Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/05/2009
www.ustjai.wordpress.com
Beberapa hari yang lalu, saya menghadiri kes rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Star. Berhenti solat kesekian kalinya di Masjid Al-Bukhari. Melihatkan kepada masjid tersebut dan kompleks membeli belah di sebelahnya yang dikenali sebagai Souq Al Bukhari, menyebabkan saya kagum kepada tokoh saudagar yang berkaitan iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Ingatan saya kembali kepada dongengan yang dikaitkan dengan agama berkisar kepada dua tokoh hartawan dan businessman zaman Nabi SAW iaitu, Abdul Rahman Bin ‘Auf dan Tha’labah.
Alangkah peliknya dengan sikap Pak Lebai & Tokguru Kampung yang suka menyelitkan cerita dalam kuliah-kuliah mereka di masjid dan surau bagaimana nasib “malang” yang menimpa orang yang banyak harta dan perniagaan yang besar sehingga nama-nama sahabat Nabi r.a. itu dikatakan paling akhir memasuki syurga atau memasukinya dalam keadaan merangkak lantaran terlalu banyak harta mereka.
Pada masa itu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu. Sifat yang ada pada saya sebagai pelajar aliran sains di sekolah berasrama penuh kerajaan (sifat ini juga terdapat pada pelajar lain tentunya) ialah “critical thinking” dan sentiasa menghendaki “facts and figures”. Apa yang bermain dalam kepala saya ialah kenapa sahabat nabi tersebut masuk syurga dalam keadaan merangkak? Walaupun saya tidak bertanya kepada “ustaz” terbabit tetapi dia menyatakan kerana hartanya terlalu banyak, jadi, mengambil masa yang panjang untuk dibicarakan, maka dia lambat masuk syurga!!
Yang menjadi persoalan dalam kepala saya ialah kenapa pula bila seseorang yang mempunyai harta yang banyak akan lambat masuk syurga? Adakah Allah SWT akan mengira dan menghitung semua amalan dan harta dengan menggunakan “calculator”? Apakah Allah SWT begitu lemah sehingga “terpaksa” mengambil masa yang lama untuk mengira semua harta Tha’labah atau Abdul Rahman Bin ‘Auf sehingga menyebabkan mereka berdua paling lambat masuk syurga? SubhanAllah! Maha Suci Allah! Tidakkah pak lebai kampung yang terlibat tahu bahawa mereka sebenarnya telah menghina Allah sama ada disedari atau tidak!
Sebahagian golongan agamawan juga mengaitkan Tha’labah dengan ayat 74 Surah Al-Taubah:-
يَحْلِفُونَ بِاللّهِ مَا قَالُواْ وَلَقَدْ قَالُواْ كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُواْ بَعْدَ إِسْلاَمِهِمْ وَهَمُّواْ بِمَا لَمْ يَنَالُواْ وَمَا نَقَمُواْ إِلاَّ أَنْ أَغْنَاهُمُ اللّهُ وَرَسُولُهُ مِن فَضْلِهِ فَإِن يَتُوبُواْ يَكُ خَيْرًا لَّهُمْ وَإِن يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَا لَهُمْ فِي الأَرْضِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ
Maksudnya: Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong
Tetapi Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid menyatakan bahawa riwayat tersebut yang mengaitkan Tha’labah dengan golongan munafiq dalam ayat tersebut adalah lemah. Al-Hafiz Ibnu Hajar dan ramai lagi sarjana Islam yang lain mengatakan bahawa Tha’labah ibn Haatib adalah seorang Ansar yang turut terlibat dalam Peperangan Badar (golongan yang diampunkan dan dijamin syurga oleh Allah) dan dia telah terbunuh syahid dalam Peperangan Uhud. Maka tentunya, darjatnya adalah sangat mulia di sisi Allah SWT.
Tambahan pula, Ahli Jawatankuasa Fatwa Al-Lajnah Al-Daa’imah lil-Buhuth Al-‘Ilmiyyah wal-Iftaa’ (26/49) yang dianggotai oleh Sheikh Abdul Aziz ibn ‘Abdullah Aal Al-Sheikh, Sheikh Abdullah ibn Ghadyaan, Sheikh Saleh Al-Fauzan dan Sheikh Bakar Abu Zaid telah memetik kata-kata Sheikh Ibn ‘Uthaimin bahawa riwayat-riwayat yang dibawa oleh ramai pentafsir Al-Quran dan turut disebarkan oleh para pendakwah berkenaan dengan cerita tersebut adalah berstatus lemah dan tidak kuat. Sepatutnya setiap orang Islam mengetahui perkara ini kerana tiada sebarang alasan untuk tidak mengetahuinya.
Begitu juga dengan Abdul Rahman Bin ‘Auf. Sheikh Yusuf Al-Qardawi menyebut tentang kelebihan beliau. Beliau adalah salah seorang daripada enam orang jawatankuasa perlantikan Khalifah bagi mencari pengganti kepada Khalifah Umar yang ditikam. Namanya disebut oleh Umar. Malah apabila, enam orang itu tidak dapat mencapai keputusan tentang siapakah pengganti Umar maka, undi daripada Abdul Rahman Bin ‘Auf menjadi penentu sehingga menyebabkan Uthman Bin ‘Affan terlantik sebagai khalifah.
Maka, harapan saya, janganlah kita menyebarkan cerita yang akan menyebabkan orang Islam tidak bersemangat untuk menjadi kaya!
Sekian,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/05/2009
www.ustjai.wordpress.com
No comments:
Post a Comment