atau bapa perlulah memahami beberapa perkara. Tidak salah bapa-bapa di luar sana mempelajarinya. Kali ini diberikan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh si suami dalam membantu isteri mendidik dan mengasuh anak.

Tips # 1 - Jangan terlalu memberi harapan yang tinggi

Terutama sekali jika anak masih kecil. Terlalu banyak harapan diberikan kepada si anak mungkin menyebabkan tekanan kepada mereka. Sebabnya, bila anak tahu bahawa anda terlalu berharap kepadanya, dia akan berusaha memberikan semampunya. Dan jika dia tidak mampu memenuhinya, anak akan berasa sedih dan berasa diri tidak disayangi oleh ayahnya.

Tips # 2 - Menerima kesalahan

Orang yang sudah dewasa pun melakukan kesalahan, apatah lagi anak-anak yang masih kecil. Apabila mendapati anak melakukan kesalahan atau menimbulkan masalah di rumah, janganlah terus menyalahkannya. Ramai bapa yang bertindak memarahi malah memukul anak-anak yang berkelakuan sedemikian.

Sebenarnya tindakan ini tidak akan menjadikan keadaan lebih baik. Bapa akan berasa puas bila dapat memarahi dan menyalahkan anak, tapi dia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Beritahu kesalahan mereka dan ajarkan perkara yang sepatutnya anak lakukan. Yakinlah bahawa mereka akan dapat berubah dari masa ke semasa.

Tips # 3 - Kenali anak lebih mendalam

Ketahui dan kenali sebanyak mungkin perkara tentang anak anda. Cari apa mainan dan warna kesukaan mereka, siapa teman terdekatnya, siapa tokoh pahlawan mereka dan selalulah bertanya perkembangan mereka. Dengan memperlihatkan perhatian dan rasa cinta, anak akan merasai diri meraka diberi kasih sayang sepenuhnya. Sikap tidak ambil peduli terhadap perkembangan anak-anak kerana terlalu sibuk dengan kerja akan menyebabkan anak berasa mereka tidak dipedulikan atau merasakan diri mereka tidak penting.

Tips # 4 - Katakan ‘tidak’

Arus kemodenan kini mendedahkan anak-anak kepada banyak pengaruh tidak sihat. Bapa haruslah memantau anak-anak supaya tidak terjebak dalam hal yang tidak diingini. Namun mereka tidak boleh sentiasa memerhatikan anak, untuk itu, anak harus diajar tentang disiplin dan pengendalian diri. Anda juga harus berani mengatakan ‘tidak’ kepada aktiviti anak-anak yang dianggap tidak mendatangkan faedah. Mengatakan ‘tidak’ bererti membantu anda memiliki anak yang sihat, bahagia dan dapat bekerjasama.

Tips # 5 - Memukul kerana tidak belajar

Ramai bapa yang menunjukkan ketegasan terhadap pendidikan anak-anak dengan cara memukul jika anak tidak belajar atau tidak mendapat pencapaian yang mereka inginkan. Tapi banyak kajian yang telah dilakukan mendapati tamparan atau pukulan akan hanya mengurangkan keyakinan diri anak dan mereka memiliki rasa percaya diri yang rendah. Memukul atau menampar anak hanya akan meningkatkan rasa takut anak terhadap ayahnya. Apakah memang ini yang anda inginkan?

Tips # 6 - Tindakan lebih keras daripada kata-kata

Ramai ibubapa yang mengancam atau mengugut anak sendiri bila tidak mendapat kerjasama yang diinginkan. Jika tidak, mereka tidak akan mengendahkan permintaan anda. Perkara ini seharusnya dihentikan segera.

Tips # 7 - Dengar dengan bersungguh-sungguh

Walaupun anak masih kecil, tetapi janganlah abaikan apa yang diceritakan atau diperkatakan oleh si anak. Jangan hanya memperdengarkan sepintas lalu tetapi cubalah belajar memahami apa yang mereka katakan. Nilaikan kembali apa yang dikatakannya. Sebab sekiranya anda mahu anak mendengar kata-kata anda, anda juga harus mendengar apa yang mereka katakan.

Tips # 8 - Layan isteri dengan baik

Bagaimana anda melayani atau memperlakukan isteri yang menjadi petunjuk penting bagi anak tentang hubungan lelaki dan wanita? Jadi, usahalahlah untuk melayani isteri dengan cara yang paling baik. Elakkan bertengkar di hadapan anak-anak kerana anda mungkin mengajar sesuatu yang negatif kepada anak.

Tips # 9 - Katakan ‘luar biasa’

Puji dan katakan betapa luar biasanya anak bagi anda. Hal ini sangat penting utnuk disampaikan terutamanya jika anak memiliki masalah. Tunjukkan kepada anak, apa yang membuatkan dia luar baisa kerana ini akan lebih bermakna buatnya.

Tips # 10 - Beri tanggungjawap sesuai dengan usia

Ketika anak masih kecil, apa yang dapat dilakukan mungkin hanya membereskan temapt tidur atau mengemaskan permainannya. Namun, apabila mereka semakin membesar, tambahkan tanggungjawab untuknya. Katakan kepada anak bahawa dalam keluarga setiap anggota punya tanggungjawab masing-masing. Jangan beri hadiah untuk tanggungjawab yang memang harus mereka lakukan.

Semoga tips-tips yang diberikan ini dapat memberi idea bagaimana bapa boleh menyumbang secara positif dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi generasi yang berakhlak dan cemerlang di dunia dan juga di akhirat, insya Allah.

Thursday, June 11, 2009

->Adat resam Perkahwinan.

Ditulis oleh saudara Adam Yew Abdullah

Pada hujung minggu lepas, saya sempat menyaksikan majlis pertunangan sepupu belah pihak isteri saya di Jitra Kedah. Saya teringat semasa hari pertunangan saya, suasana agak sama meriah dengan sanak-saudara dan sahabat handal. Di sebelah pihak saya terdiri daripada keluarga angkat saya. Manakala, di sebelah pihak isteri saya, terdiri daripada ahli keluarga dan jiran-jiran yang terdekat.

Pertunangan saudara Anuar dan Fizah, membawa saya balik mengenangkan suasana pertunangan saya dengan isteri saya. Walaupun tidak ada apa-apa yang istimewa sangat tapi suatu pengajaran yang kita dapat pelajari ialah semangat persaudaraan yang ditonjolkan oleh Islam.

Namun semangat persaudaraan sesama orang Islam hanya berkait rapat dengan adat istiadat seperti perkahwinan dan kematian sahaja. Perkahwinan seumpamanya di bayangi dengan adat resam yang dipegang teguh oleh kebanyakkan orang melayu, baik di kawasan luar bandar mahupun di bandar.

Hal yang demikian, ada yang sanggup menjual harta dan meminjam wang untuk menepati tujuan ini. Adat resam orang melayu, memerlukan banyak wang untuk menepati semua peringkat istiadatnya. Ia terdiri daripada tiga peringkat dan saya menyimpulkannya di bawah ini.

Peringkat pertama
• Merisik atau menengok
• Meminang atau bertunang
• Menghantar belanja dan akad

Peringkat kedua
• Berandam dan berasah gigi
• Berinai

Peringkat ketiga
• Bersanding
• Mandi limau
• Sambut menyambut

Ajaran yang benar dalam perkahwinan Islam ialah akad nikah. Majlis akad sebenarnya adalah satu-satunya istiadat yang dituntut oleh agama Islam untuk menghalalkan perkahwinan.

Tidak lebih dari itu. Sebagai tanda atau simbol perikatan perkahwinan suami isteri. Jelas bagi kita, adat resam yang dipraktikkan oleh kebanyakkan orang melayu tidak tidak terkandung dalam ajaran Islam. Ia merupakan adat yang ditokoh tambah dan salah jika ia disebatikan dengan Islam.

Justeru itu, golongan muda harus memainkan peranan penting untuk memastikan adat resam yang bercanggah dengan Islam wajib ditinggalkan.

Janganlah disebabkan adat, agama digadaikan. Jangan kata, “ah…laa, sekali dalam seumur hidup nak merasainya…, lepas tu saya bertaubatlah!”….

Kadang-kala, sikap inilah yang dikatakan sikap acuh tidak acuh. Tidak serius dalam agama. Mempersendakan agama.

Sedarlah, wahai umat Islam !

Wednesday, June 3, 2009

->Hikayat sang dewa kaku kini menjadi sejarah dalam hidupku

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Sejak kecil kami dibimbing oleh ayah kami dalam bab agama. Seperti ayah lain, dia menjalankan kewajipan mendidik anak-anak tentang agama yang dianuti sejak nenek moyang.

Tidak dapat dielakkan salah satu topik pengajaran itu ialah menyentuh tentang bab penyembahan berhala.

Pada masa itu, kami masih budak-budak mentah belasan tahun. Tidak dapat menilai kebenaran sesuatu kepercayaan itu.

Kepercayaan yang bermacam-macam karut dan tidak sedikit pun membawa keuntungan kepada kami. Yang pasti yang miskin tetap berbelanja untuk yang sudah kaya. Kerana setiap upacara keagamaan melibatkan duit untuk membeli barangan untuk disembahkan kepada patung-patung sang dewa kaku.

Hasil dari pergaulan saya dengan rakan-rakan membawa saya mengenal agama Allah. Kebetulan ibu salah seorang rakan saya mengajar mengaji al-quran budak-budak.

Pada masa itulah saya mengenal huruf alif ba ta dan mendengari bacaan al-quran. Saya mula mengenal al-quran sejak dibangku sekolah, melalui seorang ustazah. Sedikit sebanyak saya mengenali agama Islam ketika itu.

Kami adik-beradik boleh dikatakan kuat pegangan agama. Kami menerima apa saja yang diajar oleh ayah kami tanpa mengenali kesahihan sesuatu kepercayaan itu.

Ayah saya banyak berkorban terhadap keluarga. Tetapi nasib tidak memyebelahinya. Pelbagai masalah ditimpa olehnya, sehinggakan businessnya terpaksa gulung tikar akibat kemerosotan pada tahun 1998.

Keadaan menjadi teruk apabila berlaku perpisahan di antara ibu dan ayah saya. Mereka berpisah kerana kepentingan mencari habuan kekayaan dan masing-masing dengan tujuan hidup.

Peristiwa menyayat ini diselubungi dengan kematian kakak kandung saya. Kematian ini memberikan impak besar kepada ibu saya.

Kami anak-anak masih tinggal bersama ibu sehingga ke hari ini. Ayah kami telah meninggalkan kami tanpa apa-apa berita.

Hari ini, saya terkejut dengan satu panggil dari seorang ustazah. Panggilan itu mengejutkan saya dan isteri saya, kerana tiba-tiba mendapat berita ayah saya memeluk agama Islam.

Perasaan saya rasa gembira, sedih dan marah bercampur baur. Tidak seperti orang lain merasai gembira dan syukur dengan berita ayah saya memeluk Islam.

Mungkin kerana hati saya sudah kebas kerana selama ini tiada berita darinya tiba-tiba muncul dengan berita yang mengejutkan ini.

Setelah melalui suatu proses kehidupan yang begitu lama dan panjang, serta penuh dengan liku-liku hidup, akhirnya menemui kebenaran.

Saya tidak menyalahkan qada dan qadar kerana apa yang menimpa nasib saya dan keluarga saya. Tetapi sebaliknya, saya bersyukur kerana dengan qada dan qadarlah, saya sampai ke hari ini. Alhamdulillah.

Islam menjadi pilihan utama kerana Islam menjadi tempat bergantung serta berpaut untuk mendapatkan ketenangan hidup dengan Allah SWT.

Inilah kebenaran yang dicari-cari selama ini, iaitu ISLAM!

Thursday, May 21, 2009

->BANYAK REZEKI BUKAN BUKTI ALLAH REDHA

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Kita kerap menyangka, apabila kita kaya, rezeki melimpah ruah, hidup senang, itu tandanya Allah sayang kepada kita. Kita juga selalu berkata apabila kita miskin, rezeki sempit, hidup susah, itu tandanya Allah murka kepada kita. Adakah benar begitu? Jawabnya; TIDAK!

Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr ayat 15;

Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”

Ayat tersebut menunjukkan sikap sebahagian manusia yang menjadikan kekayaan sebagai kayu pengukur bahawa Allah redha kepadanya. Sedangkan hakikatnya dia menjadi sombong dengan kekayaannya itu.

Dalam Surah yang sama, ayat 16, bermaksud; Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”

Ayat ini pula menceritakan bagaimana pandangan manusia yang keliru dengan menyangka bahawa Allah telah menghinanya hanya semata-mata dengan ujian kesempitan rezeki. Ya, mereka rasa terhina, terutama apabila kawan-kawan datang dengan memandu kereta berjenama besar, kita pula memandu kereta yang ekzosnya terpaksa diikat dengan tali “rafia”. Aaahh.. manusia memang keliru dengan pandangannya sendiri. Jika benar pandangan ini, bermakna Qarun yang kaya itu adalah hamba Allah yang soleh, manakala Nabi Musa yang miskin itu adalah termasuk dalam golongan yang dihina oleh Allah. Jika tepat pandangan ini, maka Muhammad SAW adalah dimurkai Allah, manakala Abu Lahab adalah kekasih Allah. Betapa songsangnya kesimpulan ini.

Selepas itu, pada ayat ke 17, Allah menjelaskan dengan maksudnya; Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya).

Sebenarnya inilah yang banyak berlaku, terutamanya dalam kes pembahagian harta pesaka. Adik beradik si mati akan berebut-rebut harta pesaka yang ditinggalkan oleh si mati yang ketiadaan anak lelaki. Tetapi, yang menghairankan kita ialah harta pesaka mereka berebut tetapi nafkah anak-anak perempuan yang yatim itu tidak dipedulikan, malah lebih memalukan mereka sanggup berkata; “Alaa.. mak dia ada.” Sejak bila pula orang perempuan wajib menafkahi anak-anak mereka?

Surah Al-Baqarah ayat 217, bermaksud; Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Ayat ini menjadi penenang kita, bahawa ada perkara yang kita tidak menyukainya tetapi kemudiannya terbukti, sangat berfaedah kemudiannya, begitulah sebaliknya.

Oleh itu, sahabat-sahabat sekalian, sapulah air matamu, ukirkan senyuman, binalah semangat dan ingat, Allah sentiasa bersamamu dan Dia Maha Adil.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Wednesday, May 20, 2009

->Sabar

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Sabar ialah satu sifat yang dipuji oleh Allah SWT. Sabar ialah menahan diri daripada menderita akibat sesuatu musibah. Sabar memerlukan kekuatan yang didorongi oleh agama.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?”

Al-Baqarah 214

Firman Allah ini harus dijadikan pedoman. Setiap insan akan diuji tahap kesabarannya mengikut status keimanannya. Adakala, sesuatu ujian itu ringan dan adakalanya berat. Orang yang tahap imannya tinggi lebih besar tahap kesabarannya akan diuji.

Lantaran itu, apabila seseorang itu ditimpa musibah maka dia perlu bersabar, kerana dia sedang diuji.

Maka, jika seseorang itu mengeluh yang demikian menonjolkan atas keburukkan diri sendiri kerana budi pekerti yang terpuji ialah sanggup menderita daripada senang.

Mungkin ada juga yang tidak pernah menghadapi musibah, yang demikian tidak akan mengenali dirinya sendiri.

Kesenangan juga merupakan ujian. Apabila hidup senang, kita diuji dengan keinginan harta benda, pangkat, kewajipan dan tugasan. Lantaran jika seseorang itu tidak dapat memelihara diri daripada ujian ini, maka menampakkan dirinya dengan kerakusan, kegelisahan, ketamakan dan lebih jauh dari itu ialah tidak bersyukur.

Kita patut bersyukur walaupun kita ditimpa kesusahan. Kerana apabila kita bersyukur kita sabar dan reda dengan seadanya. Dan Allah senantiasa bersama dengan orang yang banyak bersabar.

Allah SWT berfirman,

“Sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

An Anfal 46

Pada hakikatnya, kesemua ini tetap bertunjangkan kepada sifat kesabaran yang tersimpul bersama-sama dengan sifat kesyukuran dan kepasrahan di dalam diri kita. Kesemuanya bergerak serentak dan seimbang.

Semoga kita semua diberi sifat kesabaran untuk menempuhi segala musibah dan rintangan. Sama ada di waktu susah mahupun di waktu senang. Kerana di situlah wujudnya kekuatan dalam iman dan jauhnya seseorang itu dari keluh-kesah yang menambah beratnya musibah.

Tuesday, May 19, 2009

->Musibah ujian tentukan tahap nilai diri umat

Sumber dari Berita Harian

APABILA seseorang itu tiba-tiba mendapat kesusahan, kegagalan dalam perkara tertentu atau ditimpa musibah berat dalam kehidupan, mereka menganggap Allah sudah tidak sayangkan mereka. Lebih jauh daripada itu, ada berani mengatakan Allah telah berlaku zalim kerana diberikan kesusahan.

Anggapan demikian tidak benar. Mereka tidak sepatutnya berprasangka tidak baik terhadap Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah sekali-kali menganiaya atau berlaku zalim kepada hamba-Nya.

Allah sentiasa bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah tetap memberi kurnia dan rahmat-Nya kepada semua umat Nabi Muhammad SAW. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah Yunus, ayat 44)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seorang pun walaupun sebesar zarah.” (Surah An-Nisa’, ayat 40)

Sebenarnya jika ada kepayahan dan kegagalan berdepan dengan sesuatu perkara yang mungkin membuat kita kecewa dan putus asa, itu adalah pengajaran. Ada sesuatu yang perlu kita renungkan dan sekali gus pelajari daripada kepayahan atau kegagalan itu kerana pasti ada hikmah di sebaliknya.

Menurut Jaddal Atiff dalam tulisannya, hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh didikan langsung daripada Allah melalui ujian-Nya.

Sehubungan itu, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan seorang hamba itu berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Sementara dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Musibah tidak datang begitu saja tanpa ujian. Allah menurunkan musibah (besar atau kecil) untuk menguji hamba-Nya sejauh mana mereka tabah, sabar dan reda.

Imam Inu Qayyim al-Jauziyah berkata, ada ujian untuk kesabaran, ujian untuk bersyukur, ujian untuk memberi petunjuk, ujian sebagai hukuman, ujian sebagai cubaan, ujian untuk memajukan diri dan ujian supaya mendapat pahala. Siapa yang tidak merasakan ujian atau musibah, maka dia tidak mengetahui tahap nilai dirinya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami adanya orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita keadaan kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Pernah suatu hari, Saad bin Abi Waqash berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah yang paling berat cubaannya? Rasul menjawab: Para nabi, kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya; jika agamanya bagus di dalam lubuk hatinya, maka dia akan menjadi orang yang berat ujiannya, dan jika dalam agamanya agak tipis, maka sesuai dengan itu pula ujiannya. Begitulah ujian hidup, ia akan terus bersama seorang hamba, sehingga ketika ujian itu pergi meninggalkannya, maka dia bebas berjalan di muka bumi ini tanpa ada kesalahan lagi.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Sementara itu, Anas meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah berfirman: “Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua benda yang paling dia sayangi, lalu dia bersabar menghadapinya, maka Aku akan menggantikan keduanya dengan syurga. Yang dimaksudkan dua benda itu adalah kedua matanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jelaslah Allah menimpakan musibah kepada seseorang anak Adam itu ada hikmah dan ujian-Nya. Justeru itu sesiapa yang ditimpa musibah hendaklah sabar menghadapinya.

Firman Allah yang bermaksud: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang sabar dengan memberikan pahala lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 96)

Oleh itu, apabila berhadapan ujian, jangan buruk sangka sebaliknya hadapinya dengan reda serta keyakinan bahawa selepas kesusahan itu akan ada kemudahan menanti.

Monday, May 18, 2009

->SUKA SALAHKAN ALLAH BILA KECEWA

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

1. Seorang wanita berusia 50’an datang menemui saya, mengadu hal. Beliau telah bercerai sebanyak dua kali (dua suami berbeza). Beliau merintih; “Ustaz! Kenapa Allah buat saya macam ni? Saya dah kahwin dua kali, dan kedua-dua suami saya menceraikan saya! Apa salah saya? Saya solat, tutup aurat, ikut hukum hakam agama. Kenapa Allah tidak memberikan kebahagiaan kepada saya? Sedangkan jiran sebelah rumah saya tak ikut agama pun, suami pakai seluar pendek, isteri pun pakai seluar pendek kat luar rumah, tapi mereka bahagia, kenapa saya yang ikut agama dan suruhan Tuhan ini tidak bahagia?

2. Seorang wanita profesional berusia lingkungan 40’an, berpendapatan puluhan ribu sebulan dan sering pulang lewat malam kerana tugas. Saya mengenalinya sejak dahulu, bertudung, memakai baju kurung dan sopan. Tetapi segala-galanya berubah apabila suatu ketika, seusai tugas lazimnya, pulang ke rumah, melepaskan penat dan ingin berehat, lantas mengambil vcd untuk menonton filem, tetapi “gambar” yang keluar bukanlah lakonan biasa seorang pelakon tetapi “lakonan” sebenar antara suaminya dan “bibiknya”. Tidaklah saya ketahui adakah suaminya tersilap letak vcd tersebut atau sengaja berbuat demikian supaya si isteri melihatnya, tetapi apa yang berlaku ialah perceraian di antara keduanya, yang menyaksikan si isteri “memberontak” terhadap agama dan Tuhannya. Kini, rambutnya menjadi tatapan umum, badannya ditutupi dengan baju dan seluar sendat, tiada lagi ketakutan kepada dosa dan noda.

3. Seorang gadis manis lagi manja, sejak kecil menjadi kesayangan keluarga lantaran sifatnya yang lembut dan beragama, keluarganya begitu berbangga dengannya. Tidak pernah terpisah dengan tudung labuhnya, mini jubahnya sering menjadi pilihan, seorang peminat usrah dan program agama, sepanjang hidupnya tidak pernah diketahui akan perkara yang tidak elok tentang peribadinya. Kemudian, datanglah ujian Allah terhadap dirinya, satu demi satu gagal dalam cubaan melepasi tuntutan akademik sedangkan beliau seorang yang pintar. Kini, melihat agama sebagai sesuatu yang negative, berasa bosan menjadi “orang baik” dan seolah-olah merasakan Tuhan tidak adil! Di mana tudung kepala? Di mana jubah mini? Sudah dibuang jauh-jauh. Orang lain semua salah, the whole world she blamed, diri sendiri tak pernah salah.

4. Seorang isteri yang layak dipanggil ustazah lantaran pakaiannya, walaupun sebenarnya beliau bukanlah ustazah. Semua orang yang mengenalinya menghormatinya kerana akhlaq dan budi bahasanya. Namun, semuanya sementara. Apabila berlaku perceraian, beliau kini adalah seorang wanita yang amat berbeza. Rambutnya kini dijalin lagak seperti wanita Afrika, pakaiannya semua ketat dari atas sampai ke bawah ditambah dengan “push-up”. Lupa segala-galanya.

5. Itulah contoh kehidupan manusia yang keliru dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Menganggap Allah tidak sayang kepada dirinya apabila mereka diuji. Menuduh Allah tidak adil kerana menyusahkan kehidupannya. Bagi mereka, Allah Ta’ala adalah adil apabila memberi rezeki dan nikmat justeru kesolehan mereka. Tetapi Allah dianggap zalim apabila mereka patuh kepada Allah tetapi Allah memberi kesusahan kepada mereka.

6. Inilah manusia yang lupa kepada sejarah nabi dan rasul, suka duka ulama dan orang soleh yang berhadapan dengan ujian Allah. Allah SWT memerintahkan peperangan terhadap kuffar tetapi kenapa Allah mengizinkan kemenangan kepada kuffar dalam Perang Uhud? Pelik bukan? Allah memerintahkan para rasul-Nya menyampaikan risalah-Nya, tetapi kenapa Allah mengizinkan kekuatan musuh menentang nabi-Nya? Jika benar Allah tidak redha kepada Firaun, kenapa pula Allah SWT memberi kuasa pemerintahan kepadanya? Jika betul Qarun adalah musuh Allah, kenapa pula kekayaan diberikan kepadanya?

7. Bukankah sepatutnya Allah memberi kekayaan kepada hamba-Nya yang soleh? Tidakkah selayaknya Allah memberi kuasa pemerintahan hanya kepada manusia yang diredhai-Nya sahaja? Kenapa Allah tidak memberi kemenangan kepada Muhammad SAW dalam semua peperangan supaya tidak ada lagi kafir di muka bumi? Bukankah Allah benci kepada kaum yang kafir?

8. Inilah akibatnya yang berlaku apabila manusia membiarkan aqalnya menjadi bodoh dan tidak mahu menggunakan kecerdikan aqalnya. Anda suka perbincangan ini? Nantikan selanjutnya “jawapan” daripada Allah dan Rasul!

Sekian.
Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Saturday, May 16, 2009

->Berselawat suatu amalan sunat.

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Kita umat Islam disuruh untuk berselawat. Perbanyakkanlah berselawat pada hari Jumaat serta hari-hari lain. Tidak kira apa-apa saja yang kita lakukan boleh berselawat dan mendapat banyak kelebihan ganjaran pahala.

Tetapi janganlah sampai tidak berselawat pula menjadi HARAM. Kebetulan saya didatangi seorang hamba Allah menanyakan soalan. Di mana dia mendapat soalan ini dari seorang sahabatnya.

Soalannya: Adakah menjadi haram kalau tidak berselawat? Jawab saya, Tidak! Kenapa harus jadi haram kalau kita tidak berselawat. Ia adalah suatu perbuatan sunat. Kalau buat dapat pahala kalau tak buat tak dapat pahala.

Tambahnya lagi, ketika membasuh sisa-sisa darah yang tersisa pada urat atau otot ayam atau ikan yang diberi dari pasar atau supermarket, wajibkah kita berselawat? Saya jawab, tidak wajib! Tidak satu dalil yang perlu wajib kita berselawat ketika membasuh ayam. Kalau tidak berselawat, ayam itu tetap halal dan boleh dimakan.

Allah berfirman...

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.

Surah Al-Maidah 3

Begitulah firman Allah mengenai perbatasan makanan yang diharamkan makan oleh kita orang Islam. Tidak pula dinyatakan makanan itu haram dimakan jikalau tidak diselawat dengan selawat Nabi SAW.

Tidak juga dijumpai dalil-dalil dalam hadis yang mengatakan ianya wajib berselawat ketika membasuh atau menyucikan darah binatang seperti ayam atau ikan.

Yang hanya ada disebut oleh Nabi SAW ialah seperti di bawah ini:

Dari Salman Al-Farisi, bahawa Rasulullah pernah ditanyakan mengenai samin, keju dan bulu, beliau lalu bersabda:

“Yang halal adalah apa-apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya. Dan yang haram adalah apa-apa yang diharamkan Allah di dalam kitab-Nya. Dan apa-apa yang tidak disebut, adalah termasuk barang yang dimaafkan daripadanya bagi kamu”.

HR Ibnu Majah dan At Tirmizi

Jelas sekali sabda Rasulullah SAW, makanan yang halal dan haram telah dinyatakan di dalam kitab Al-Quran. Tidak pula dinyatakan haramnya memakan makanan yang tidak diselawat dengan selawat Nabi SAW.

Malangnya, ada sesetengah kita orang Islam yang cetek ilmunya suka mempercayai sesuatu amalan secara membabi buta tanpa menyiasat kesahihan terlebih dahulu.

Benarkah, dalam syarak, kita orang Islam wajib berselawat ketika menyucikan darah yang masih tinggal pada binatang yang telah mati sembelih atau kita beli dari pasar?

Sebagai contoh, kalaulah kita pergi ke pasar membeli ayam se-ekor bawa balik dan basuh. Semasa sedang membasuh ayam untuk membuang sisa-sisa darah yang tertinggal, kita wajib berselawat jika tidak ia haram dimakan.

Apakah ini suatu amalan sahih dari sunnah Rasulullah SAW? Jika ya, apakah dalil-dalil yang diyakini oleh kita! Ingat! Sesuatu amalan atau kepercayaan yang tidak disebut di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab Sunnah, maka ia dipanggil bidaah.

" Daripada Ummul Mukminin, Ummi Abdullah Aisyah r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : ' Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak“.

HR Al-Bukhari dan Muslim.

Oleh yang demikian, saya menyeru orang itu mengemukakan dalil untuk dakwaan di atas. Sekiranya gagal, maka berhentilah mengamalkan amalan bidaah seperti itu dan kembali bertaubat.

wallahu a'lam

Friday, May 15, 2009

->Tanda-Tanda Akhir Zaman.

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Hadis dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara tanda-tanda hampir Kiamat ialah terhapusnya ilmu Islam, munculnya kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan dilakukan secara terang-terangan.

Hakikatnya manusia pada hari ini tidak lagi mencintai ilmu Islam. Mereka sangat malas untuk mempelajari dan mendalaminya. Setengah pihak menghalang orang lain dari mempelajarinya. Mesjid dan surau dirampas untuk memastikan agenda mereka berhasil. Kerja-kerja ini menyebabkan terhapusnya ilmu-ilmu Islam dan munculnya kejahilan seperti hadits diatas.Kesan dari itu amalan Islam hilang dalam masyarakat tersebut. Maka berlakulah zina secara tetrang dan banyaknya peminum arak. Paling ditakuti kejahilan ini menyebabkan mereka memilih pemimpin yang jahil juga.

Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah s.w.t mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula .

Thursday, May 14, 2009

->Menjauhkan Duri Di Jalan

Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus
Monday, 13 April 2009

Dalam peluang kali ini, saya ingin berkongsi tiga kisah benar berkenaan orang yang berbuat baik. Perbuatan baik tersebut dilakukan bukan kerana mengharapkan imbalan, bukan kerana ejen jualan sekian-sekian produk dan bukan untuk mendapat nama. Ia semata-mata atas dasar berbuat baik.

Kisah pertama berlaku ketika saya ingin membeli tiket memakir kenderaan. Mesin tiket itu beroperasi tanpa pengendali di mana kita sendiri yang memasukkan syiling, menaip nombor kenderaan dan mengambil tiket yang keluar untuk diletakkan di cermin depan kereta. Cara seperti ini merupakan kelaziman di bandar-bandar besar, khasnya Lembah Klang.

Mengorek-ngorek kocek saya, tiada duit syiling yang ditemui. Sambil memandang-mandang ke kedai-kedai berhampiran, hati saya mengeluh: “Ahh! Susah juga nak tukar duit seringgit kepada syiling kerana kebanyakan kedaipun kekurangan duit syiling.” Tiba-tiba datang seorang budak berumur belasan tahun yang memakai seluar pendek dan t-shirt Pagoda: “Takde syiling ke?”

“Hmm..ya, takde syiling” jawab saya penuh waspada. Entah siapa pula yang datang ni. “Tak apa saya ada syiling lebih, kita tukar dengan duit seringgit OK?” “OK”, jawab saya ringkas, masih berwaspada sambil mengamati budak itu dari atas ke bawah, bawah ke atas. Budak itu mengambil sebuah kotak mancis dari kocek seluarnya dan dikeluarkan beberapa syiling yang mencukupi jumlah satu ringgit. “Terima kasih” saya ucapkan setelah berlaku pertukaran antara kami. “Sama-sama” jawabnya sambil terus berjalan.

Saya mesih tercegat di situ. Pertama kali saya berjumpa orang yang menjadikan kotak mancis sebagai dompet menyimpan duit syiling. Namun di sebalik itu, hatinya tetap mulia untuk membantu saya yang tidak dikenalinya. Alhamdulillah.

Jalan berhampiran kawasan sekolah pada lewat petang Jumaat itu dipenuhi kereta yang bergerak perlahan-lahan, bersesak-sesak. Sama ada bekerja keras atau lembut, masing-masing pemandu hanya fokus kepada ingin pulang ke rumah setelah seharian di pejabat. Nun jauh di hadapan kelihatan seorang anak murid berbaju melayu yang ingin melintas jalan. Dengan beg sandang yang kelihatan lebih berat berbanding dirinya, jelas kelihatan kehampaan pada raut wajah. Sudah agak tentu dia menunggu lama di situ tanpa dapat melintas jalan.

Tiba-tiba sebuah kereta di hadapan berhenti mengejut sehingga menyebabkan kereta-kereta di belakang juga berhenti. Terus timbul pertanyaan: “Ada insiden kereta mencium kereta ke?” Ternyata tidak. Pemandu kereta yang berhenti itu keluar dari kenderaannya, terus mengambil tangan anak murid yang ingin melintas dan memimpinnya melintasi jalan. Kemudian dia mengangkat tangan umpama polis trafik kepada lalulintas yang bertentangan arah, menyuruh mereka berhenti lalu memimpin tangan anak murid itu sehinggalah sampai ke seberang jalan. Akhirnya dia melintas kembali, memasuki kereta yang masih terbuka pintunya dan meneruskan pemanduan.

Kereta yang sekali sekala terasa terapung-apung di atas air menyebabkan kedua-dua tangan saya memegang stering dengan kejap. Iklim hujan lebat di lebuhraya menuju ke KLIA menyebabkan jalan dinaiki air sekadar seinci dua. Cara terbaik untuk memandu dalam suasana terapung-apung ini ialah kejap memegang stering agar kereta terus ke hadapan. Jangan diubah arah stering kerana perubahan yang sedikit akan menyebabkan kereta berputar seperti gasing.

Dalam kesamaran hujan lebat, ternampak sebuah kereta di hadapan yang mula mengelongsor ke kiri ke kanan umpama seekor ular, lalu akhirnya berpusing dua pusingan dan tersadai di tepi jalan. “Kereta nampaknya OK, tetapi bagaimana dengan penghuninya?” bisik hati saya kecemasan. Akan tetapi dalam pakaian seragam yang sudah bersiap sedia untuk memulai penerbangan, bagaimana hendak saya bantu? Kerisauan saya terubat apabila melihat sebuah kereta lain berhenti di tepi jalan. Dengan menggunakan payung, pemandunya berlari-lari anak untuk melihat keadaan penghuni kereta yang terbabas itu. “Alhamdulillah, ada insan yang sudi membantu sekalipun dalam keadaan cuaca seperti ini” lintas hati saya kelegaan.

Demikianlah tiga kisah benar berkenaan insan yang berbuat baik sesama insan yang sememangnya ditekankan oleh Islam. Bahkan dinyatakan dalam sebuah hadis yang sahih bahawa iman terdiri daripada tujuh puluh bahagian dan salah satu daripadanya ialah menjauhkan duri dari jalan yang merupakan lalu lintas orang ramai. Pengajaran yang ingin disampaikan oleh hadis ini bukan sekadar menjauhkan duri tetapi ciri orang beriman yang lazim berbuat baik kepada insan, haiwan dan alam.

Semoga tiga kisah di atas menjadi pemangkin dan motivasi kepada diri saya dan para pembaca sekalian untuk berlumba-lumba berbuat kebaikan. Lakukannya kerana kita orang Islam, di mana berbuat baik merupakan salah satu ciri keimanan kita. Oh-ya! Saya terlupa untuk menerangkan, bahawa insan yang berbuat baik dalam kisah pertama dan kedua berbangsa Cina manakala dalam kisah ketiga berbangsa Punjabi.

Wednesday, May 13, 2009

->BEER HALAL

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
13/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Nampaknya heboh sehari dua ini tentang BIR HALAL atau tanpa alcohol yang dikaitkan dengan minuman malt tanpa alcohol berjenama ISTAK oleh Malaysian Iranian Corp. Sdn Bhd (MICSB). Pelbagai pandangan diberikan tentang isu ini. Kebanyakannya tak suka istilah BIR HALAL.

Berdasarkan website Answers.com, perkataan “beer” diberikan definisi berikut:-

a) A fermented alcoholic beverage brewed from malt and flavored with hops.
b) A fermented beverage brewed by traditional methods that is then dealcoholized so that the finished product contains no more than 0.5 percent alcohol.
c) A carbonated beverage produced by a method in which the fermentation process is either circumvented or altered, resulting in a finished product having an alcohol content of no more than 0.01 percent.

Jika berdasarkan takrif di atas, bermakna “bir” tetap mempunyai alcohol sekurang-kurangnya 0.01 peratus. Adakah ia tetap haram? Bagaimana pula “Root Beer” yang dijual oleh A&W? Ramai di kalangan kita yang meminumnya dan yakin sekian lama sebagai “halal”.

Berdasarkan laporan Gufnews.com bertarikh 13 April 2008, menunjukkan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi mengharuskan minuman yang mempunyai alkohol dengan kuantiti kecil yang tidak memabukkan. Namun, sebagaimana biasa, ia tetap mengundang kontroversi di kalangan ulama di Qatar.

Al-Qaradawi mengatakan bahawa minuman yang mempunyai alcohol sebanyak 5/1000 or 0.5% adalah dibenarkan dalam Islam. Beliau yang juga Pengerusi “International Organisation of Islamic Jurists” mengatakan bahawa ia dibenarkan kerana kuantiti alcohol yang kecil itu tidak menyebabkan mabuk. Tetapi bagi Al-Qaradawi, syaratnya ialah alcohol tersebut terhasil secara semula jadi (natural fermentation or anaerobic conversion). Ini kerana, jumlah alcohol sebanyak 5/1000 atau 0.5% di dalam minuman, adalah terlalu kecil dan tidak signifikan untuk menjadikan minuman itu haram, apatah lagi jika ia (alcohol) itu dihasilkan secara semula jadi dan tidak melalui proses campuran pembuatan oleh kilang atau seumpamanya.

Fatwa tersebut telah dikeluarkan oleh Al-Qaradawi berikutan banyaknya pertanyaan daripada masyarakat tentang perlambakan minuman tenaga dan makanan yang mengandungi alcohol dalam kuantiti yang kecil di pasaran.

Walaupun saya cenderung kepada fatwa Al-Qaradawi tetapi saya tahu ia tetap kontroversi sebagaimana fatwa-fatwa beliau yang lain.

Biasalah masyarakat kita, terlalu sibuk dengan isu minuman atau makanan beralkohol (mungkin kerana kesedaran beragama atau lebih kepada adat?), tetapi bila kita maklumkan kepada mereka bahawa “tapai” (orang Kelantan suka makan) pun ada alcohol (ethanol) mulut mereka pun ternganga… Hmmm.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
13/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Tuesday, May 12, 2009

->KERANA POLITIK, JASAD NABI LAMBAT DIKEBUMIKAN

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
08/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

1. Apabila menonton dan membaca berita berkenaan dengan politik Perak, saya berasa amat dukacita. Saya juga percaya semua rakyat jelata, sama ada penyokong di pihak pertama atau di pihak kedua, atau “atas pagar”, juga berdukacita. Tidak tahulah saya, jika ada yang bergembira dengan suasana tegang seperti itu. Pihak pasukan keselamatan terutamanya PDRM, terpaksa dikerah, untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Sudah tentulah, banyak kerja lain yang terpaksa ditinggalkan sementara dek tumpuan yang perlu diberikan kepada krisis politik dan perlembagaan di Perak.

2. Sebenarnya, apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa politik adalah suatu bidang yang tersangat penting dalam kehidupan manusia. Sudah tentu, kedua-dua pihak, sanggup bermati-matian sedemikian rupa, kerana ingin berbakti kepada rakyat, berkhidmat untuk rakyat, berkorban untuk rakyat, tak sanggup melihat nasib rakyat diabaikan, justeru itu mereka sanggup susah begitu sekali, sehingga menyusahkan Raja Nazrin, demi rakyat tercinta!!

3. Imam Bukhari merekodkan dalam sahih beliau hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu sangat berkehendak kepada jawatan kepimpinan, (sedangkan) ia akan menjadi penyesalan pada hari Qiamat, ia adalah nikmat pada peringkat permulaannya, namun buruk pada peringkat akhirnya”.

4. Dalam hadith muttafaq ‘alaih sebagaimana riwayat Abu Musa juga disebut tentang dua orang lelaki yang meminta jawatan amir (ketua) daripada Rasulullah SAW, lalu dijawab oleh baginda yang bermaksud “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam perkara ini (perlantikan ketua) sesiapa yang memintanya dan sesiapa yang bercita-cita untuk mendapatkannya.

5. Apabila Nabi SAW wafat pada pagi Isnin, 12 Rabi’u Awwal, tahun 11 Hijrah, Sheikh Safi Al-Rahman Al-Mubarakfuri melaporkan dalam kitabnya yang terkenal “Al-Rahiq Al-Makhtum”, pertikaian meletus di kalangan para sahabat Nabi yang diredhai oleh Allah itu tentang siapakah yang sepatutnya menjawat jawatan khalifah. Sedangkan pada masa itu, jasad baginda yang mulia, belum lagi disiapkan untuk proses pengebumian.

6. Perbahasan dan dialog yang bertempat di Thaqifah (portico) Bani Sa’idah itu berterusan sepanjang hari Isnin yang penuh dengan kesedihan itu sehingga menjelang malam. Ia melibatkan umat Islam di antara kaum Ansar dan Muhajirin. Perbahasan tersebut berlanjutan hingga hampir subuh hari Selasa, sedangkan jasad Nabi SAW yang mulia itu masih dikunci di dalam bilik!

7. Apabila keputusan dicapai, Abu Bakar r.a. dilantik sebagai khalifah, barulah jasad Nabi SAW dimandikan pada hari Selasa oleh Al-Abbas, Ali, Al-Fadl dan Qathm. Al-Fadl dan Qathm adalah anak Al-Abbas. Turut terlibat ialah Shaqran (hamba yang telah dimerdekakan oleh Nabi SAW), Usamah bin Zaid dan Aus bin Khauli. Selesai dimandikan, umat Islam memasuki bilik yang terdapat jasad Nabi SAW dengan bilangan 10 orang pada satu masa silih berganti sehingga habis waktu siang hari Selasa. Berdasarkan riwayat Aisyah, jasad Nabi SAW hanya disemadikan pada hari Selasa malam Rabu.

8. Kelewatan proses persemadian jasad baginda yang mulia ini selama hampir mencecah dua hari menjadi bukti bagaimana pentingnya politik di sisi sahabat Nabi SAW. Sudah tentu mereka lebih tahu bagaimana cara menghormati Nabi SAW termasuk mesti menyegerakan proses pengkebumian, tetapi politik juga sangat penting!!

9. Harapan saya, agar janganlah berulang sejarah hitam Perang Unta (Waq’atul Jamal) dan Perang Siffin yang melibatkan kedua-dua pihak adalah sahabat-sahabat Nabi yang mulia, ENOUGH IS ENOUGH!!

Sekian,

Ahmad Jailani Abdul Ghani
08/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

->TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARI, THA’LABAH DAN ABDUL RAHMAN BIN AUF

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Beberapa hari yang lalu, saya menghadiri kes rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Star. Berhenti solat kesekian kalinya di Masjid Al-Bukhari. Melihatkan kepada masjid tersebut dan kompleks membeli belah di sebelahnya yang dikenali sebagai Souq Al Bukhari, menyebabkan saya kagum kepada tokoh saudagar yang berkaitan iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Ingatan saya kembali kepada dongengan yang dikaitkan dengan agama berkisar kepada dua tokoh hartawan dan businessman zaman Nabi SAW iaitu, Abdul Rahman Bin ‘Auf dan Tha’labah.

Alangkah peliknya dengan sikap Pak Lebai & Tokguru Kampung yang suka menyelitkan cerita dalam kuliah-kuliah mereka di masjid dan surau bagaimana nasib “malang” yang menimpa orang yang banyak harta dan perniagaan yang besar sehingga nama-nama sahabat Nabi r.a. itu dikatakan paling akhir memasuki syurga atau memasukinya dalam keadaan merangkak lantaran terlalu banyak harta mereka.

Pada masa itu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu. Sifat yang ada pada saya sebagai pelajar aliran sains di sekolah berasrama penuh kerajaan (sifat ini juga terdapat pada pelajar lain tentunya) ialah “critical thinking” dan sentiasa menghendaki “facts and figures”. Apa yang bermain dalam kepala saya ialah kenapa sahabat nabi tersebut masuk syurga dalam keadaan merangkak? Walaupun saya tidak bertanya kepada “ustaz” terbabit tetapi dia menyatakan kerana hartanya terlalu banyak, jadi, mengambil masa yang panjang untuk dibicarakan, maka dia lambat masuk syurga!!

Yang menjadi persoalan dalam kepala saya ialah kenapa pula bila seseorang yang mempunyai harta yang banyak akan lambat masuk syurga? Adakah Allah SWT akan mengira dan menghitung semua amalan dan harta dengan menggunakan “calculator”? Apakah Allah SWT begitu lemah sehingga “terpaksa” mengambil masa yang lama untuk mengira semua harta Tha’labah atau Abdul Rahman Bin ‘Auf sehingga menyebabkan mereka berdua paling lambat masuk syurga? SubhanAllah! Maha Suci Allah! Tidakkah pak lebai kampung yang terlibat tahu bahawa mereka sebenarnya telah menghina Allah sama ada disedari atau tidak!

Sebahagian golongan agamawan juga mengaitkan Tha’labah dengan ayat 74 Surah Al-Taubah:-

يَحْلِفُونَ بِاللّهِ مَا قَالُواْ وَلَقَدْ قَالُواْ كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُواْ بَعْدَ إِسْلاَمِهِمْ وَهَمُّواْ بِمَا لَمْ يَنَالُواْ وَمَا نَقَمُواْ إِلاَّ أَنْ أَغْنَاهُمُ اللّهُ وَرَسُولُهُ مِن فَضْلِهِ فَإِن يَتُوبُواْ يَكُ خَيْرًا لَّهُمْ وَإِن يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَا لَهُمْ فِي الأَرْضِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

Maksudnya: Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong

Tetapi Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid menyatakan bahawa riwayat tersebut yang mengaitkan Tha’labah dengan golongan munafiq dalam ayat tersebut adalah lemah. Al-Hafiz Ibnu Hajar dan ramai lagi sarjana Islam yang lain mengatakan bahawa Tha’labah ibn Haatib adalah seorang Ansar yang turut terlibat dalam Peperangan Badar (golongan yang diampunkan dan dijamin syurga oleh Allah) dan dia telah terbunuh syahid dalam Peperangan Uhud. Maka tentunya, darjatnya adalah sangat mulia di sisi Allah SWT.

Tambahan pula, Ahli Jawatankuasa Fatwa Al-Lajnah Al-Daa’imah lil-Buhuth Al-‘Ilmiyyah wal-Iftaa’ (26/49) yang dianggotai oleh Sheikh Abdul Aziz ibn ‘Abdullah Aal Al-Sheikh, Sheikh Abdullah ibn Ghadyaan, Sheikh Saleh Al-Fauzan dan Sheikh Bakar Abu Zaid telah memetik kata-kata Sheikh Ibn ‘Uthaimin bahawa riwayat-riwayat yang dibawa oleh ramai pentafsir Al-Quran dan turut disebarkan oleh para pendakwah berkenaan dengan cerita tersebut adalah berstatus lemah dan tidak kuat. Sepatutnya setiap orang Islam mengetahui perkara ini kerana tiada sebarang alasan untuk tidak mengetahuinya.

Begitu juga dengan Abdul Rahman Bin ‘Auf. Sheikh Yusuf Al-Qardawi menyebut tentang kelebihan beliau. Beliau adalah salah seorang daripada enam orang jawatankuasa perlantikan Khalifah bagi mencari pengganti kepada Khalifah Umar yang ditikam. Namanya disebut oleh Umar. Malah apabila, enam orang itu tidak dapat mencapai keputusan tentang siapakah pengganti Umar maka, undi daripada Abdul Rahman Bin ‘Auf menjadi penentu sehingga menyebabkan Uthman Bin ‘Affan terlantik sebagai khalifah.

Maka, harapan saya, janganlah kita menyebarkan cerita yang akan menyebabkan orang Islam tidak bersemangat untuk menjadi kaya!

Sekian,

Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Laman Pilihan

Video Pilihan

Quran Search

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Hadis Search

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com