Thursday, May 21, 2009

->BANYAK REZEKI BUKAN BUKTI ALLAH REDHA

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Kita kerap menyangka, apabila kita kaya, rezeki melimpah ruah, hidup senang, itu tandanya Allah sayang kepada kita. Kita juga selalu berkata apabila kita miskin, rezeki sempit, hidup susah, itu tandanya Allah murka kepada kita. Adakah benar begitu? Jawabnya; TIDAK!

Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr ayat 15;

Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”

Ayat tersebut menunjukkan sikap sebahagian manusia yang menjadikan kekayaan sebagai kayu pengukur bahawa Allah redha kepadanya. Sedangkan hakikatnya dia menjadi sombong dengan kekayaannya itu.

Dalam Surah yang sama, ayat 16, bermaksud; Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”

Ayat ini pula menceritakan bagaimana pandangan manusia yang keliru dengan menyangka bahawa Allah telah menghinanya hanya semata-mata dengan ujian kesempitan rezeki. Ya, mereka rasa terhina, terutama apabila kawan-kawan datang dengan memandu kereta berjenama besar, kita pula memandu kereta yang ekzosnya terpaksa diikat dengan tali “rafia”. Aaahh.. manusia memang keliru dengan pandangannya sendiri. Jika benar pandangan ini, bermakna Qarun yang kaya itu adalah hamba Allah yang soleh, manakala Nabi Musa yang miskin itu adalah termasuk dalam golongan yang dihina oleh Allah. Jika tepat pandangan ini, maka Muhammad SAW adalah dimurkai Allah, manakala Abu Lahab adalah kekasih Allah. Betapa songsangnya kesimpulan ini.

Selepas itu, pada ayat ke 17, Allah menjelaskan dengan maksudnya; Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya).

Sebenarnya inilah yang banyak berlaku, terutamanya dalam kes pembahagian harta pesaka. Adik beradik si mati akan berebut-rebut harta pesaka yang ditinggalkan oleh si mati yang ketiadaan anak lelaki. Tetapi, yang menghairankan kita ialah harta pesaka mereka berebut tetapi nafkah anak-anak perempuan yang yatim itu tidak dipedulikan, malah lebih memalukan mereka sanggup berkata; “Alaa.. mak dia ada.” Sejak bila pula orang perempuan wajib menafkahi anak-anak mereka?

Surah Al-Baqarah ayat 217, bermaksud; Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Ayat ini menjadi penenang kita, bahawa ada perkara yang kita tidak menyukainya tetapi kemudiannya terbukti, sangat berfaedah kemudiannya, begitulah sebaliknya.

Oleh itu, sahabat-sahabat sekalian, sapulah air matamu, ukirkan senyuman, binalah semangat dan ingat, Allah sentiasa bersamamu dan Dia Maha Adil.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
21/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Wednesday, May 20, 2009

->Sabar

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Sabar ialah satu sifat yang dipuji oleh Allah SWT. Sabar ialah menahan diri daripada menderita akibat sesuatu musibah. Sabar memerlukan kekuatan yang didorongi oleh agama.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?”

Al-Baqarah 214

Firman Allah ini harus dijadikan pedoman. Setiap insan akan diuji tahap kesabarannya mengikut status keimanannya. Adakala, sesuatu ujian itu ringan dan adakalanya berat. Orang yang tahap imannya tinggi lebih besar tahap kesabarannya akan diuji.

Lantaran itu, apabila seseorang itu ditimpa musibah maka dia perlu bersabar, kerana dia sedang diuji.

Maka, jika seseorang itu mengeluh yang demikian menonjolkan atas keburukkan diri sendiri kerana budi pekerti yang terpuji ialah sanggup menderita daripada senang.

Mungkin ada juga yang tidak pernah menghadapi musibah, yang demikian tidak akan mengenali dirinya sendiri.

Kesenangan juga merupakan ujian. Apabila hidup senang, kita diuji dengan keinginan harta benda, pangkat, kewajipan dan tugasan. Lantaran jika seseorang itu tidak dapat memelihara diri daripada ujian ini, maka menampakkan dirinya dengan kerakusan, kegelisahan, ketamakan dan lebih jauh dari itu ialah tidak bersyukur.

Kita patut bersyukur walaupun kita ditimpa kesusahan. Kerana apabila kita bersyukur kita sabar dan reda dengan seadanya. Dan Allah senantiasa bersama dengan orang yang banyak bersabar.

Allah SWT berfirman,

“Sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

An Anfal 46

Pada hakikatnya, kesemua ini tetap bertunjangkan kepada sifat kesabaran yang tersimpul bersama-sama dengan sifat kesyukuran dan kepasrahan di dalam diri kita. Kesemuanya bergerak serentak dan seimbang.

Semoga kita semua diberi sifat kesabaran untuk menempuhi segala musibah dan rintangan. Sama ada di waktu susah mahupun di waktu senang. Kerana di situlah wujudnya kekuatan dalam iman dan jauhnya seseorang itu dari keluh-kesah yang menambah beratnya musibah.

Tuesday, May 19, 2009

->Musibah ujian tentukan tahap nilai diri umat

Sumber dari Berita Harian

APABILA seseorang itu tiba-tiba mendapat kesusahan, kegagalan dalam perkara tertentu atau ditimpa musibah berat dalam kehidupan, mereka menganggap Allah sudah tidak sayangkan mereka. Lebih jauh daripada itu, ada berani mengatakan Allah telah berlaku zalim kerana diberikan kesusahan.

Anggapan demikian tidak benar. Mereka tidak sepatutnya berprasangka tidak baik terhadap Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah sekali-kali menganiaya atau berlaku zalim kepada hamba-Nya.

Allah sentiasa bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah tetap memberi kurnia dan rahmat-Nya kepada semua umat Nabi Muhammad SAW. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah Yunus, ayat 44)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seorang pun walaupun sebesar zarah.” (Surah An-Nisa’, ayat 40)

Sebenarnya jika ada kepayahan dan kegagalan berdepan dengan sesuatu perkara yang mungkin membuat kita kecewa dan putus asa, itu adalah pengajaran. Ada sesuatu yang perlu kita renungkan dan sekali gus pelajari daripada kepayahan atau kegagalan itu kerana pasti ada hikmah di sebaliknya.

Menurut Jaddal Atiff dalam tulisannya, hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh didikan langsung daripada Allah melalui ujian-Nya.

Sehubungan itu, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan seorang hamba itu berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Sementara dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Musibah tidak datang begitu saja tanpa ujian. Allah menurunkan musibah (besar atau kecil) untuk menguji hamba-Nya sejauh mana mereka tabah, sabar dan reda.

Imam Inu Qayyim al-Jauziyah berkata, ada ujian untuk kesabaran, ujian untuk bersyukur, ujian untuk memberi petunjuk, ujian sebagai hukuman, ujian sebagai cubaan, ujian untuk memajukan diri dan ujian supaya mendapat pahala. Siapa yang tidak merasakan ujian atau musibah, maka dia tidak mengetahui tahap nilai dirinya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami adanya orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita keadaan kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Pernah suatu hari, Saad bin Abi Waqash berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah yang paling berat cubaannya? Rasul menjawab: Para nabi, kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya; jika agamanya bagus di dalam lubuk hatinya, maka dia akan menjadi orang yang berat ujiannya, dan jika dalam agamanya agak tipis, maka sesuai dengan itu pula ujiannya. Begitulah ujian hidup, ia akan terus bersama seorang hamba, sehingga ketika ujian itu pergi meninggalkannya, maka dia bebas berjalan di muka bumi ini tanpa ada kesalahan lagi.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Sementara itu, Anas meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah berfirman: “Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua benda yang paling dia sayangi, lalu dia bersabar menghadapinya, maka Aku akan menggantikan keduanya dengan syurga. Yang dimaksudkan dua benda itu adalah kedua matanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jelaslah Allah menimpakan musibah kepada seseorang anak Adam itu ada hikmah dan ujian-Nya. Justeru itu sesiapa yang ditimpa musibah hendaklah sabar menghadapinya.

Firman Allah yang bermaksud: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang sabar dengan memberikan pahala lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 96)

Oleh itu, apabila berhadapan ujian, jangan buruk sangka sebaliknya hadapinya dengan reda serta keyakinan bahawa selepas kesusahan itu akan ada kemudahan menanti.

Monday, May 18, 2009

->SUKA SALAHKAN ALLAH BILA KECEWA

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

1. Seorang wanita berusia 50’an datang menemui saya, mengadu hal. Beliau telah bercerai sebanyak dua kali (dua suami berbeza). Beliau merintih; “Ustaz! Kenapa Allah buat saya macam ni? Saya dah kahwin dua kali, dan kedua-dua suami saya menceraikan saya! Apa salah saya? Saya solat, tutup aurat, ikut hukum hakam agama. Kenapa Allah tidak memberikan kebahagiaan kepada saya? Sedangkan jiran sebelah rumah saya tak ikut agama pun, suami pakai seluar pendek, isteri pun pakai seluar pendek kat luar rumah, tapi mereka bahagia, kenapa saya yang ikut agama dan suruhan Tuhan ini tidak bahagia?

2. Seorang wanita profesional berusia lingkungan 40’an, berpendapatan puluhan ribu sebulan dan sering pulang lewat malam kerana tugas. Saya mengenalinya sejak dahulu, bertudung, memakai baju kurung dan sopan. Tetapi segala-galanya berubah apabila suatu ketika, seusai tugas lazimnya, pulang ke rumah, melepaskan penat dan ingin berehat, lantas mengambil vcd untuk menonton filem, tetapi “gambar” yang keluar bukanlah lakonan biasa seorang pelakon tetapi “lakonan” sebenar antara suaminya dan “bibiknya”. Tidaklah saya ketahui adakah suaminya tersilap letak vcd tersebut atau sengaja berbuat demikian supaya si isteri melihatnya, tetapi apa yang berlaku ialah perceraian di antara keduanya, yang menyaksikan si isteri “memberontak” terhadap agama dan Tuhannya. Kini, rambutnya menjadi tatapan umum, badannya ditutupi dengan baju dan seluar sendat, tiada lagi ketakutan kepada dosa dan noda.

3. Seorang gadis manis lagi manja, sejak kecil menjadi kesayangan keluarga lantaran sifatnya yang lembut dan beragama, keluarganya begitu berbangga dengannya. Tidak pernah terpisah dengan tudung labuhnya, mini jubahnya sering menjadi pilihan, seorang peminat usrah dan program agama, sepanjang hidupnya tidak pernah diketahui akan perkara yang tidak elok tentang peribadinya. Kemudian, datanglah ujian Allah terhadap dirinya, satu demi satu gagal dalam cubaan melepasi tuntutan akademik sedangkan beliau seorang yang pintar. Kini, melihat agama sebagai sesuatu yang negative, berasa bosan menjadi “orang baik” dan seolah-olah merasakan Tuhan tidak adil! Di mana tudung kepala? Di mana jubah mini? Sudah dibuang jauh-jauh. Orang lain semua salah, the whole world she blamed, diri sendiri tak pernah salah.

4. Seorang isteri yang layak dipanggil ustazah lantaran pakaiannya, walaupun sebenarnya beliau bukanlah ustazah. Semua orang yang mengenalinya menghormatinya kerana akhlaq dan budi bahasanya. Namun, semuanya sementara. Apabila berlaku perceraian, beliau kini adalah seorang wanita yang amat berbeza. Rambutnya kini dijalin lagak seperti wanita Afrika, pakaiannya semua ketat dari atas sampai ke bawah ditambah dengan “push-up”. Lupa segala-galanya.

5. Itulah contoh kehidupan manusia yang keliru dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Menganggap Allah tidak sayang kepada dirinya apabila mereka diuji. Menuduh Allah tidak adil kerana menyusahkan kehidupannya. Bagi mereka, Allah Ta’ala adalah adil apabila memberi rezeki dan nikmat justeru kesolehan mereka. Tetapi Allah dianggap zalim apabila mereka patuh kepada Allah tetapi Allah memberi kesusahan kepada mereka.

6. Inilah manusia yang lupa kepada sejarah nabi dan rasul, suka duka ulama dan orang soleh yang berhadapan dengan ujian Allah. Allah SWT memerintahkan peperangan terhadap kuffar tetapi kenapa Allah mengizinkan kemenangan kepada kuffar dalam Perang Uhud? Pelik bukan? Allah memerintahkan para rasul-Nya menyampaikan risalah-Nya, tetapi kenapa Allah mengizinkan kekuatan musuh menentang nabi-Nya? Jika benar Allah tidak redha kepada Firaun, kenapa pula Allah SWT memberi kuasa pemerintahan kepadanya? Jika betul Qarun adalah musuh Allah, kenapa pula kekayaan diberikan kepadanya?

7. Bukankah sepatutnya Allah memberi kekayaan kepada hamba-Nya yang soleh? Tidakkah selayaknya Allah memberi kuasa pemerintahan hanya kepada manusia yang diredhai-Nya sahaja? Kenapa Allah tidak memberi kemenangan kepada Muhammad SAW dalam semua peperangan supaya tidak ada lagi kafir di muka bumi? Bukankah Allah benci kepada kaum yang kafir?

8. Inilah akibatnya yang berlaku apabila manusia membiarkan aqalnya menjadi bodoh dan tidak mahu menggunakan kecerdikan aqalnya. Anda suka perbincangan ini? Nantikan selanjutnya “jawapan” daripada Allah dan Rasul!

Sekian.
Ahmad Jailani Abdul Ghani
17/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Saturday, May 16, 2009

->Berselawat suatu amalan sunat.

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Kita umat Islam disuruh untuk berselawat. Perbanyakkanlah berselawat pada hari Jumaat serta hari-hari lain. Tidak kira apa-apa saja yang kita lakukan boleh berselawat dan mendapat banyak kelebihan ganjaran pahala.

Tetapi janganlah sampai tidak berselawat pula menjadi HARAM. Kebetulan saya didatangi seorang hamba Allah menanyakan soalan. Di mana dia mendapat soalan ini dari seorang sahabatnya.

Soalannya: Adakah menjadi haram kalau tidak berselawat? Jawab saya, Tidak! Kenapa harus jadi haram kalau kita tidak berselawat. Ia adalah suatu perbuatan sunat. Kalau buat dapat pahala kalau tak buat tak dapat pahala.

Tambahnya lagi, ketika membasuh sisa-sisa darah yang tersisa pada urat atau otot ayam atau ikan yang diberi dari pasar atau supermarket, wajibkah kita berselawat? Saya jawab, tidak wajib! Tidak satu dalil yang perlu wajib kita berselawat ketika membasuh ayam. Kalau tidak berselawat, ayam itu tetap halal dan boleh dimakan.

Allah berfirman...

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.

Surah Al-Maidah 3

Begitulah firman Allah mengenai perbatasan makanan yang diharamkan makan oleh kita orang Islam. Tidak pula dinyatakan makanan itu haram dimakan jikalau tidak diselawat dengan selawat Nabi SAW.

Tidak juga dijumpai dalil-dalil dalam hadis yang mengatakan ianya wajib berselawat ketika membasuh atau menyucikan darah binatang seperti ayam atau ikan.

Yang hanya ada disebut oleh Nabi SAW ialah seperti di bawah ini:

Dari Salman Al-Farisi, bahawa Rasulullah pernah ditanyakan mengenai samin, keju dan bulu, beliau lalu bersabda:

“Yang halal adalah apa-apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya. Dan yang haram adalah apa-apa yang diharamkan Allah di dalam kitab-Nya. Dan apa-apa yang tidak disebut, adalah termasuk barang yang dimaafkan daripadanya bagi kamu”.

HR Ibnu Majah dan At Tirmizi

Jelas sekali sabda Rasulullah SAW, makanan yang halal dan haram telah dinyatakan di dalam kitab Al-Quran. Tidak pula dinyatakan haramnya memakan makanan yang tidak diselawat dengan selawat Nabi SAW.

Malangnya, ada sesetengah kita orang Islam yang cetek ilmunya suka mempercayai sesuatu amalan secara membabi buta tanpa menyiasat kesahihan terlebih dahulu.

Benarkah, dalam syarak, kita orang Islam wajib berselawat ketika menyucikan darah yang masih tinggal pada binatang yang telah mati sembelih atau kita beli dari pasar?

Sebagai contoh, kalaulah kita pergi ke pasar membeli ayam se-ekor bawa balik dan basuh. Semasa sedang membasuh ayam untuk membuang sisa-sisa darah yang tertinggal, kita wajib berselawat jika tidak ia haram dimakan.

Apakah ini suatu amalan sahih dari sunnah Rasulullah SAW? Jika ya, apakah dalil-dalil yang diyakini oleh kita! Ingat! Sesuatu amalan atau kepercayaan yang tidak disebut di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab Sunnah, maka ia dipanggil bidaah.

" Daripada Ummul Mukminin, Ummi Abdullah Aisyah r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : ' Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak“.

HR Al-Bukhari dan Muslim.

Oleh yang demikian, saya menyeru orang itu mengemukakan dalil untuk dakwaan di atas. Sekiranya gagal, maka berhentilah mengamalkan amalan bidaah seperti itu dan kembali bertaubat.

wallahu a'lam

Friday, May 15, 2009

->Tanda-Tanda Akhir Zaman.

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Hadis dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara tanda-tanda hampir Kiamat ialah terhapusnya ilmu Islam, munculnya kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan dilakukan secara terang-terangan.

Hakikatnya manusia pada hari ini tidak lagi mencintai ilmu Islam. Mereka sangat malas untuk mempelajari dan mendalaminya. Setengah pihak menghalang orang lain dari mempelajarinya. Mesjid dan surau dirampas untuk memastikan agenda mereka berhasil. Kerja-kerja ini menyebabkan terhapusnya ilmu-ilmu Islam dan munculnya kejahilan seperti hadits diatas.Kesan dari itu amalan Islam hilang dalam masyarakat tersebut. Maka berlakulah zina secara tetrang dan banyaknya peminum arak. Paling ditakuti kejahilan ini menyebabkan mereka memilih pemimpin yang jahil juga.

Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah s.w.t mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula .

Thursday, May 14, 2009

->Menjauhkan Duri Di Jalan

Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus
Monday, 13 April 2009

Dalam peluang kali ini, saya ingin berkongsi tiga kisah benar berkenaan orang yang berbuat baik. Perbuatan baik tersebut dilakukan bukan kerana mengharapkan imbalan, bukan kerana ejen jualan sekian-sekian produk dan bukan untuk mendapat nama. Ia semata-mata atas dasar berbuat baik.

Kisah pertama berlaku ketika saya ingin membeli tiket memakir kenderaan. Mesin tiket itu beroperasi tanpa pengendali di mana kita sendiri yang memasukkan syiling, menaip nombor kenderaan dan mengambil tiket yang keluar untuk diletakkan di cermin depan kereta. Cara seperti ini merupakan kelaziman di bandar-bandar besar, khasnya Lembah Klang.

Mengorek-ngorek kocek saya, tiada duit syiling yang ditemui. Sambil memandang-mandang ke kedai-kedai berhampiran, hati saya mengeluh: “Ahh! Susah juga nak tukar duit seringgit kepada syiling kerana kebanyakan kedaipun kekurangan duit syiling.” Tiba-tiba datang seorang budak berumur belasan tahun yang memakai seluar pendek dan t-shirt Pagoda: “Takde syiling ke?”

“Hmm..ya, takde syiling” jawab saya penuh waspada. Entah siapa pula yang datang ni. “Tak apa saya ada syiling lebih, kita tukar dengan duit seringgit OK?” “OK”, jawab saya ringkas, masih berwaspada sambil mengamati budak itu dari atas ke bawah, bawah ke atas. Budak itu mengambil sebuah kotak mancis dari kocek seluarnya dan dikeluarkan beberapa syiling yang mencukupi jumlah satu ringgit. “Terima kasih” saya ucapkan setelah berlaku pertukaran antara kami. “Sama-sama” jawabnya sambil terus berjalan.

Saya mesih tercegat di situ. Pertama kali saya berjumpa orang yang menjadikan kotak mancis sebagai dompet menyimpan duit syiling. Namun di sebalik itu, hatinya tetap mulia untuk membantu saya yang tidak dikenalinya. Alhamdulillah.

Jalan berhampiran kawasan sekolah pada lewat petang Jumaat itu dipenuhi kereta yang bergerak perlahan-lahan, bersesak-sesak. Sama ada bekerja keras atau lembut, masing-masing pemandu hanya fokus kepada ingin pulang ke rumah setelah seharian di pejabat. Nun jauh di hadapan kelihatan seorang anak murid berbaju melayu yang ingin melintas jalan. Dengan beg sandang yang kelihatan lebih berat berbanding dirinya, jelas kelihatan kehampaan pada raut wajah. Sudah agak tentu dia menunggu lama di situ tanpa dapat melintas jalan.

Tiba-tiba sebuah kereta di hadapan berhenti mengejut sehingga menyebabkan kereta-kereta di belakang juga berhenti. Terus timbul pertanyaan: “Ada insiden kereta mencium kereta ke?” Ternyata tidak. Pemandu kereta yang berhenti itu keluar dari kenderaannya, terus mengambil tangan anak murid yang ingin melintas dan memimpinnya melintasi jalan. Kemudian dia mengangkat tangan umpama polis trafik kepada lalulintas yang bertentangan arah, menyuruh mereka berhenti lalu memimpin tangan anak murid itu sehinggalah sampai ke seberang jalan. Akhirnya dia melintas kembali, memasuki kereta yang masih terbuka pintunya dan meneruskan pemanduan.

Kereta yang sekali sekala terasa terapung-apung di atas air menyebabkan kedua-dua tangan saya memegang stering dengan kejap. Iklim hujan lebat di lebuhraya menuju ke KLIA menyebabkan jalan dinaiki air sekadar seinci dua. Cara terbaik untuk memandu dalam suasana terapung-apung ini ialah kejap memegang stering agar kereta terus ke hadapan. Jangan diubah arah stering kerana perubahan yang sedikit akan menyebabkan kereta berputar seperti gasing.

Dalam kesamaran hujan lebat, ternampak sebuah kereta di hadapan yang mula mengelongsor ke kiri ke kanan umpama seekor ular, lalu akhirnya berpusing dua pusingan dan tersadai di tepi jalan. “Kereta nampaknya OK, tetapi bagaimana dengan penghuninya?” bisik hati saya kecemasan. Akan tetapi dalam pakaian seragam yang sudah bersiap sedia untuk memulai penerbangan, bagaimana hendak saya bantu? Kerisauan saya terubat apabila melihat sebuah kereta lain berhenti di tepi jalan. Dengan menggunakan payung, pemandunya berlari-lari anak untuk melihat keadaan penghuni kereta yang terbabas itu. “Alhamdulillah, ada insan yang sudi membantu sekalipun dalam keadaan cuaca seperti ini” lintas hati saya kelegaan.

Demikianlah tiga kisah benar berkenaan insan yang berbuat baik sesama insan yang sememangnya ditekankan oleh Islam. Bahkan dinyatakan dalam sebuah hadis yang sahih bahawa iman terdiri daripada tujuh puluh bahagian dan salah satu daripadanya ialah menjauhkan duri dari jalan yang merupakan lalu lintas orang ramai. Pengajaran yang ingin disampaikan oleh hadis ini bukan sekadar menjauhkan duri tetapi ciri orang beriman yang lazim berbuat baik kepada insan, haiwan dan alam.

Semoga tiga kisah di atas menjadi pemangkin dan motivasi kepada diri saya dan para pembaca sekalian untuk berlumba-lumba berbuat kebaikan. Lakukannya kerana kita orang Islam, di mana berbuat baik merupakan salah satu ciri keimanan kita. Oh-ya! Saya terlupa untuk menerangkan, bahawa insan yang berbuat baik dalam kisah pertama dan kedua berbangsa Cina manakala dalam kisah ketiga berbangsa Punjabi.

Wednesday, May 13, 2009

->BEER HALAL

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
13/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Nampaknya heboh sehari dua ini tentang BIR HALAL atau tanpa alcohol yang dikaitkan dengan minuman malt tanpa alcohol berjenama ISTAK oleh Malaysian Iranian Corp. Sdn Bhd (MICSB). Pelbagai pandangan diberikan tentang isu ini. Kebanyakannya tak suka istilah BIR HALAL.

Berdasarkan website Answers.com, perkataan “beer” diberikan definisi berikut:-

a) A fermented alcoholic beverage brewed from malt and flavored with hops.
b) A fermented beverage brewed by traditional methods that is then dealcoholized so that the finished product contains no more than 0.5 percent alcohol.
c) A carbonated beverage produced by a method in which the fermentation process is either circumvented or altered, resulting in a finished product having an alcohol content of no more than 0.01 percent.

Jika berdasarkan takrif di atas, bermakna “bir” tetap mempunyai alcohol sekurang-kurangnya 0.01 peratus. Adakah ia tetap haram? Bagaimana pula “Root Beer” yang dijual oleh A&W? Ramai di kalangan kita yang meminumnya dan yakin sekian lama sebagai “halal”.

Berdasarkan laporan Gufnews.com bertarikh 13 April 2008, menunjukkan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi mengharuskan minuman yang mempunyai alkohol dengan kuantiti kecil yang tidak memabukkan. Namun, sebagaimana biasa, ia tetap mengundang kontroversi di kalangan ulama di Qatar.

Al-Qaradawi mengatakan bahawa minuman yang mempunyai alcohol sebanyak 5/1000 or 0.5% adalah dibenarkan dalam Islam. Beliau yang juga Pengerusi “International Organisation of Islamic Jurists” mengatakan bahawa ia dibenarkan kerana kuantiti alcohol yang kecil itu tidak menyebabkan mabuk. Tetapi bagi Al-Qaradawi, syaratnya ialah alcohol tersebut terhasil secara semula jadi (natural fermentation or anaerobic conversion). Ini kerana, jumlah alcohol sebanyak 5/1000 atau 0.5% di dalam minuman, adalah terlalu kecil dan tidak signifikan untuk menjadikan minuman itu haram, apatah lagi jika ia (alcohol) itu dihasilkan secara semula jadi dan tidak melalui proses campuran pembuatan oleh kilang atau seumpamanya.

Fatwa tersebut telah dikeluarkan oleh Al-Qaradawi berikutan banyaknya pertanyaan daripada masyarakat tentang perlambakan minuman tenaga dan makanan yang mengandungi alcohol dalam kuantiti yang kecil di pasaran.

Walaupun saya cenderung kepada fatwa Al-Qaradawi tetapi saya tahu ia tetap kontroversi sebagaimana fatwa-fatwa beliau yang lain.

Biasalah masyarakat kita, terlalu sibuk dengan isu minuman atau makanan beralkohol (mungkin kerana kesedaran beragama atau lebih kepada adat?), tetapi bila kita maklumkan kepada mereka bahawa “tapai” (orang Kelantan suka makan) pun ada alcohol (ethanol) mulut mereka pun ternganga… Hmmm.

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani
13/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Tuesday, May 12, 2009

->KERANA POLITIK, JASAD NABI LAMBAT DIKEBUMIKAN

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
08/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

1. Apabila menonton dan membaca berita berkenaan dengan politik Perak, saya berasa amat dukacita. Saya juga percaya semua rakyat jelata, sama ada penyokong di pihak pertama atau di pihak kedua, atau “atas pagar”, juga berdukacita. Tidak tahulah saya, jika ada yang bergembira dengan suasana tegang seperti itu. Pihak pasukan keselamatan terutamanya PDRM, terpaksa dikerah, untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Sudah tentulah, banyak kerja lain yang terpaksa ditinggalkan sementara dek tumpuan yang perlu diberikan kepada krisis politik dan perlembagaan di Perak.

2. Sebenarnya, apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa politik adalah suatu bidang yang tersangat penting dalam kehidupan manusia. Sudah tentu, kedua-dua pihak, sanggup bermati-matian sedemikian rupa, kerana ingin berbakti kepada rakyat, berkhidmat untuk rakyat, berkorban untuk rakyat, tak sanggup melihat nasib rakyat diabaikan, justeru itu mereka sanggup susah begitu sekali, sehingga menyusahkan Raja Nazrin, demi rakyat tercinta!!

3. Imam Bukhari merekodkan dalam sahih beliau hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu sangat berkehendak kepada jawatan kepimpinan, (sedangkan) ia akan menjadi penyesalan pada hari Qiamat, ia adalah nikmat pada peringkat permulaannya, namun buruk pada peringkat akhirnya”.

4. Dalam hadith muttafaq ‘alaih sebagaimana riwayat Abu Musa juga disebut tentang dua orang lelaki yang meminta jawatan amir (ketua) daripada Rasulullah SAW, lalu dijawab oleh baginda yang bermaksud “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam perkara ini (perlantikan ketua) sesiapa yang memintanya dan sesiapa yang bercita-cita untuk mendapatkannya.

5. Apabila Nabi SAW wafat pada pagi Isnin, 12 Rabi’u Awwal, tahun 11 Hijrah, Sheikh Safi Al-Rahman Al-Mubarakfuri melaporkan dalam kitabnya yang terkenal “Al-Rahiq Al-Makhtum”, pertikaian meletus di kalangan para sahabat Nabi yang diredhai oleh Allah itu tentang siapakah yang sepatutnya menjawat jawatan khalifah. Sedangkan pada masa itu, jasad baginda yang mulia, belum lagi disiapkan untuk proses pengebumian.

6. Perbahasan dan dialog yang bertempat di Thaqifah (portico) Bani Sa’idah itu berterusan sepanjang hari Isnin yang penuh dengan kesedihan itu sehingga menjelang malam. Ia melibatkan umat Islam di antara kaum Ansar dan Muhajirin. Perbahasan tersebut berlanjutan hingga hampir subuh hari Selasa, sedangkan jasad Nabi SAW yang mulia itu masih dikunci di dalam bilik!

7. Apabila keputusan dicapai, Abu Bakar r.a. dilantik sebagai khalifah, barulah jasad Nabi SAW dimandikan pada hari Selasa oleh Al-Abbas, Ali, Al-Fadl dan Qathm. Al-Fadl dan Qathm adalah anak Al-Abbas. Turut terlibat ialah Shaqran (hamba yang telah dimerdekakan oleh Nabi SAW), Usamah bin Zaid dan Aus bin Khauli. Selesai dimandikan, umat Islam memasuki bilik yang terdapat jasad Nabi SAW dengan bilangan 10 orang pada satu masa silih berganti sehingga habis waktu siang hari Selasa. Berdasarkan riwayat Aisyah, jasad Nabi SAW hanya disemadikan pada hari Selasa malam Rabu.

8. Kelewatan proses persemadian jasad baginda yang mulia ini selama hampir mencecah dua hari menjadi bukti bagaimana pentingnya politik di sisi sahabat Nabi SAW. Sudah tentu mereka lebih tahu bagaimana cara menghormati Nabi SAW termasuk mesti menyegerakan proses pengkebumian, tetapi politik juga sangat penting!!

9. Harapan saya, agar janganlah berulang sejarah hitam Perang Unta (Waq’atul Jamal) dan Perang Siffin yang melibatkan kedua-dua pihak adalah sahabat-sahabat Nabi yang mulia, ENOUGH IS ENOUGH!!

Sekian,

Ahmad Jailani Abdul Ghani
08/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

->TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARI, THA’LABAH DAN ABDUL RAHMAN BIN AUF

Oleh,
Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Beberapa hari yang lalu, saya menghadiri kes rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Star. Berhenti solat kesekian kalinya di Masjid Al-Bukhari. Melihatkan kepada masjid tersebut dan kompleks membeli belah di sebelahnya yang dikenali sebagai Souq Al Bukhari, menyebabkan saya kagum kepada tokoh saudagar yang berkaitan iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Ingatan saya kembali kepada dongengan yang dikaitkan dengan agama berkisar kepada dua tokoh hartawan dan businessman zaman Nabi SAW iaitu, Abdul Rahman Bin ‘Auf dan Tha’labah.

Alangkah peliknya dengan sikap Pak Lebai & Tokguru Kampung yang suka menyelitkan cerita dalam kuliah-kuliah mereka di masjid dan surau bagaimana nasib “malang” yang menimpa orang yang banyak harta dan perniagaan yang besar sehingga nama-nama sahabat Nabi r.a. itu dikatakan paling akhir memasuki syurga atau memasukinya dalam keadaan merangkak lantaran terlalu banyak harta mereka.

Pada masa itu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu. Sifat yang ada pada saya sebagai pelajar aliran sains di sekolah berasrama penuh kerajaan (sifat ini juga terdapat pada pelajar lain tentunya) ialah “critical thinking” dan sentiasa menghendaki “facts and figures”. Apa yang bermain dalam kepala saya ialah kenapa sahabat nabi tersebut masuk syurga dalam keadaan merangkak? Walaupun saya tidak bertanya kepada “ustaz” terbabit tetapi dia menyatakan kerana hartanya terlalu banyak, jadi, mengambil masa yang panjang untuk dibicarakan, maka dia lambat masuk syurga!!

Yang menjadi persoalan dalam kepala saya ialah kenapa pula bila seseorang yang mempunyai harta yang banyak akan lambat masuk syurga? Adakah Allah SWT akan mengira dan menghitung semua amalan dan harta dengan menggunakan “calculator”? Apakah Allah SWT begitu lemah sehingga “terpaksa” mengambil masa yang lama untuk mengira semua harta Tha’labah atau Abdul Rahman Bin ‘Auf sehingga menyebabkan mereka berdua paling lambat masuk syurga? SubhanAllah! Maha Suci Allah! Tidakkah pak lebai kampung yang terlibat tahu bahawa mereka sebenarnya telah menghina Allah sama ada disedari atau tidak!

Sebahagian golongan agamawan juga mengaitkan Tha’labah dengan ayat 74 Surah Al-Taubah:-

يَحْلِفُونَ بِاللّهِ مَا قَالُواْ وَلَقَدْ قَالُواْ كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُواْ بَعْدَ إِسْلاَمِهِمْ وَهَمُّواْ بِمَا لَمْ يَنَالُواْ وَمَا نَقَمُواْ إِلاَّ أَنْ أَغْنَاهُمُ اللّهُ وَرَسُولُهُ مِن فَضْلِهِ فَإِن يَتُوبُواْ يَكُ خَيْرًا لَّهُمْ وَإِن يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَا لَهُمْ فِي الأَرْضِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

Maksudnya: Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong

Tetapi Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid menyatakan bahawa riwayat tersebut yang mengaitkan Tha’labah dengan golongan munafiq dalam ayat tersebut adalah lemah. Al-Hafiz Ibnu Hajar dan ramai lagi sarjana Islam yang lain mengatakan bahawa Tha’labah ibn Haatib adalah seorang Ansar yang turut terlibat dalam Peperangan Badar (golongan yang diampunkan dan dijamin syurga oleh Allah) dan dia telah terbunuh syahid dalam Peperangan Uhud. Maka tentunya, darjatnya adalah sangat mulia di sisi Allah SWT.

Tambahan pula, Ahli Jawatankuasa Fatwa Al-Lajnah Al-Daa’imah lil-Buhuth Al-‘Ilmiyyah wal-Iftaa’ (26/49) yang dianggotai oleh Sheikh Abdul Aziz ibn ‘Abdullah Aal Al-Sheikh, Sheikh Abdullah ibn Ghadyaan, Sheikh Saleh Al-Fauzan dan Sheikh Bakar Abu Zaid telah memetik kata-kata Sheikh Ibn ‘Uthaimin bahawa riwayat-riwayat yang dibawa oleh ramai pentafsir Al-Quran dan turut disebarkan oleh para pendakwah berkenaan dengan cerita tersebut adalah berstatus lemah dan tidak kuat. Sepatutnya setiap orang Islam mengetahui perkara ini kerana tiada sebarang alasan untuk tidak mengetahuinya.

Begitu juga dengan Abdul Rahman Bin ‘Auf. Sheikh Yusuf Al-Qardawi menyebut tentang kelebihan beliau. Beliau adalah salah seorang daripada enam orang jawatankuasa perlantikan Khalifah bagi mencari pengganti kepada Khalifah Umar yang ditikam. Namanya disebut oleh Umar. Malah apabila, enam orang itu tidak dapat mencapai keputusan tentang siapakah pengganti Umar maka, undi daripada Abdul Rahman Bin ‘Auf menjadi penentu sehingga menyebabkan Uthman Bin ‘Affan terlantik sebagai khalifah.

Maka, harapan saya, janganlah kita menyebarkan cerita yang akan menyebabkan orang Islam tidak bersemangat untuk menjadi kaya!

Sekian,

Ahmad Jailani Abdul Ghani
07/05/2009
www.ustjai.wordpress.com

Sunday, May 10, 2009

->Jalan-jalan di Sg Petani

Kunjungan yang membawa seribu kenangan manis.





Saturday, May 9, 2009

->Berhati-hati dalam membuat tuduhan

Ditulis Oleh AHMAD BAEI JAAFAR

Pada hari ini kesalahan qazaf sering berlaku dalam kalangan umat Islam secara tidak sedar. Namun oleh kerana kejahilan umat Islam dan tidak ada undang-undang yang boleh menghukum mereka, kesalahan itu terus berlaku sekalus meningkatkan dosa setiap hari.

Sebenarnya suami yang tidak mahu mengiktiraf anak yang dilahirkan oleh isterinya hanya kerana pernah melihat isteri keluar dengan lelaki lain adalah termasuk dalam qazaf. Hal ini kerana suami itu seolah-olah telah menuduh isterinya berzina dengan lelaki tersebut.

Terdapat beberapa kes yang kita dengar tentang pasangan suami isteri yang sekian lama mengharapkan kelahiran anak sulung. Setelah sekian lama menunggu, akhirnya mereka dikurniakan anak. Tetapi setelah anaknya membesar dilihat wajahnya tidak sama dengannya, maka si ayah anak itu memandang serong kepada isterinya.

Ada juga kes yang suami menghantar SMS kepada isterinya dengan melafazkan cerai kerana dikatakan isterinya telah curang. Kes seumpama ini sudah banyak kali kita dengar dan sesetengahnya telah menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah. Sungguh memalukan.

Berdasarkan contoh kes di atas ternyata kesalahan qazaf yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya atas kejahilan. Oleh sebab itu, kes itu tidak pernah didakwa di mahkamah dan tidak pernah diadukan oleh isteri. Kalau adapun kes, tetapi dendanya amat rendah dan tidak langsung menginsafkan.

Menurut Seksyen 41 Akta Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan, kesalahan Qazaf hanya didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Sebenarnya dalam perundangan Islam, qazab ialah membuat tuduhan terhadap perempuan yang baik bahawa dia melakukan zina. Mereka yang membuat tuduhan ini boleh dihukum sebat sebanyak 80 rotan.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq.

“Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar” (Surah an-Nur: 4 – 6).

Berdasarkan kes suami yang tidak mahu mengiktiraf anak yang dikandung dan dilahirkan oleh isterinya, hakikat dia telah menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain. Si suami ini walaupun secara jelas tidak menuduh isteri tetapi dengan tidak mengakui anaknya adalah satu tuduhan bahawa isterinya berzina. Kalau tidak, bagaimana isterinya boleh mengandung anak itu?

Menurut firman di atas, suami itu wajib bersumpah sebanyak empat kali di hadapan hakim. Jika dia sanggup bersumpah, maka mahkamah boleh menerima pertuduhan itu sebagai benar.

Sebaliknya, jika dia enggan bersumpah, dia boleh dianggap membuat tuduhan palsu dan boleh dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 80 rotan. Demikian hukum hudud yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Bagaimanapun undang-undang seperti itu belum dilaksanakan di negara ini sehingga setakat ini. Namun dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 menyediakan peruntukan Qazab seperti berikut:

Seksyen 36. “Kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syara’; empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya.”

Islam sangat berhati-hati dalam melaksanakan undang-undang ini kerana dalam Islam seseorang wanita yang belum berkahwin juga boleh mengandung tanpa perzinaan atau perogolan. Jadi, orang lelaki terutama suami tidak boleh cepat menuduh seseorang wanita itu berzina hanya semata-mata kerana dia mengandung.

Oleh sebab itu suami tidak seharusnya rasa curiga dengan isterinya, sebaliknya memberi didikan iman terhadap mereka. Sikap menuduh isteri curang hanya kerana isteri berbual dengan seorang lelaki adalah tidak adil.

Ketahuilah suami yang baik akan dikurniakan perempuan yang baik juga, oleh sebab itu peliharalah amanah Allah S.W.T. itu dengan sebaik-baiknya. Takutilah laknat Allah S.W.T. seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar,”(Surah an-Nur: 23).

Ambillah peluang bersama isteri untuk membawanya ke arah kebahagian di dunia dan akhirat. Didiklah isteri dengan iman dan amal agar dia takut kepada Allah dan taat kepada suami.

Menyentuh soal qazaf, suka dijelaskan di sini bahawa tuduhan lazimnya datang dari pihak lain yang meragui akan seseorang lalu mendakwanya. Seperti dalam kes di atas, suami menuduh isteri curang atau isteri menuduh suami berzina dengan jirannya, sebagai contoh.

Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu pihak mangsa juga boleh mengaku dan mendakwa seseorang itu telah meliwat atau merogolnya. Namun pihak yang mendakwa perlu memahami risiko tindakannya kerana dia boleh disabitkan sebagai qazaf jika tidak boleh mendatangkan empat orang saksi atau bersumpah sebanyak empat kali.

Tersebut dalam sebuah hadis bahawa seorang wanita datang menghadap Rasulullah dan mengaku dia telah berzina. Dalam kes ini dia tidak mendakwa mana-mana lelaki yang berzina denganya. Dan Rasulullah sendiri tidak pula bertanya kepada wanita itu, siapa lelaki yang terlibat.

Di sini Rasulullah hanya menghukum wanita itu setelah anak yang dikandungnya itu sudah putus menyusu ibu. Sedangkan lelaki yang terlibat tidak dicatat dalam sejarah sama ada sudah dihukum atau tidak. Kenapa wanita itu tidak mahu membawa kes lelaki itu. Ternyata dia tidak mahu terlibat dengan kesalahan qazaf.

Alangkah cantiknya dunia ini kalau umat Islam boleh kembali ke zaman Rasulullah, tiada kes jenayah yang dibesar-besarkan.

->Kisah Juraij dan Ibunya

Ditulis oleh HafizFirdaus

Satu masa lalu terdapat seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya datang pada saat dia sedang mendirikan solat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Pada keesokan hari ibunya datang semula dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Pada keesokan hari ibunya datang semula (untuk kali ketiga) dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi. Lantas ibunya berdoa: “Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!”

Sejak saat itu kaum Bani Israil mula berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang berdandan cantik berkata: “Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya untuk kalian.” Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara Juraij, menyerahkan diri kepadanya sehingga pengembala itu menyetubuhinya.

Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa: “Ini adalah anak Juraij.” Maka orang ramai mendatangi Juraij, memaksanya keluar, menghancurkan biaranya dan memukulnya. Juraij bertanya: “Kenapakah kalian melakukan semua ini?” Mereka menjawab: “Engkau telah melacur dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak kamu!” Juraij bertanya: “Di manakah anak tersebut?”

Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata: “Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.” Maka Juraij bersolat. Setelah selesai, Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya, lalu bertanya: “Wahai bayi, siapakah ayah kamu?” Bayi itu menjawab: “Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”

Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata: “Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.” Juraij menjawab: “Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaimana asalnya.”

Demikian sebuah kisah benar yang berlaku kepada umat terdahulu yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya, hadis no: 2550. Tujuan saya mengemukakan hadis di atas bukan untuk menganjurkan ibadah di biara, kerana itu hanya khusus kepada syariat umat terdahulu dan bukan kepada kita, umat Muhammad. Bagi kita, keluar ke khalayak masyarakat untuk menyeru ke arah kebaikan dan menegah daripada kemungkaran adalah lebih utama. Tujuannya juga bukan untuk membicarakan fenomena bayi yang dapat bercakap ketika masih di buaian, ia adalah karamah yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih demi sesuatu maslahat yang dikehendaki-Nya.

Tujuan saya ialah bagi menerangkan bahawa antara solat dan ibu, ibu memiliki kepentingan yang lebih tinggi di dalam neraca Islam. Ini kerana berbuat baik kepada ibu – sekalipun sekadar menyahut panggilannya – adalah ibadah sebagaimana mendirikan solat adalah ibadah. Di antara dua ibadah ini, berbuat baik kepada ibu adalah lebih utama. Namun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu solat. Dia tetap solat, hanya waktu solatnya disesuaikan dengan kewajipan berbuat baik kepada ibu. Sebagai contoh dalam kes di atas, Juraij hanya perlu menyahut panggilan ibu dan memenuhi hajatnya, lalu setelah itu menyambung kembali solatnya.

Bagi menguatkan kedudukan ibu di dalam neraca Islam, berikut saya kemukakan sebuah lagi perbandingan. Sama-sama kita ketahui bahawa turun ke medan jihad bagi memerangi musuh dan menegakkan Islam adalah amalan yang utama lagi penting. Akan tetapi adakah ia lebih utama dan penting daripada berbuat baik kepada ibu?

Pada zaman Rasulullah s.a.w., seorang sahabat bernama Jahimah r.a. datang menemui baginda meminta pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” [Shahih Sunan al-Nasai, no: 3104]

Di samping kita memperhatikan kepentingan berbuat baik kepada ibu, tidaklah bermakna kita mengabaikan ayah. Islam tetap menekankan berbuat baik kepada ibu dan ayah. Hanya jika dibandingkan antara kedua-duanya, maka berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali lebih penting berbanding berbuat baik kepada ayah.

Dalam sebuah hadis yang saya yakin para pembaca sekalian pernah mendengarnya, seorang lelaki datang menemui Rasulullah dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.” [Shahih al-Bukhari, no: 5971]

Jika dikaji kesemua hadis-hadis di atas, akan didapati bahawa kepentingan berbuat baik kepada ibu berlaku sepanjang masa. Ia tidak terhad kepada hari tertentu sahaja. Maka pastikan dalam aktiviti harian, mingguan, bulanan dan tahunan, diselitkan agenda berbuat baik kepada ibu sekalipun sekadar menalifonnya, menghantar emel, pesanan ringkas atau surat.

->Doa Kepada Para Pemimpin

Ditulis oleh HafizFirdaus

Teringat saya kepada sebuah riwayat, apabila ditanya kepada seorang tokoh Ahlus Sunnah generasi awal: “Jika anda hanya memiliki satu pilihan berdoa, apakah yang akan anda doakan?” Beliau menjawab: “Saya akan mendoakan kebaikan kepada pemimpin.” Beliau ditanya lagi: “Kenapa?” Beliau menjawab: “Jika pemimpin itu baik, maka baiklah keadaan rakyat. Jika pemimpin itu rosak, maka rosaklah keadaan rakyat.” Demikianlah perbezaan antara Ahlus Sunnah dengan aliran lain. Aliran lain memberi fokus kepada menukar dan mengkritik pemimpin, Ahlus Sunnah memberi fokus kepada membantu pemimpin dalam ketaatan dan kebaikan, serta mendoakannya.

Ketika saya menulis artikel ini (28 Mac 2009), suasana kepimpinan negara sedang dalam fasa peralihan daripada Dato’ Seri Abdullah Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebagaimana tokoh Ahlus Sunnah di atas, saya berdoa agar pemimpin baru negara kita dapat memimpin dengan amanah dan adil mengikut neraca syarak. Saya berdoa agar beliau memiliki para penasihat yang berilmu lagi berani disamping kesudian mempertimbangkan apa yang mereka nasihatkan.

Menyebut tentang para penasihat, teringat saya kepada sebuah hadis riwayat al-Imam al-Nasa’e: “Sesungguhnya akan ada sesudah aku para pemimpin, sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka dan membantu kezaliman mereka maka dia bukan dari golongan aku dan aku bukan dari golongan dia serta dia tidak akan mendatangi aku (pada Hari Akhirat nanti) di Telaga Haudh. Dan sesiapa yang tidak membenarkan pendustaan mereka dan tidak membantu kezaliman mereka, maka dia dari golongan aku dan aku dari golongan dia serta dia akan mendatangi aku (pada Hari Akhirat nanti) di Telaga Haudh.”

Merenung kepada era kepimpinan Pak Lah, antara usaha beliau yang patut kita hargai ialah menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia patut kita sambut baik, mengingatkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi: “Rasulullah s.a.w. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” Kelihatannya SPRM memang bergerak aktif sehingga agak kerap kita membaca kes siasatan dan penangkapan dalam akhbar harian.

Namun di sebalik keaktifan tersebut, muncul bisikan yang mendakwa SPRM hanya menjadikan mangsa orang yang tidak sehaluan dengan Pak Lah. Bisikan seperti ini memang dapat dijangkakan dalam subjek politik. Jika SPRM tidak aktif, maka didakwa rasuah dibiarkan saja dalam kepimpinan. Sebaliknya jika SPRM bergerak aktif, maka didakwa ia tertuju kepada orang yang tidak sehaluan dengan pemimpin. Adapun kita Ahlus Sunnah, kita mendoakan agar SPRM terus aktif agar kadar rasuah dalam negara dapat disifarkan.

Kebetulan pada fasa peralihan ini juga, dunia sedang berusaha keras mempertahankan diri daripada ekonomi yang merudum. Di pelbagai negara maju, terbaca berita bagaimana pihak pemimpin menyuntik dana kewangan yang angkanya mencecah nilai bilion kepada institusi kewangan dan syarikat-syarikat besar. Suntikan ini, yang lebih dikenali sebagai bail out, mengingatkan saya kepada suasana negara kita kira-kira 10 tahun yang lepas.

Ketika itu pemimpin kita ialah Tun Dr. Mahathir Mohamed. Apabila suasana ekonomi negara merudum, beliau membuat keputusan untuk menyuntik dana kepada beberapa syarikat besar. Tindakan beliau mendapat kecaman hebat daripada para pengkritik luar dan dalam negara. Menarik untuk diperhatikan, negara luar yang mengkritik sepuluh tahun kemudian mengambil tindakan sama yang diambil oleh Tun Dr. Mahathir. Tidak ketinggalan, para pengkritik dalam negara sepuluh tahun kemudian masih dapat hidup selesa, setidak-tidaknya sederhana, dalam suasana ekonomi yang tetap stabil.

“Tetapi bukankah Dr. M anti Islam?” mungkin demikian yang terlintas di fikiran sebahagian pembaca. Saya berkata, orang yang mengkritik Islam tidak semestinya membenci Islam. Boleh jadi beliau mengkritik kerana menginginkan tajdid di dalam beragama di kalangan umat Islam. Boleh jadi yang mengkritik itu lebih tinggi penghayatan Islamnya daripada yang membalas kritikan.

Terhadap poin terakhir di atas, saya teringat ketika menghadiri program RTM1 di Angkasapuri, Kuala Lumpur, beberapa bulan yang lepas. Setelah program, saya bersembang-sembang dengan beberapa staf senior RTM. Apabila masuk bab kerjaya saya sebagai juruterbang, keluarlah cerita daripada salah seorang mereka: “Dulu bila ikut Dr. M dalam penerbangan untuk membuat laporan sempena lawatannya ke sesebuah negara, lazimnya hanya beliau seorang yang berjaga, sama ada membaca atau mencatat sesuatu. Ahli rombongan yang lain sekadar tidur atau berbual kosong. Kemudian apabila masuk waktu, beliau akan solat di celah-celah kerusi penumpang.”

Kembali kepada era kepimpinan Datuk Seri Najib, tentu banyak perkara yang kita harapkan daripada beliau. Bagi saya, yang paling saya harapkan ialah beliau dapat mempelopor langkah-langkah ke arah persatuan umat Islam bersama-sama pemimpin parti politik Islam yang lain. Suasana umat Islam yang berpecah kepada beberapa parti politik amatlah merugikan, bahkan bertentangan dengan dasar agama Islam itu sendiri. Amat menyedihkan apabila tokoh-tokoh Islam enggan berkompromi, sebaliknya hanya mementingkan kedudukan parti. Padahal Rasulullah s.a.w. sendiri telah berkompromi di hadapan kaum kafir Quraish dalam Perjanjian Hudaibiyah. Keputusan Rasulullah ini pada awalnya dianggap sebagai sikap mengalah, tetapi atas sikap mengalah inilah kejayaan diperolehi di masa kemudian.

Marilah kita berdoa agar para pemimpin kita dapat mengalah dan berkompromi demi kesatuan umat Islam.

Thursday, May 7, 2009

->Hutang, riba hukum-hakam pemodal

Ditulis oleh Hishamuddin Rais

Semua yang wujud dalam alam ini bergerak mengikut hukum alam. Manusia wujud melalui DNA. Bumi ini wujud kerana pertemuan, asakan dan pergumpalan pelbagai bentuk elemen kimia yang terpencar bersepah dalam udara hasil daripada Letupan Besar.

Seperti besi berani yang akan terus menghala medannya ke utara, begitu juga hukum hukum alam ini tidak berubah-ubah. Manusia yang memiliki akal akan mencari dan menemui hukum-hukum ini.

Penemuan hukum-hakam alam ini menjadikan asas kepada tamadun manusia. Hukum alam ini tidak akan beralih-alih. Hukum-hakam ini berkecuali, tidak memiliki nilai.

Nilai baik atau jahat lahir daripada akal manusia.

Madame Marie Curie menemui radium dan menemui cahaya X dalam uranium. Dia juga menemui hukum-hakam uranium. Ciri dan watak uranium tidak pernah berubah.

Apabila ditemui ciri dan hukum-hakam uranium, maka akal manusia jugalah yang cuba mengubah hukum-hakam ini sehingga melahirkan bom atom.

Kajian hukum-hakam algebra dan ilmu bintang oleh al-Khwarizmi di Baitul Hikmah, Baghdad di zaman Khalifah Al-Mamun berkembang hingga ke hari ini.

Hukum ilmu bintang ini berkecuali – hanya kuasa imperial Anglo-Amerika yang menggunakan hukum ini untuk kebejatan dengan meletakkan senjata di atas langit.

Kapitalisme juga bergerak mengikut hukum-hakam. Hukum pertama kapitalisme ialah: untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Hukum ini tidak akan beralih-alih.

Sama ada kapitalis ini Majusi, Yahudi, Nasrani atau Islam – hukum kapitalis tetap sama.

Kapitalisme juga bergerak melalui hutang. Sistem kapitalisme akan runtuh jika hutang dan riba tidak wujud. Kepala jahat yang melahirkan hutang dan riba ini ialah bank.

Justeru kita wajib memahami bagaimana bank mula bergerak untuk mendapat keuntungan maksimum.

Sebelum kemunculan bank – di zaman kapitalisma kaum pedagang - emas adalah tukaran. Justeru, jika kita menyemak Sejarah Melayu, kita akan terbaca ufti yang dibayar kepada Raja Siam berbentuk Bunga Emas.

Kita juga terbaca perkataan perak sebagai wang. Jika melawat musium, kita akan akan dapat melihat mata wang lama Alam Melayu – emas dan perak.

Para saudagar yang berniaga akan mengupah tukang emas untuk membuat kepingan emas dan perak ini sebagai tukaran membeli-belah.

Saudagar akan meninggalkan emas dan perak untuk disimpan ke dalam peti besi tuan kedai. Kepingan emas dan perak ini dijaga rapi. Sebagai tandanya, tuan kedai akan menulis di atas kertas jumlah emas yang tersimpan.

Kertas ini cukup berharga. Sesekali si saudagar akan datang melihat emasnya yang tersimpan.

Tuan kedai emas melihat bahawa surat yang ditulisnya telah diyakini umum. Keyakinan ini datang kerana tuan kedai bukan hanya menyimpan untuk seorang saudagar tetapi berbelas-belas.

Jika ada si saudagar atau sesiapa yang datang untuk melihat emasnya, tuan kedai akan memperlihatkan emas-emas kepunyaan saudagar yang lain. Keyakinan bertambah.

Dari sini hukum kapitalisme bergerak lagi. Contohnya, tuan kedai menyimpan 100 keping emas yang dimiliki saudagar Buluh Kasap. Jika disimpan, maka nilainya tidak bertambah.

Justeru tuan kedai telah menulis 200 keping kertas untuk Buluh Kasap. Ertinya, ada seratus keping kertas lebih daripada 100 keping emas. Lebihan kertas ni menjadikan modal saudagar Buluh Kasap bertambah satu kali ganda.

Kertas yang ditulis oleh tuan kedai ini diuar-uarkan sama dengan nilai emas yang tersimpan dalam peti besi tuan kedai - inilah asal-usul duit kertas atau bank note.

Daripada pengalamannya, tuan kedai tahu bahawa para saudagar ini tidak semuanya akan datang serentak untuk melihat emas simpanan masing-masing. Justeru, dia boleh memutarbelitkan jumlah kepingan emas yang disimpan.

Hukum keuntungan maksimum sistem kapitalis bergerak lagi. Kali ini tuan kedai bukan lagi mengeluarkan kertas kepada si penyimpan emas sahaja tetapi telah berani menjual kertas ini kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar untuk digunakan sebagai modal.

Kertas yang dijual ini pastilah telah melebihi daripada jumlah emas yang tersimpan. Perkara ini tidak diketahui umum kerana tuan kedai menyimpan emasnya secara rashia - konon untuk menjaga kestabilan suasana perniagaan.

Tuan kedai emas menjadi kaya dengan menjual kertas kosong yang tidak berasaskan emas. Justeru inilah asal-usul bank dalam sistem kapitalisme. Amat jelas bank bermula dengan pembohongan.

Pembohongan ini menjadi kukuh kerana adanya keyakinan daripada orang ramai. Mereka yakin kerana melihat ramai saudagar telah menyimpan emas dengan tuan kedai.

Tuan kedai emas ini juga dilihat hebat di kalangan masyarakat kerana memiliki rumah besar, isteri gemuk, makanan sedap, ada babu dan pengawal peribadi.

Tuan kedai emas ini akhirnya menjadi pemilik bank. Gejala ini berlaku 500 tahun dahulu. Jika kita membaca karya Shakespeare, kita akan bertemu dengan si Mamat yang bernama Shylock tuan peminjam wang di kota Venice.

Shylock ini watak pemilik bank 500 tahun dahulu. Hari ini watak, hukum-hakam dan ciri-ciri seorang pemilik bank tidak pernah berubah. Hutang wajib dibayar. Jika tidak, daging seketul wajib diagihkan.

Hari ini, 500 tahun kemudian, asas hukum perbankan tidak pernah berubah tetapi cara pengendalian lebih tersusun.

Umum selalu bertanya dari mana datangnya wang. Jawabnya: yang mencetak wang ialah bank. Caranya tidak jauh bezanya daripada amalan tuan kedai emas dahulu.

Contoh: Ada sebuah bank bernama Bank Buluh Kasap yang memiliki modal sebanyak 100 ringgit. Bank ini mendapat pelanggan 10 orang yang menyimpan 100 ringgit seorang.

Ertinya bank ini ada 1100 ringgit. Bank ini kemudian memberi pinjaman kepada 10 pelanggan baru. Setiap pelanggan dipinjamkan 200 ringgit. Lihat silap mata!

Dari 100 ringgit modal asal, kini menjadi 2100 ringgit.

Bank ini sebenarnya tidak memberikan pinjaman duit tetapi kredit. Tidak ada duit bertukar tangan - ini duit atas angin. Tuan punya bank seperti tuan kedai emas tahu bahawa tidak semua pelanggan akan datang serentak untuk mengeluarkan duit simpanan.

Bank memungut bunga dan riba – yang dipanggil untung. Duit bunga ini akan terus dipusingkan untuk dipinjamkan lagi. Ertinya duit dalam sistem ekonomi kapitalis lahir daripada hutang dan bunga.

Beginilah yang telah dilakukan oleh semua bank. Inilah caranya bagaimana duit muncul dalam pasaran. Sistem bank dalam ekonomi kapitalis bergerak mengikut hukum ini.

Dalam masa yang sama, si peminjam diminta memberi cagaran – amalan ini untuk menjamin keuntungan kepada bank. Jika si pelanggan gagal membayar hutang, maka cagaran akan terlupus.

Harus difahami bahawa bank membuat duit bukan melalui cagaran. Bank membuat duit dengan memberi orang berhutang. Cagaran hanya mainan silap mata untuk melahirkan keyakinan.

Katakan pada hari Rabu minggu hadapan, semua pelanggan Bank Buluh Kasap ingin mengeluarkan duit - maka tertonggeng dan terkangkang Bank Buluh Kasap!

Tidak ada duit sebenarnya dalam bank itu. Yang berpusing-pusing hanya kertas. Tertongeng dan terkangkang inilah yang sedang kita hadapi semenjak September 2008.

Bank Northern Rock di Scotland tertonggeng apabila semua penyimpan datang beratur untuk meminta wang simpanan mereka - permulaan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap bank.

Orang ramai tidak yakin bahawa duit mereka akan selamat. Apabila orang ramai hilang keyakinan, maka silap mata bank akan kantoi. Orang ramai akan berbondong-bondong datang untuk mengeluarkan duit mereka.

Bank yang pandai main silap mata kini tidak dapat melakukan apa-apa melainkan mengaku diri mereka bankrap - inilah yang sedang berlaku sekarang.

Selama 30 tahun yang lalu, pelbagai bentuk mainan silap mata telah dilakukan oleh bank. Pemilik-pemilik ban ini telah mempengaruhi para ahli politik untuk melupuskan pelbagai larangan dan rintangan.

Mereka memungut riba dan mengumpul harta. Dengan harta kekayaan yang terkumpul hasil daripada memakan riba, para pemilik bank telah memberi sumbangan kepada politikus.

Persekongkolan ini cukup intim. Para pemilik bank ini tidak pernah muncul di khalayak umum. Tetapi kepentingan mereka terjamin melalui para politikus yang akan bersuara menjaga kepentingan mereka.

Pada 2009, banyak bank telah muflis. Lalu timbul persoalan. Ke mana perginya duit-duit ini? Harta kekayaan tidak hilang, ia hanya bertukar tangan. Duit ringgit milik orang ramai yang tersimpan di bank telah dijadikan modal untuk membuat lebih banyak untung.

Keuntungan ini disimpan. Penyimpan duit di bank boleh jatuh muflis, bank boleh diistihar bankrup tetapi tuan empunya bank tidak pernah bankrup.

Ada pelangan akan kalah judi di Genting tetapi syarikat Lim Goh Tong sampai kiamat tidak akan bankrup - ini juga hukum sistem kapitalis.

Tuesday, May 5, 2009

->Antara Fate, Faith or Fake...

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Topik ini menguis ke arah perhatian saya sehingga menampalkan reaksi saya terhadap topik ini. Timbulnya topik ini apabila salah seorang sahabat saya melontarkan sebuah artikel mengisahkan tentang cara hidup Joanna Chew dan Kyle Immanuel Khairudin.

Mengikut apa yang saya baca dalam artikel itu, sebuah majalah yang tidak disertakan namanya, kedua-dua pasangan itu berkahwin tetapi Joanna Chew(isteri)tidak memeluk agama Islam. Dan apa yang paling mengejutkan, ialah anaknya, Jacob Ashley Khairudin Hai Jie, adalah separuh melayu dan cina atau 'malaynese' beragama kristian.

Kisah itu mencuri perhatian sahabat-sahabat saya sehingga menanyakan beberapa soalan. Antara soalan yang menarik perhatian saya adalah mengenai perbandingan kesensitifan kita yang mana lebih, isu murtad ataupun memakan daging khinzir.

Sudah tentu yang paling serious dan sensitif ialah bertukar agama kepada Kristian. Sebab yang utama ialah ada dalil dalam hadis yang menyatakan hukum Riddah atau murtad itu hukumannya ialah bunuh.

Tapi dalam situasi memakan daging khinzir hukumnya tidaklah sehingga mengenakan hukum bunuh. Malah dalam dalil Al-Quran ada menyatakan hukumnya kalau makan daging khinzir sekiranya keadaan berubah menjadi susah dan terpaksa. Kelonggaran diberikan untuk memudahkan umatNya menjalankan kehidupannya dengan senang dan tidak membebankan. Ada juga hadis yg tidak melarang umat Islam mengguna bulu khinzir utk dijadikan benang.

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barang siapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

An Nahl 115


Tetapi ada di antara kita melihat perkara keluar dari Islam tidak sesensitif seperti memakan daging khinzir. Begitu juga dengan amalan memakan rasuah, riba dan menikam nombor ekor. Sesetengah orang tidak menghiraukan memakan riba kalau sudah tahu sesuatu pinjaman bank melibatkan riba. Mereka rasa tidak apa kalau makan riba, sebab alasannya hendak cari makan atau nak hidup. Kalau kita bercakap pasal babi, mereka cepat dan mudah memerontak tak tentu pasal sehingga memaki hamun ia dilakukan.

Hakikatnya, Allah melarang dan menyuruh kita memelihara diri dari memakan riba sehinggakan orang yang memakan riba itu, Allah akan campak mereka ke dalam api neraka.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. Dan peliharalah dirimu dari api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir.

Ali Imran 130-131


Begitu berat hukumannya bagi org yg memakan riba.. Hukuman memakan riba lebih berat dari memakan daging khinzir. Tetapi malang dan sedihnya, ada di antara kita, org Islam menganggap memakan daging khinzir lebih sensitif daripada murtad, riba dan rasuah sedangkan amalan-amalan buruk seumpama itu dikecam hebat oleh Allah SWT.

Artikel yang dibaca itu tidak dapat saya muatkan ke dalam blog ini sebab ia dalam bentuk pdf file. Harap maaf.

Sekadar berkongsi pendapat saya...

Wallahu a'lam

->Kesilapan dalam solat sering dipandang remeh

Ahmad Baei Jaafar

Suasana pada hari agak menggembirakan sesetengah ibu bapa apabila melihat anak remaja sudah berminat kepada kehidupan beragama. Remaja sudah dilihat mula mahu memenuhi surau dan masjid terutama pada waktu Maghrib dan Isyak.

Mereka mendapat kesedaran beragama semasa di bangku sekolah dan universiti. Arus kesedaran Islam bertiup kencang melawan arus kemodenan masa kini. Remaja kini sudah tidak malu untuk melakukan solat walaupun di tempat selain surau dan masjid.

Mereka sanggup melakukan solat kerana mahu menegakkan agama dalam diri mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Solat ialah tiang agama,” (Riwayat Baihaqi).

Ibu bapa dalam hal ini seharus bersyukur kerana anak mereka tidak lagi seperti terlepas tali, boleh terbang ke mana-mana. Mereka kini sudah boleh dikawal, iaitu dikawal oleh agama.

Walau bagaimanapun kita agak sedih apa melihat sesetengah ibu bapa yang masih liat untuk mendirikan solat. Mungkin seminggu sekali untuk solat Jumaat atau mungkin sesekali melakukannya sewaktu balik ke rumah pak mentua. Mereka lakukannya bukan kerana Allah tetapi kerana malu kepada mentua.

Ingatlah berdasarkan hadis di atas, sesiapa yang mendirikan solat bererti mereka telah mendirikan agama dan sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bererti dia meruntuhkan agama. Mahukah ibu bapa ini digelarkan sebagai yang meruntuhkan agama?

Menyedari keadaan ini, saya menyeru semua umat Islam agar tidak mengabaikan solat lima waktu kerana itulah identiti umat Islam. Kurang dari lima waktu, kuranglah keislaman mereka. Malah dengan jumlah yang kurang itu hampir-hampir menyamatarafkan mereka dengan orang bukan Islam.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan solat suka saya senaraikan di sini beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh umat Islam dalam ibadah. Kesalahan tersebut walaupun yang tidak disengajakan, kalau tidak diperbetulkan akan menjadi kebiasaan yang sukar dibetulkan semula. Oleh sebab itu perhatikan senarai kesalahan berikut:

Sebelum solat – dalam azan muazzin atau lebih dikenali sebagai bilal, mereka melakukan dua kesalahan secara tidak sedar. Walaupun tidak sedar, lafaz azan itu sudah tidak memberi makna dan maksud yang sebenar.

1. “Asy-hadu an la ilaha illah” – mungkin kerana mereka membacanya berdasarkan huruf rumi maka dibunyikan “Asyhadu” dengan assyadu. Perkataan ini tidak memberi apa-apa makna dan tidak menepati lafaz syahadah yang wajib dibaca.

2. “Lailaha illallah” dipanjangkan “ha” pada perkataan “ilaha” menjadi ilahaa. Perkataan ini juga tidak memberi apa-apa makna.

Jadi, semua bilal dan orang yang hendak mengalunkan azan, eloklah membuat latihan menyebutnya agar tidak terus tersilap. Ingatlah azan mengajak orang ramai kepada solat, tetapi kalau tersalah sebut, panggilan itu tidak dinilai oleh Allah.

Selain itu suka diingatkan juga bahawa, waktu untuk azan adalah ditentukan oleh muazzin manakala untuk melakukan solat hendaklah ditentukan oleh imam. Maka dalam hal ini bilal perlu memastikan iman bersedia dan mendapat keizinannya.

Waktu solat – terdapat beberapa orang susah hendak masuk niat untuk memulakan solat. Kadang-kadang dia terpaksa mengangkat takbir berkali-kali untuk membolehkan niatnya masuk pada waktu itu. Sikap atau tabiat itu menjadi sebab terlambatnya dia mengikut imam. Padahal niat adalah kerja hati yang datangnya bagaikan angin lalu sahaja, tidak perlu mengambi masa yang panjang.

Mengikut hukum fiqah, apabila seseorang itu mengangkat takbir dengan niat yang betul, takbir dan niat itu sudah diterima. Maka kalau dia mengulangi kali kedua, maka takbir kedua itu menyebabkan solatnya terbatal. Jadi, apabila dia meneruskan solat dengan takbir itu, solatnya tidak dikira oleh Allah. Oleh sebab itu dia perlu ulangi takbir dan niat baru, yang ketiga.

Selain itu takbiratul ihram iaitu dengan menyebut “Allahu Akbar". Lazim yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah mereka memanjangkan “baar” pada perkataan akbar. Dengan memanjangkan “akbar” itu tidak lagi memberi makna “Allah Maha Besar”. Jadi berhati-hati menyebutnya.

Seterusnya dalam membaca surah al-fatihah, mereka terlalu sangat hendak membetulkan sebutan makhraj sehingga jadi berlebih-lebihan. Antaranya ialah membaca “alhamdulillah” ditekankan bacaan pada alham sehingga berbunyi seperti alkham atau alhom. Ini juga telah merosakkan makna al-Fatihah yang asal.

Semasa iktidal juga terdapat kesilapan menyebut pada membaca “samiallahu liman hamidah”. Selalu juga kita dengar sesetengah orang membaca dengan memanjangkan bacaan haamidah. Dengan memanjangkan perkataan pada “ha” memberi erti wanita yang memuji - isim fail muannas. Padahal yang asalnya “hamidah” ialah feil madhi yang memberi erti memuji-Nya.

Panduan ini penting untuk diamati supaya solat yang dikerjakan setiap hari dinilai oleh Allah dengan sebaiknya. Wallahu a’lam.

Sunday, May 3, 2009

Musafir mengajar kita melakukan solat jamak...

Ditulis oleh Adam Yew Abdullah

Cuti hari pekerja tambah dengan cuti hari minggu menjadi cuti panjang. Ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung, maklumlah lagipun awal bulan. Saya juga tidak ketinggalan untuk berbalik kampung ke Nibong Tebal. Lagipun, Ayu dan Aliya dah sebulan tak bermanja dengan toknya di kampung.

Saya bertolak dari rumah lebih kurang 12.30tghari dan dijangkakan akan sampai ke kampung pada jam 2.00 petang.

Dalam perjalanan pulang ke kampung, saya bersinggah sekejap di perhentian toll lebuhraya utara-selatan di Juru. Persinggahan sementara ini adalah untuk mengisi perut yang kosong ini. Maklumlah dari pagi tadi tak makan sarapan lagi.

Sengaja saya memilih hari Jumaat. Kerana kalau kita bermusafir pada hari Jumaat, kewajipan bersolat jumaat jatuh dan kita cuma perlu melakukan solat musafir. Keringanan ini dinamakan 'rukhshah'.

Mengimbas kembali sunnah Rasulullah SAW, ketika Nabi SAW dalam perjalanan bermusafir beliau tidak melakukan solat Jumaat. Begitupun sewaktu beliau mengerjakan haji Wada’ di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, beliau hanya bersembahyang zohor dan asar secara jamak taqdim dan tidak melakukan solat Jumaat. Dan demikianlah pula yang dilakukan oleh para khalifah sepeninggal beliau.

Kelihatan ramai kaum lelaki dan famili masing-masing tengah sibuk mencari lauk pauk dan makanan untuk mengisi perut. Maklumlah, ada yang datang dari Kedah dan ada yang hendak menuju ke Perak.

Saya tidak mahu membuat sebarang tafsiran dalam hati. Nanti wujud sangkakan buruk pula. Tampak bilangan muslimin yang berada di situ agak ramai dari berbagai peringkat umur.

Tetapi dalam hati, saya berharap kaum lelaki yang berada di situ, pakcik-pakcik, abang-abang dan adik-adik yang bermusafir, mengamalkan sunnah Nabi SAW. Allah SWT memberi keringanan kepada kita supaya tidak menyusahkan kita ketika dalam musafir.

Jangan pula ada yang menafsir tidak perlu bersolat langsung apabila bermusafir mengikut mazhab sendiri. Kewajipan solat untuk 5 waktu wajib ditunaikan seperti biasa kita lakukan setiap hari. Cuma apabila kita bermusafir kewajipan itu menjadi kewajipan untuk menjamak solat kita ketika dalam perjalanan.

Solat bermusafir kita menjamak 2 solat dalam 1 waktu. Sama ada kita jamak dalam waktu zohor atau asar. Atau dalam waktu maghrib atau isyak.

Solat qasar pula, kita memendek rakaat solat kita. Contoh, zohor, asar dan isyak rakaat solat itu kita pendekkan dari 4 rakaat hingga menjadi 2 rakaat. Manakala, maghrib tidak dipendekkan. Sama.

Solat musafir ada 2 keutamaan waktunya. Kalau dijamak dalam waktu awal itu jamak taqdim namanya. Manakala pula, jamak akhir itu jamak waktu taqkhir. Misalnya, jamak taqdim, kita bawa solat asar atau isyak dalam solat zohor atau maghrib. Jamak taqkhir pula, kita bawa solat zohor atau maghrib ke dalam solat asar ataupun isyak.

Dari segi perlaksanaannya, yang manakah waktu yang harus kita utamakan, di bawah ini ada hadis menerangkan caranya.

Dari Kuraib yang diterimanya dari Ibnu Abbas, katanya:

“Inginkah tuan-tuan saya ceritakan perihal solat Rasulullah SAW sewaktu sedang bermusafir”. Jawab kami: “Baik!” Katanya: Jika selagi di rumah matahari telah tergelincir, beliau jamak solat zohor dengan asar sebelum berangkat, tetapi kalau belum lagi tergelincir, maka beliau berjalan, hingga bila nanti waktu asar masuk, beliaupun berhenti menjamak solat zohor dengan asar. Begitu juga jika selagi beliau di rumah waktu maghrib sudah masuk, beliau jamak solat maghrib itu dengan isyak, tetapi kalau waktu belum lagi masuk, beliau terus saja berangkat dan nanti kalau waktu isyak tiba, beliaupun berhenti untuk menjamak solat maghrib dan isyak itu.”

(HR Ahmad)


Perjalanan saya mengambil masa selama 1 jam setengah. Maklumlah, bawa famili kenalah bawa kereta dengan perlahan dan cermat. Bila sesampainya di rumah, menjadi kebiasaannya, Ayu dengan temannya ‘cheh-cheh’ (kakak dalam bahasa mandarin) mula bermain dalam rumah.

Kami sekeluarga bermalam di situ untuk sehari dan keesokkan hari kami kena bertolak pulang. Kesingkatan masa ini, kami penuhi dengan perkara-perkara yang penuh bermakna dan bernostalgia.

Monday, April 27, 2009

->Sifat Dengki

Dengki melambatkan kejayaan anda.

Seperti kita ketahui bahwa dengki adalah salah satu akhlaq yang buruk. Sementara itu dengki boleh melambatkan kejayaan anda. Jadi bersikap dengki sungguh tidak ada manfaatnya. Terlebih yang kita dengki termasuk orang yang cukup dekat dengan kita, bahkan tidak jarang saudara kandung sendiri dan ahli sejamaah .

Kenapa boleh melambatkan kejaan seseorang? Uraian di bawah adalah 3 sebab kenapa sikap dengki terhadap orang lain akan menghambat kejayaan.

Sebelum membahas 3 sebab tersebut, mari kita lihat apa yang dimaksudkan dengan dengki tersebut. Dengki adalah rasa tidak senang terhadap kejayaan/nikmat orang lain dan menginginkan kejayaan / nikmat tersebut hilang dari orang yang di dengki.

Usaha yang membuang masa dan tenaga.

Dengan memiliki sifat dengki tenaga kita akan habis memikirkan dan mencari cara bagaimana kejayaan/nikmat orang yang di dengkinya hilang. Sungguh sayang dia punya cukup tenaga tetapi tidak digunakan untuk meraih kejayaan dia sendiri. Kenapa tidak digunakan untuk mengembangkan diri dan kenapa tidak digunakan untuk berusaha meraih cita-cita sendiri. Padahal jika difikir-fikir jika ada orang dekat dan dikenali dengan kita adalah orang yang berjaya dalam hidupnya (contohnya banyak wang) setidaknya dia akan meminjamkan wang kepada kita.

Hilangnya kesempatan berkerjasama

Sering terjadi suatu kejayaan akan membuka peluang-peluang kejayaan tambahan bagi orang-orang yang disekililingnya. Sebagai contoh jika jiran kita berjaya dalam perniagaan restoran, tentu saja dia akan memerlukan banyak bekalan makanan mentah seperti ayam , beras, ikan, dan sebagainya yang boleh memberi peluang bagi kita untuk mejadi pembekalnya. Jika kejayaannya kita sudah awali dengan sifat dengki kita akan malu sendiri untuk bekerja sama dengan orang yang berjaya walaupun ia adalah jiran kita sendiri.

Hilangnya kesempatan belajar

Randy Gage seorang pembicara motivasi mengatakan "studying people who aresuccessful in your area gives you the opportunity to model what they havedone. You learn from their experience and can achieve your own sooner."(mempelajari orang yang sukses pada bidang Anda akan memberikan kesempatan kita untuk mencontoh apa yang mereka telah lakukan. Anda belajar dari pengalaman mereka dan dapat mencapai kesuksesan Anda lebih cepat.) Tentu saja kita akan malu untuk belajar kepada orang yang kita dengki.

Kesimpulannya ialah dengan menghilangkan sifat dengki pada diri kita akan membantu kita menuju kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat. Cara menghilangkan sifat dengki ialah dengan menumbuhkan kesedaran bahwa rezeki setiap orang berbeza-beza. Sesiapa yang melakukan ikhtiar dengan lebih tekun dan kena jalannya dia akan mendapat habuan lebih besar dengan izin dari Allah jua. Yang kedua ialah dengan cara berdoa semuga Allah menjauhkan diri kita dari sifat dengki yang membawa kerugian kepada diri sendiri. Berdoalah juga semuga kejayaan yang diraih oleh orang yang kita kenali datang juga dalam hidup ini, syatnya mesti didahului dengan usaha yang gigih. Itulah Tawakkal namanya.( artikal tambahan dan edit dari blog masburhan-t.kasih mas)

Friday, April 24, 2009

->Petunjuk

“Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun” (QS. Al-Baqarah: 156).

Apa yang paling dicari setiap hamba di dunia ini? tentunya petunjuk dari Allah SWT. Sebabnya ialah hidup dengan petunjuk Allah kita akan selalu merasa tenang, tidak terombang-ambing, tabah, dan sabar. Perasaan itu akan selalu setia menyertai hati dan pikiran, meskipun di saat di timpa musibah.

Di kala ditimpa musibah, tidak akan segera menyesalinya, apalagi mengutuknya. Sebab, selalu saja terasa bahawa apa yang sudah dimiliki adalah berasal dari Allah, sehingga pada waktunya akan kembali kepada Allah. Makanya, mulut dan hati akan mengiringi setiap musibah kecil atau besar dengan mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun”.

Lagipun dalam Al-Qur’an seawalnya sudah dijelaskan bahwa manusia akan dicuba dalam hidup ini. Cubaannya dalam bentuk ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Bagi orang-orang yang tabah ketika ujian itu diberikan, akan menjadi manusia yang berkualiti. Orang-orang itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Allah. Orang-orang seperti itulah yang disebutkan dengan orang-orang yang mendapat petunjuk (QS. Al-Baqarah: 157).

Kerana itu, kita perlu sentiasa berdoa dan berusaha agar selalu hidup dalam petunjuk Allah. Usaha yang penting berupa menjauhi cara hidup yang dilarangNya, seperti berbuat zalim kepada orang lain. Sebab, orang-orang yang zalim disebutkan dalam Al-Qur’an tergolong dari orang yang tidak akan mendapat petunjuk Allah (QS. Al-Qasas: 50).

Laman Pilihan

Video Pilihan

Quran Search

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Hadis Search

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com